Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempelawa pemegang lesen yang layak untuk mengemukakan draf pelan bagi pelaksanaan inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Berdasarkan kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan bahawa inisiatif strategik di bawah kerangka Pemberi Perkhidmatan Sejagat (USP) itu bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur digital domestik negara selain meningkatkan ketahanan, kebolehpercayaan dan kesiapsiagaan rangkaian komunikasi Malaysia.

Menurut SKMM, projek SALAM akan melibatkan pembinaan sistem kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus mewujudkan rangkaian sambungan domestik yang lebih kukuh dan pelbagai dari segi geografi.

Inisiatif ini dijangka meningkatkan kapasiti rangkaian serta memperkukuh kepelbagaian laluan serta dapat memastikan kesinambungan perkhidmatan dan mempertingkatkan daya tahan infrastruktur komunikasi negara.

Sistem SALAM akan merangkumi 10 stesen pendaratan kabel (Cable Landing Stations, CLS) yang dihubungkan melalui empat segmen kabel dasar laut dengan anggaran panjang keseluruhan kira-kira 5,582 kilometer.

Di samping itu, SKMM menyatakan bahawa sistem tersebut akan menyediakan laluan sambungan yang lebih pelbagai bagi meningkatkan kecepatan rangkaian, sekali gus mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan serta memperkukuh ketahanan komunikasi negara secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, projek SALAM dijangka menjadi tulang belakang kepada peningkatan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian perkhidmatan digital 5G, di samping menyokong pembangunan infrastruktur pengkomputeran awan, pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta industri digital baharu.

SKMM menyatakan bahawa inisiatif ini akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara, agenda keterangkuman digital serta ketahanan jangka panjang Malaysia.

Lantaran itu, selaras dengan Peraturan 5 di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002, SKMM menggesa semua pemegang lesen yang layak untuk mengambil bahagian dengan mengemukakan Pendaftaran Minat berserta Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat untuk penilaian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi