Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini memenangi dua lagi anugerah dalam majlis Anugerah Buku Negara yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022. Kemenangan ini secara tidak langsung dapat menyuntik motivasi kepada penulis dan editor untuk sama-sama berganding bahu menghasilkan karya yang bermutu.

Anugerah yang dimenangi adalah bagi kategori Buku Umum Terbaik (Pendidikan), iaitu buku bertajuk Pendidikan untuk Semua tulisan Dr. Mazlee Malik, dan Anugerah Buku Umum Terbaik (Koleksi Fotografi), iaitu buku Anak Gunung Selat Sunda tulisan Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom.
Buku Pendidikan untuk Semua merupakan kompilasi ucapan penulis sebagai Menteri Pendidikan dalam tiga bahasa, iaitu Melayu, Inggeris dan Jerman. Menurut editor buku tersebut, Encik Armin Azahari, anugerah ini menjadi bukti bahawa adunan antara penulis dengan editor mampu menghasilkan karya yang berkualiti.

“Anugerah ini seharusnya menjadi motivasi kepada penulis untuk menghasilkan karya yang lebih baik. Editor akan turut berasa gembira apabila melihat sesebuah buku yang diusahakannya meraih kejayaan,” katanya.

Oleh itu, menurutnya, penulis secara umumnya mesti bersedia untuk mendengar pandangan editor. Manuskrip yang dihantar oleh penulis tidak semestinya telah lengkap, malah lazimnya ada ruang untuk penambahbaikan dan pemurnian. Penulis juga perlu bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan editor, sebaik-baiknya secara bersemuka. Pada masa yang sama, penulis perlu memahami kekangan yang dihadapi oleh editor yang menyebabkan manuskripnya tidak dapat diurus dengan segera.
Sementara itu, editor buku Anak Gunung Selat Sunda, Puan Rabaah Jaafar berkata, keistimewaan buku tersebut terletak pada gambar yang berkualiti dan kandungan teks yang dapat memberikan maklumat tentang negara jiran Malaysia, iaitu Indonesia dari segi kebudayaan dan pelancongan. Teksnya merupakan catatan pengalaman penulis yang telah lebih 40 kali mengunjungi Indonesia, antaranya termasuklah Jakarta, Yogyakarta, Medan, Makasar dan Banda Aceh.
Menceritakan tentang pengalaman bersama-sama penulis sepanjang mengendalikan buku tersebut, beliau berkata, penulis seorang yang komited, sangat mesra dan mudah dibawa berbincang, teliti serta sangat mengutamakan kualiti gambar. Penulis dengan foto ibarat lagu dan irama. Beliau kagum melihat koleksi foto penulis dari tahun 2004 hingga tahun 2019 yang masih tersimpan elok untuk penerbitan buku tersebut.

“Anugerah Buku Negara merupakan pengiktirafan kepada karyawan dalam bidang penerbitan. Hal ini dapat memberikan motivasi kepada editor dan penerbit untuk sentiasa membantu dan memberikan galakan kepada penulis untuk menghasilkan karya yang bermutu,” katanya.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Profesor Adjung Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Pengerusi Alam Flora Sdn. Bhd. Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kerjasama dan kesepakatan sangat perlu bagi memastikan hasrat membudayakan semangat cinta akan buku ilmiah terus membara. Pada masa yang sama, penyampaian Anugerah Buku Negara kepada penggiat penulis buku dan kreatif merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menghasilkan karya yang bermutu tinggi.

“Ilmu ini perlu dimafaatkan ke arah kemanfaatan dan kesejahteraan. Dalam Islam juga telah digalakkan pencarian ilmu sebagai teras pembangunan dan kejayaan manusia. Dalam konteks ini, penulisan dan perbukuan ilmu merupakan perkara yang cukup penting untuk menjadikan bukan sahaja manusia, tetapi peradaban sesuatu bangsa dan negara,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN); YH Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Caselor Universiti Putra Malaysia (UPM); YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Karim Haji Sultan, Pengerusi Program Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabagsa 2022, dan YBhg. Datuk Dr. Roslan Basaruddin, Pengarah Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022.