25 April 2024, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya pelajar melengkapkan diri dan meneroka ilmu yang terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan bahkan meningkatkan usaha masing-masing bagi mencapai keputusan yang lebih baik sama ada dalam pelajaran mahupun kokurikulum.

Titah baginda, pelajar sekolah rendah dan menengah, iaitu aset masa depan negara perlu melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu dan cara berfikir kelas pertama agar cita-cita untuk menjadikan negeri serta negara ini disegani dan dihormati akan dapat direalisasikan.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 bagi peringkat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau bertemakan “Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan” yang diadakan di Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah di maktab berkenaan melibatkan penyertaan seramai 701 orang pelajar tingkatan satu hingga lima. Titah baginda lagi:

 Akhlak yang baik merupakan tunjang kejayaan setiap individu khususnya para pelajar sekalian. Saya berharap agar para pelajar MRSM Arau akan sentiasa menjaga nama baik diri sendiri, keluarga dan nama baik sekolah serta mengelakkan dari terlibat dengan sebarang perlakuan tidak bermoral yang akan menjejaskan prestasi akademik anda.

Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Shahrizal Mohd Saderi; Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Azam Jamaluddin dan Pengetua MRSM Arau, Mohd Zamzuri Md Noor.

Warga MRSM Arau merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama dengan DYTM Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian penamaan Wisma Pendeta MRSM Arau dengan nama Perpustakaan Syed Sirajuddin Areeb Putera, mengambil sempena nama anakanda bongsu Baginda bagi kegunaan warganya.

Perpustakaan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti pembelajaran para pelajar yang menyediakan bahan bacaan dan rujukan ilmiah yang lebih banyak.

Turut dilaksanakan ialah penyerahan cek cura oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA kepada Pengetua MRSM Arau berjumlah RM36,543 untuk tujuan Perolehan Buku Teks 2024 dengan disaksikan oleh Duli-Duli Tuanku berdua.

DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis berkenan menyaksikan penyerahan cek cura oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA kepada Pengetua MRSM Arau.

Sebagai rekod, MRSM Arau telah mencapai pelbagai kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum, termasuklah membawa pulang lima pingat emas, empat pingat perak dan enam gangsa dalam Kejohanan Taekwondo MRSM Se-Malaysia. Dua orang pelajar sekolah ini juga telah mewakili negeri bagi sukan golf pada peringkat Majlis Sukan Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

MRSM Arau juga telah membawa pulang pingat emas bagi KUIPs Innovation, Invention & Design 2023, merangkul tempat ketiga dan kelima bagi Karnival STEM Perlis 2023 dan beberapa lagi kejayaan lain.

Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.