Diterbitkan pada 21 Julai 2026, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu –Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus memperkukuh kerjasama strategik bagi pembangunan infrastruktur negara agar dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkualiti, serta memberikan manfaat berterusan kepada rakyat.

Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2026 menjadi platform utama bagi menghimpunkan agensi pelaksana untuk membincangkan isu semasa serta mencari penyelesaian secara bersama.

“Program ini membolehkan semua pihak menetapkan hala tuju pembangunan infrastruktur negara, selain menggalakkan penggunaan inovasi, teknologi, dan kaedah kerja terkini bagi meningkatkan kecekapan pengurusan projek pembinaan,” jelasnya.

Kerjasama yang melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sabah, dan JKR Sarawak itu kini tidak lagi tertumpu kepada pelaksanaan projek fizikal semata-mata.

Tambahnya, fokus kini turut diperluas kepada pembangunan tenaga kerja bagi melahirkan lebih banyak jurutera digital dan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan penggunaan infrastruktur pintar dengan mengiktiraf negeri Sabah dan Sarawak sebagai peneraju pembangunan infrastruktur pintar di rantau ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kelemahan dalam aspek penyelarasan antara agensi berisiko menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek atau berlakunya isu projek sakit.

Langkah pencegahan amat penting memandangkan JKR mengendalikan pelbagai projek bernilai berbilion ringgit di seluruh negara, termasuk infrastruktur impak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

“Saya menggesa kementerian, jabatan, agensi teknikal, syarikat utiliti dan semua pihak berkepentingan supaya meninggalkan budaya bekerja secara bersendirian. Setiap komitmen perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, dipantau secara berkala, dan dinilai berdasarkan pencapaian sebenar,” tegas beliau.

Dalam majlis yang sama, YB Alexander Dato Dri Alexander Nanta Linggi turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) penting termasuklah penggunaan premis Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Sarawak bagi penubuhan Makmal MyBIM serta Pemeteraian Deklarasi Data Aset Jalan bagi penyelarasan maklumat infrastruktur yang lebih menyeluruh.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi