23 April 2024, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengadakan Program VERBEST 2024 bertempat di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis pada 19–20 April 2024.

Program VERBEST 2024 yang berlangsung selama dua hari tersebut berjaya menarik lebih daripada 2000 orang pengunjung yang terdiri daripada mahasiswa, staf dan alumni.

Program tersebut bertujuan mempromosi dan memperkenalkan persatuan pelajar, di samping memupuk semangat kebersamaan dalam melakukan aktiviti berpersatuan.

Selain itu, mahasiswa juga dapat menonjolkan bakat keusahawanan masing-masing.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata, penganjuran kali ini melibatkan lebih daripada 50 persatuan dalam UiTM Cawangan Perlis dengan setiap persatuan menonjolkan bakat dan kreativiti menghias reruai masing-masing, selain mengadakan sesi interaktif khusus bersama pengunjung yang ingin mendapatkan info lanjut mengenai persatuan.

Beliau juga mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada warga Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan MPP yang bertungkus lumus merealisasikan aspirasi program dengan jayanya.

Antara reruai menarik disajikan, termasuklah reruai Persatuan Science X-SIS, Persatuan FRP, Persatuan ACA, Persatuan Hortech, Persatuan Taekwondo ITF UiTM Cawangan Perlis, Persatuan MARTECH dan sebagainya.

Program VERBEST 2024 bukan sahaja menjadi pentas bagi mahasiswa menonjolkan elemen kreativiti, inovasi dan kepimpinan, malah mampu meningkatkan kemahiran komunikasi, kemahiran kerja berpasukan, menyemai etika dan moral profesionalisme dan menyerlah bakat kepimpinan yang merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam penerapan kemahiran insaniah.

Beliau juga turut meluangkan masa berkunjung ke gerai usahawan yang menampilkan pelbagai barangan jualan termasuklah makanan tempatan dan antarabangsa, serta barangan berbentuk cenderahati. Beliau juga memuji kemahiran dan usaha mahasiswa melarikan hasil jualan dengan strategi dan kreativiti pemasaran tersendiri.

Program VERBEST 2024 menyerlahkan bakat keusahawan mahasiswa dalam merancang dan memulakan perniagaan baharu serta mempamer kebolehan mencipta jaringan usahawan merentas bidang.

Sebelum tirai VERBEST 2024 dilabuhkan, para pengunjung dihidangkan dengan beberapa persembahan seni kreatif bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Program VERBEST 2024 juga turut menyediakan hadiah cabutan bertuah, wang tunai bagi kategori rerurai terbaik, video terbaik, persembahan terbaik terbaik, reruai jualan mega raya terbaik, Food Testing terbaik dan kuiz sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun UiTM Cawangan Perlis. Beberapa cogan kata VERBEST 2024 juga turut dilancarkan antaranya #verbestnyaraya, #alamakverbestlagi dan #verbest24.

Program VERBEST 2024 turut diserikan dengan kehadiran Ketua Unit Kepimpinan Pelajar, Dr. Shafiq Sharuddin, Ketua Staf Residen Kolej, Dr. Mohd Adly Rosli, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Encik Mohamad Farhan Abdul Halim dan Pengarah Program VERBEST 2024, Puan Ros Sara Elysa Rosfauzi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.