Oleh Salleh Buang
16 Mac 2021, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada  Ogos 2019 lalu, seorang lelaki Muslim berusia 35 tahun  dihadapkan pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas kesalahan cuba melakukan seks luar tabii dengan pasangannya (seorang lelaki lain) pada November 2018 di sebuah rumah, di Bandar Baru Bangi, Selangor.  Tertuduh mengaku tidak bersalah. Pertuduhan ini dibuat di bawah seksyen 28 Enakmen  Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang menyatakan seperti yang berikut –

Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu”.

Inti pati jenayah ini ialah satu persetubuhan luar tabii, sama ada dengan seorang lelaki, perempuan atau haiwan, manakala hukuman yang boleh dijatuhkan ke atas tertuduh sekiranya sabit kesalahannya, merupakan hukuman maksimum yang dibenarkan di bawah undang-undang – iaitu berasaskan formula 3:5:6 (penjara tiga tahun, denda lima ribu ringgit dan enam sebatan).

Hukuman maksimum ini menunjukkan betapa “kerdilnya” status mahkamah syariah negeri jika dibandingkan dengan bidang kuasa mahkamah sivil di negara ini. Hukuman maksimum ini ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1984, yang merupakan pembaharuan kepada undang-undang lama sebelumnya, iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Kedudukan Mahkamah Syariah negeri di bawah Akta 355 itu lebih teruk lagi kerana hukuman maksimum yang boleh dikenakan hanyalah penjara enam bulan atau denda RM1000 atau kedua-duanya sekali.

Mencabar Kuasa Perundangan Negeri

Kembali kepada kes jenayah takzir di Selangor itu, tertuduh kemudiannya telah merujuk kesnya (pada 28 November 2019) kepada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kuasa perundangan kerajaan Selangor. Tertuduh memohon mahkamah mengisytiharkan seksyen 28 itu sebagai tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Setelah satu tahun berlalu, pada 14 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan menyatakan persetujuannya dengan mendengar hujah daripada semua pihak sebelum membuat keputusan. Setelah mendengar hujah tersebut, pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan seksyen 28 itu tidak sah kerana badan perundangan Negeri Selangor tidak ada kuasa membuat undang-undang mengenai perkara yang disebutkan dalam Senarai Persekutuan (Senarai 1) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Mahkamah Persekutuan, kesalahan yang disebutkan dalam seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor itu wujud dalam Undang-undang Persekutuan, iaitu seksyen 377 dan 377A Kanun Keseksaan. Seksyen 377 ialah kesalahan “buggery with an animal” (persetubuhan luar tabii dengan binatang), manakala seksyen 377A ialah kesalahan “carnal intercourse against the order of nature” (persetubuhan luar tabii dengan manusia).  Hukuman di bawah Kanun Keseksaan itu adalah jauh lebih berat (bersifat penyeksaan) daripada hukuman yang disebutkan dalam seksyen 28 (yang hanya bersifat mengajar dan menginsafkan, bukan menyeksakan).

Hujah Kedua-dua Undang-undang Boleh Wujud Bersama

Peguam yang mewakili kerajaan  Selangor telah berhujah bahawa seksyen 28 itu adalah sah kerana Senarai 2 Jadual Kesembilan menyatakan bahawa badan perundangan negeri boleh membuat undang-undang mengenai kesalahan terhadap “the precepts of Islam”. Oleh itu, mengikut hujah itu lagi, kedua-dua kesalahan ini (jenayah takzir di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan jenayah persetubuhan luar tabii di bawah Kanun Keseksaan) boleh wujud bersama-sama (“co-exist”).

Pada hemat saya, hujah peguam bagi kerajaan Selangor ini ada merit, tetapi malangnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan yang menyatakan bahawa kuasa perundangan Selangor itu terbatas (dihadkan) oleh ayat yang berbunyi  “except in regard to matters included in the Federal List” (kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan).

Tegas Mahkamah Persekutuan lagi, akibat ayat “preclusion clause” (fasal pengecualian) itu, badan perundangan negeri tidak dibenarkan mewujudkan apa-apa undang-undang mengenai perkara yang ada dalam Senarai Persekutuan.  “Criminal law and procedure” merupakan Item empat dalam Senarai satu (Senarai Persekutuan).

Hujah Seksyen 377 dan 377A Berbeza dengan Seksyen 28

Peguam pihak kerajaan Selangor juga berhujah bahawa seksyen 28 dalam Enakmen di Selangor itu berbeza daripada seksyen 377 dan 377A dalam Kanun Keseksaan. Hujah ini juga ditolak sebagai tidak relevan. Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa apa-apa yang penting bahawa jenayah yang disebutkan dalam seksyen 28 itu (disebutkan) dalam Senarai Persekutuan.  Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa sekalipun kesalahan dalam seksyen 28 itu merupakan satu kesalahan terhadap “precepts of Islam”, hal itu tetap tidak boleh “wujud bersama” dengan kesalahan yang disebutkan di bawah Undang-undang Persekutuan.

Tempias Kepada Bidang Kuasa Mahkamah Syariah

Apakah keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu  merupakan satu penafian kepada kuasa perundangan kerajaan  Selangor, sekali gus memberikan tempias negatif kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri? Banyak dalam kalangan pengamal undang-undang syariah di negara ini yang berasa begitu.

Mengikut Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, keputusan Mahkamah Persekutuan itu membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk  mencabar peruntukan jenayah syariah yang lain pada masa akan datang. Meluahkan rasa dukacitanya, Zainul menambah bahawa keputusan itu akan menjejaskan kedudukan undang-undang syariah berkaitan kes liwat di negeri lain disebabkan peruntukan yang sama wujud juga di negeri lain. “Walaupun Mahkamah Persekutuan hanya menyatakan seksyen 28 sahaja yang tidak sah, hal itu akan membuka ruang kepada sesiapa sahaja pada masa depan untuk mencabar peruntukan yang lain,” ujar Zainul

Mengulas keputusan ini, dalam kolumnya di sebuah akhbar harian, Zainul menyatakan bahawa pada waktu ini penghakiman itu memadamkan kuasa Dewan Undangan Negeri menggubal kesalahan liwat kerana diputuskan berada  dalam kuasa Parlimen. Siapa tahu pada satu hari nanti, akan juga dicabar kesalahan jenayah syariah yang lain seperti berjudi, minum arak, berpakaian tidak sopan, sumbang mahram dan banyak lagi?

Pada akhirnya, Dewan Undangan Negeri akan hanya mampu menggubal undang-undang kesalahan melanggar perintah agama Islam, manakala mahkamah syariah pula akan hanya mengadili kes kekeluargaan sahaja. Apa-apa yang disebutkan Zainul itu tidak mustahil boleh berlaku.

Jenis Kesalahan di Bawah Enakmen Jenayah Syariah

Jika kita baca kandungan Enakmen Jenayah Syariah Selangor dengan teliti, kita akan dapati bahawa kandungannya mengandungi empat jenis kesalahan – iaitu kesalahan berhubung aqidah (kategori pertama), kesalahan berhubung kesucian agama Islam dan institusinya (kategori kedua), kesalahan berhubung kesusilaan (kategori ketiga), dan kesalahan lain yang dikategorikan sebagai “kesalahan pelbagai” (kategori keempat). Kesalahan jenayah takzir persetubuhan luar tabii (di bawah seksyen 28) terletak dalam kategori ketiga.

Kesalahan yang disebutkan dalam kategori pertama adalah seperti pemujaan salah, takfir dan menyebarkan doktrin palsu.   Kesalahan yang disebutkan dalam kategori kedua adalah seperti mempersendakan ayat al-Quran dan hadis, menghina atau menyebabkan dipandang hina Agama Islam, mencemarkan tempat ibadat, menghina pihak berkuasa agama, mengeluarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengingkari perintah mahkamah, berjudi, minum bahan yang memabukkan, tidak menghormati Ramadan, tidak solat Jumaat, tidak membayar zakat atau fitrah.

Kesalahan yang disebutkan dalam kategori ketiga adalah seperti melakukan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan luar tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan dan perbuatan tidak sopan di tempat awam. Kesalahan yang disebutkan dalam kategori keempat termasuklah memujuk lari perempuan bersuami, qazaf, dan penyalahgunaan tanda halal.

Masa Hadapan Seksyen 28 dan Kesalahan Takzir Lain

Seksyen 28 dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu telah wujud sebagai satu kesalahan takzir (تعزير‎) selama 25 tahun  dan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu merupakan pertama kali diisytiharkan tidak sah dan terbatal – bukan kerana hal itu menyalahi hukum syarak, menyalahi al-Quran, hadis atau mana-mana fatwa, tetapi hanya kerana hal itu bertentangan dengan Perlembagaan  Persekutuan.

Seksyen 28 Enakmen Jenayah Selangor tidak ada ruang dalam landskap perundangan negara kerana Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan hal itu “wujud bersama” dengan undang-undang persekutuan di bawah satu bumbung yang sama (Perlembagaan Persekutuan) disebabkan fasal pengecualian (exclusion clause) dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mengizinkannya.

Saya sempat berbual mengenai isu ini sedikit masa lalu dengan seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah di sebuah negeri. Saya berbisik kepadanya untuk segera  menghubungi rakan sekerjanya di Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri agar mereka boleh bergabung tenaga menyemak dan menilai semula semua peruntukan perundangan syariah negeri bagi tujuan mengelakkan lebih banyak lagi peruntukan lain dicabar oleh pihak tertentu pada masa hadapan.

JAKIM Diarah Bertindak

Pada 27 Februari lalu, media melaporkan bahawa Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarahkan berbincang dan melakukan penambahbaikan undang-undang syariah di negara ini, khususnya mengenai kesalahan jenayah takzir syariah.

Mengikut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Jawatankuasa tersebut akan berunding dengan semua pihak berkuasa negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha memperkasakan dan menyeragamkan undang-undang syariah di negara ini.

Soalnya kini, sementara semua perkara ini dirancang akan dilakukan, apakah Pendakwa Syarie Selangor telah menyerahkan fail kes jenayah ini kepada Pendakwa Raya supaya pada suatu hari nanti tertuduh dalam kes ini boleh diheret ke Mahkamah Tinggi sivil dan dituduh di bawah Kanun Keseksaan? Sekiranya tertuduh boleh lepas begitu sahaja disebabkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu, maka tragedi berulang dan berlaku sekali lagi.

 

Profesor Datuk Salleh Buang ialah mantan Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.