Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRevolusi maklumat telah mempercepat penyebaran kandungan, namun kepantasannya sering tidak diimbangi dengan pertimbangan etika dan nilai kemanusiaan. Hal ini dapat dilihat menerusi insiden tragis penikaman di sebuah sekolah baru-baru ini yang membabitkan kanak-kanak bawah umur. Insiden tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal dan trauma emosi kepada mangsa serta individu yang terlibat, malah mencetuskan satu lagi krisis yang semakin membimbangkan, iaitu penyebaran identiti kanak-kanak di ruang digital.
Menurut laporan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada April lalu yang memetik Laporan Survei Penggunaan dan Capaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology – ICT) oleh Individu dan Isi Rumah 2025, penggunaan Internet di Malaysia kini berada pada tahap yang sangat tinggi, dengan 98.3 peratus individu menggunakan Internet dan 97.1 peratus isi rumah mempunyai capaian Internet.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa ruang digital telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat, termasuk kanak-kanak dan remaja yang semakin terdedah kepada pelbagai bentuk interaksi dalam talian. Dalam ekosistem digital yang semakin berkembang, penyebaran maklumat boleh berlaku dengan pantas serta menjangkau khalayak yang luas dalam tempoh yang singkat.
Apabila maklumat peribadi kanak-kanak tersebar tanpa kawalan, kesannya bukan sekadar melibatkan pelanggaran hak privasi, malah boleh membawa kepada penghakiman awam dalam ruang digital. Ruang digital seolah-olah bertukar menjadi sebuah “mahkamah jalanan” apabila identiti, gambar dan pelbagai maklumat peribadi kanak-kanak dinilai secara terbuka tanpa mengambil kira hak mereka terhadap privasi, perlindungan dan masa hadapan. Keadaan ini memperlihatkan bagaimana penyebaran kandungan dalam talian boleh berubah menjadi satu bentuk hukuman digital yang berpanjangan.
Perbezaan yang ketara dapat dilihat antara amalan kewartawanan yang beretika dengan budaya sensasi dalam media sosial. Pengamal media arus perdana di Malaysia secara umumnya telah menunjukkan tanggungjawab profesional dengan mengutamakan perlindungan identiti kanak-kanak dalam laporan mereka.
Namun begitu, prinsip yang sama tidak sentiasa diamalkan oleh sebahagian pengguna media sosial. Dalam usaha mengejar perhatian awam, terdapat pihak yang menyebarkan kandungan berkaitan dengan kanak-kanak tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap privasi, maruah dan kesejahteraan mereka. Penyebaran tersebut turut berlaku melalui pelbagai saluran digital, termasuk platform media sosial, aplikasi pemesejan serta halaman yang mendakwa diri sebagai sumber berita.
Pendedahan identiti kanak-kanak, khususnya dalam kes jenayah berprofil tinggi, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 secara jelas melarang penerbitan, penyiaran atau penyebaran maklumat yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah atau perbicaraan mahkamah. Menurut kenyataan rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesalahan menerbitkan maklumat yang mendedahkan identiti kanak-kanak boleh dikenakan denda hingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Peruntukan ini bukan bertujuan untuk melindungi seseorang daripada proses keadilan. Sebaliknya, berasaskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, iaitu memastikan setiap kanak-kanak terus menikmati hak terhadap privasi, maruah dan peluang untuk menjalani proses pemulihan tanpa dibelenggu stigma yang berpanjangan.
Selain itu, penyebaran kandungan yang mengaibkan, mengancam atau memudaratkan individu juga boleh tertakluk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). Penggunaan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan komunikasi yang bersifat palsu, mengancam atau jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Undang-undang ini memperlihatkan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak bukan sekadar tuntutan moral, malah merupakan tanggungjawab yang mempunyai asas perundangan yang jelas. Oleh itu, setiap individu perlu memahami bahawa tindakan menyebarkan butiran peribadi mereka bukan sahaja tidak beretika, bahkan boleh mengundang implikasi perundangan.
Menyedari peningkatan penyebaran kandungan yang boleh menjejaskan privasi kanak-kanak ini, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mengingatkan masyarakat bahawa perlindungan privasi kanak-kanak tidak boleh diketepikan walaupun sesuatu kes mendapat perhatian umum. Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood menegaskan:
“Seorang kanak-kanak atau remaja bawah umur tidak hilang hak terhadap perlindungan undang-undang hanya kerana dakwaan terhadapnya serius. Malah, dalam kes yang lebih berat, kita perlu lebih berhati-hati kerana kemarahan awam tidak boleh dibiarkan menjadi hukuman digital yang kekal terhadap mereka.”
Istilah “hukuman digital” merujuk hukuman yang dijatuhkan oleh masyarakat melalui penyebaran maklumat di Internet, dan bukannya oleh mahkamah. Berbeza dengan hukuman berstruktur yang mempunyai tempoh tertentu, kesan daripada penyebaran dalam talian boleh berpanjangan dan sukar dipadamkan sepenuhnya. Tindakan tersebut boleh memberikan implikasi serius terhadap kesejahteraan emosi dan sosial kanak-kanak. Mereka berdepan risiko kebimbangan, kemurungan, perasaan malu yang berpanjangan, kehilangan keyakinan diri, gangguan, ugutan serta stigma yang boleh berlarutan hingga dewasa.
Dalam masa yang sama, keadaan ini boleh menyebabkan kanak-kanak lain berasa takut untuk tampil mendapatkan bantuan apabila berdepan dengan situasi yang memerlukan perlindungan.
Oleh yang demikian, bagi menghentikan rantaian hukuman digital ini, pihak CMCF menggesa tindakan kolektif diambil dengan segera:
Dalam jangka panjang, penyelesaian terbaik bukan sekadar bergantung pada penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga memerlukan usaha membina budaya digital yang lebih beretika. Bak kata pepatah, “melentur biarlah waktu rebung”. Literasi digital dan keselamatan dalam talian perlu diperkasakan sejak bangku sekolah agar kanak-kanak memahami bahawa setiap tindakan di Internet mempunyai kesan terhadap kehidupan orang lain.
Pendidikan ini tidak seharusnya bergantung pada pendekatan teori semata-mata. Sebaliknya, hal ini boleh disampaikan melalui kaedah penceritaan visual, animasi, komik, permainan interaktif serta aktiviti kreatif yang lebih dekat dengan pengalaman harian kanak-kanak. Pendekatan sedemikian bukan sahaja membantu mereka memahami konsep privasi dan jejak digital, malah membentuk empati, keupayaan membuat pertimbangan yang bijak, serta perasaan tanggungjawab sebagai warga digital yang beretika.
Pada masa yang sama, ibu bapa dan pendidik perlu diperkasakan dengan pengetahuan yang mencukupi supaya mereka dapat membimbing anak-anak mengurus maklumat peribadi secara bertanggungjawab. Usaha memperkukuh literasi digital tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya perlu menjadi usaha bersama-sama yang melibatkan keluarga, komuniti dan industri.
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kebajikan semua kanak-kanak yang terkesan akibat sesuatu tragedi, termasuk kanak-kanak yang didakwa, mangsa yang tercedera, rakan sekolah, serta keluarga mereka, mesti terus menjadi keutamaan. Mempertahankan kerahsiaan identiti kanak-kanak bukan bertujuan untuk mengurangkan keseriusan sesuatu kes, tetapi memastikan tindak balas masyarakat tidak mencipta satu lagi bentuk kemudaratan yang akan menghantui mereka pada masa hadapan.
Dalam dunia digital, satu klik boleh meninggalkan kesan seumur hidup. Sebelum menekan butang kongsi, tanyalah pada diri sendiri sama ada tindakan itu membantu menegakkan keadilan atau sekadar menambah satu lagi hukuman yang tidak sepatutnya ditanggung oleh seorang kanak-kanak. Hak kanak-kanak terhadap perlindungan tidak seharusnya terhakis hanya kerana sesuatu tragedi mendapat perhatian umum. Menjaga privasi kanak-kanak bukan sekadar mematuhi undang-undang, malah merupakan cerminan tahap kematangan, empati dan nilai kemanusiaan sesebuah masyarakat.
