Diterbitkan pada 20 Julai 2026, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Persekitaran pendidikan tinggi yang semakin dipengaruhi oleh arus globalisasi  menuntut institusi pengajian iinggi  (IPT) di negara ini memperkukuh jaringan dan menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan kualiti pengajaran, memacu kecemerlangan penyelidikan, serta mempercepat pembangunan modal insan yang berdaya saing global.

Menurut Pengerusi Program Pascasiswazah Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHSGS), Universiti Utara Malaysia (UUM), YBrs Gs. Dr. Nur Suhaili Mansor, agenda pengantarabangsaan merupakan satu strategi kritikal yang bertindak sebagai pemangkin untuk memperluas jaringan akademik serta menyuburkan budaya penyelidikan berimpak tinggi dalam kalangan warga universiti.

“Jaringan antarabangsa ini membuka peluang yang luas kepada ahli akademik untuk menerokai trend penyelidikan terkini di luar negara. Melalui kolaborasi global yang mantap, IPT tempatan berupaya menghasilkan penerbitan bersama dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi serta mendapatkan kepakaran penyelia bersama (co-supervisor) bagi pelajar pascasiswazah,” ujar beliau.

Jelas beliau, pendedahan kepada sistem pendidikan antarabangsa ini menjadi pemangkin kepada transformasi pengajaran, selain para pensyarah tempatan dapat menambah baik kaedah penyampaian kuliah, mengoptimumkan teknologi digital, serta menerapkan pendekatan pembelajaran aktif  yang berpusatkan pembelajaran di bilik kuliah.

YBrs. Gs. Dr. Nur Suhaili Mansor semasa menyampaikan syarahan kepada para pelajar.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Seksyen Geografi ,Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Sr. Dr. Muhammad Wafiy Adli Ramli menjelaskan bahawa pengantarabangsaan turut bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan penyelidikan melalui akses kepada pelbagai bentuk pembiayaan dan dana antarabangsa.

“Hubungan strategik dengan institusi luar negara menjadi pemangkin penting yang membuka ruang untuk universiti tempatan memperoleh geran penyelidikan antarabangsa, biasiswa mobiliti, serta sokongan dana untuk menganjurkan program akademik berprestij,” katanya.

YBrs Sr. Dr. Muhammad Wafiy Adli Ramli berkata, sebahagian dana antarabangsa ini bukan sekadar memperkukuh kapasiti penyelidikan IPT, malah memberikan peluang kepada pensyarah dan pelajar untuk menjalankan kajian rentas negara yang berimpak besar menyokong projek kolaborasi global yang mampu menghasilkan kertas pembentangan bertemakan isu kritikal dunia seperti perubahan iklim, keselamatan makanan, kesihatan awam, dan transformasi digital.

YBrs. Sr. Dr. Muhammad Wafiy Adli Ramli semasa menyampaikan syarahan mengenai jaringan antarabangsa pembangunan penyelidikan kepada para pelajar.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan bahawa impak pengantarabangsaan melangkaui aspek akademik semata-mata, malah menjadi pemangkin untuk membentuk ekosistem kampus yang lebih inklusif dan berdaya saing global.

“Pemindahan sektor pendidikan tinggi memperkaya pengalaman silang budaya mahasiswa. Ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran komunikasi antara budaya (cross-cultural communication) bagi melahirkan graduan yang lebih terbuka menerima kepelbagaian masyarakat pada peringkat pengantarabangsaan,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau optimis bahawa pengiktirafan antarabangsa terhadap ekosistem pendidikan di Malaysia akan menjadi pemangkin utama untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi