Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini disemarakkan lagi dengan pelancaran lagu tema rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang berjudul Aku Berjanji.
Karya patriotik yang ditulis dan didendangkan oleh penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir itu telah dilancarkan secara rasmi bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026.
Sebaik sahaja melodi tersebut berkumandang buat julung kalinya, pekarangan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sultan Azlan Shah bergema dengan sorakan gemuruh diiringi dengan kibaran Jalur Gemilang daripada ribuan hadirin.
Penciptaan lagu tema yang berjiwa besar itu dilihat berjaya menyemarakkan semangat cinta akan negara di samping mengajak seluruh rakyat berbilang kaum untuk memperbaharui janji taat setia kepada ibu pertiwi.
Detik pelancaran yang penuh bermakna itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil serta Menteri Besar Perak, YB Datuk Seri Saarani Mohamad.