Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran rasmi untuk membawa pulang sebanyak lima pingat emas secara keseluruhan pada saingan Temasya Sukan Komanwel Ke-23 di Glasgow tahun ini.

Sasaran penting tersebut telah dimaklumkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, YBhg. Datuk Awalan Abdul Aziz bersempena dengan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara hari ini.

Majlis penyerahan simbolik perjuangan itu telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Taufiq Johari dalam satu acara yang menghimpunkan barisan atlet, pegawai pengiring dan pengurusan sukan tanah air.

Berucap pada majlis berkenaan, YB Taufiq Johari memaklumkan bahawa kontinjen negara pada edisi kali ini dibarisi oleh 59 orang atlet yang merangkumi 37 atlet normal dan sebanyak 22 atlet para.

“Kesemua wira dan wirawati ini bakal menggalas cabaran besar negara dalam 55 acara daripada lapan jenis sukan berbeza dan dibantu dengan kekuatan 43 orang pegawai,” ujar beliau.

Beliau turut menarik perhatian umum mengenai cabaran berbeza pada edisi 2026 apabila pihak penganjur di Glasgow telah mengecilkan jumlah sukan yang dipertandingkan, iaitu daripada 19 jenis sukan kepada hanya 10 jenis sukan.

“Sasaran pencapaian kontinjen negara juga akan disesuaikan dengan landskap pertandingan pada edisi kali ini,” jelas beliau mengenai cabaran berikutan pengurangan acara tersebut.

Beliau meletakkan kepercayaan penuh di bahu YBhg. Datuk Awalan selaku CDM untuk mengetuai kontinjen dan memastikan segala perancangan berjalan lancar bagi mencapai kedudukan serta sasaran pingat emas yang ditetapkan.

Dalam amanatnya, beliau mengingatkan para atlet bahawa mereka bukan sekadar bertanding untuk diri sendiri, sebaliknya memikul harapan besar sebanyak 34 juta rakyat Malaysia bagi mendaulatkan nama negara di persada dunia.

“Tuan-tuan dan puan-puan masuk gelanggang sebagai wira dan wirawati yang mewakili negara Malaysia, Jalur Gemilang yang dibawa ini bukan hanya semata-mata untuk memenangi pingat, tetapi untuk memastikan nama negara kekal harum,” tegasnya.

Beliau menyeru seluruh kontinjen untuk terus mengekalkan tahap fokus, komitmen dan semangat kerja berpasukan yang tinggi sambil mengetepikan segala kritikan negatif yang mampu menjatuhkan moral mereka.

“Segala rintangan dan kritikan boleh menjatuhkan moral, kita tolak ke tepi terlebih dahulu kerana sasaran kita adalah mencapai kemenangan,” tambahnya lagi, sekaligus menyuntik semangat juang atlet yang hadir.

Pada masa yang sama, pihak kementerian turut memberikan jaminan akan sentiasa menghargai segala jerih payah para atlet menerusi dasar sedia ada kerana mereka sentiasa diiktiraf sebagai aset berharga demi masa hadapan negara.

Kredit Foto: KBSMalaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi