Oleh Hamidah Zabidi
29 Mac 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selamatkah? Dilaporkan ada nyawa yang melayang di beberapa buah negara setelah menerima suntikan. Ada kesan sampingan? Bagaimana pula dengan pendedahan video yang mengaitkan mikrocip elektronik yang dimasukkan ke dalam vaksin melalui teknologi nano yang dikatakan mampu mengesan kedudukan manusia?

Bolehkah umat Islam mengambilnya? Bukankah terdapat sumber yang haram dan meragukan? Lagipun, vaksin ialah agenda Yahudi! Yang paling penting, bagaimana mereka berjaya menghasilkan vaksin dalam masa setahun? Adakah mereka meninggalkan beberapa langkah utama bagi mempercepat penghasilannya?

Amat malang dan sungguh menyedihkan! Biarpun dianggap sebagai keajaiban perubatan dan merupakan jalan keluar daripada belenggu pandemik COVID-19, banyak pihak yang mempertikai dan menafikan keberkesanan vaksin.

Memetik kata-kata Profesor Melinda C. Mills, Pakar Sosiologi dan Demografi dari Universiti Oxford yang juga Pengarah di Pusat Demografi Sains Leverhulme, dalam British Medical Journal (BMJ) yang diterbitkan pada 17 Februari lalu, sebilangan orang menyebarkan maklumat yang salah mengenai vaksin ‒ maklumat palsu dengan niat jahat atau maklumat yang mengelirukan, berdasarkan kepercayaan yang salah. Apa-apa yang membimbangkan ialah kedua-duanya meningkatkan keraguan terhadap vaksin, yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu daripada 10 ancaman kesihatan utama. Akibatnya amat jelas. Sebagai contoh, walaupun vaksinasi campak telah menyelamatkan 23 juta nyawa, maklumat yang salah sering dikaitkan dengan peningkatan kes penyakit ini.

Antara maklumat palsu mengenai vaksin ialah heterogenus, disebarkan oleh kumpulan yang bermula daripada golongan pendukung kebebasan (libertarian) antivaksin yang kononnya melindungi kebebasan awam termasuk golongan ibu bapa yang prihatin dan orang yang peka terhadap kesihatan. Dalam keadaan yang tidak menentu dan masyarakat kebanyakannya berhadapan dengan maklumat yang rumit dan berkembang, sekitar 25 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah berkongsi berita palsu secara tidak sengaja. Manakala sebilangan besar (70 peratus hingga 83 peratus) masyarakat di AS dan Eropah menggunakan internet untuk mencari maklumat kesihatan, pada kebiasaannya di media sosial. Contohnya, lebih daripada 65 peratus kandungan YouTube mengenai vaksin nampaknya tidak menggalakkan penggunaannya ‒ memfokuskan pada autisme, reaksi buruk atau kandungan merkuri. Algoritma carian mempromosikan kandungan yang serupa dengan apa-apa yang pernah dilihat oleh pengguna sebelumnya, menyebabkan banyak pihak memasuki ruang gema yang semakin sempit dengan maklumat palsu.

Kajian di United Kingdom pada tahun ini mendapati pengguna yang bergantung pada media sosial untuk mendapatkan maklumat terutamanya dari YouTube, secara signifikan kurang bersedia untuk diberikan vaksin. Hal ini dikatakan demikian kerana ramai yang terpengaruh dengan teori konspirasi COVID-19 yang mengatakan bahawa pandemik tersebut dirancang bagi mengurangkan populasi dunia.  Lantaran itu, pengambilan vaksin yang dihasilkan dalam tempoh masa yang begitu pantas hanya akan menguntungkan pihak tertentu yang dikatakan memandang sebelah mata aspek keselamatan serta kesan sampingan kepada pengguna.

TENTANG VAKSIN

Vaksin berfungsi dengan mendedahkan sistem kekebalan tubuh kepada sejumlah kecil virus atau “maklumat” mengenai virus, cukup untuk “mengajar” vaksin mengenali dan bertindak balas terhadap patogen itu. Ideanya adalah bagi mendedahkan tubuh kepada virus dengan cara terkawal untuk “melatih” vaksin mencegah jangkitan.

Penciptaan vaksin bermula pada tahun 1796 apabila Edward Jenner mendapati, dengan mendedahkan jumlah kecil virus cacar yang disebut vaccinia atau virus vaksin adalah lebih selamat daripada mendedahkan mereka kepada virus variola yang menjangkiti manusia. Oleh itu, inokulasi terhadap virus vaksin pada akhirnya menjadi istilah umum yang digunakan pada hari ini ‒ vaksinasi. Penemuan ini benar-benar merevolusikan penjagaan kesihatan awam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut cacar air sebagai satu daripada penyakit paling dahsyat yang diketahui oleh umat manusia kerana penyakit tersebut menyebabkan berjuta-juta kematian di seluruh dunia selama kira-kira 3000 tahun. Cacar secara rasmi dibasmi pada tahun 1980, menerusi program vaksinasi global yang konsisten. Pada 8 Mei tahun itu, Majlis Kesihatan Sedunia ke-33 membuat pengumuman bersejarah: “Dunia dan semua rakyatnya telah memenangi kebebasan daripada virus cacar.” Menurut WHO, pada abad ke-20 sahaja, cacar telah meragut sekitar 300 juta nyawa. Hingga hari ini, dunia telah memiliki vaksin untuk mencegah lebih daripada 20 penyakit yang mengancam nyawa.

MITOS DAN FAKTA MENGENAI VAKSIN

Disebabkan pencapaian vaksin yang gemilang, penyelidikan saintifik sama sekali menolak dakwaan vaksinasi tidak selamat serta mempunyai kaitan dengan autisme. Malah, para saintis juga percaya bahawa vaksin memperkuat dan bukannya melemahkan sistem imun. Walaupun kekebalan semula jadi kadangkala lebih kuat daripada imuniti yang diperoleh melalui vaksin, tetapi memperoleh imuniti secara semula jadi yang  mendedahkan anak-anak kepada risiko kesihatan merupakan sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

Ada juga yang mendakwa vaksin mengandungi toksin pada tahap yang tidak selamat untuk tubuh manusia. Pada hakikatnya, sedar tidak sedar kita sememangnya terdedah kepada bahan-bahan yang diperoleh secara semula jadi melalui makanan dan banyak produk lain. Menurut Jawatankuasa Makanan dan Ubat (FDA) AS, kandungan merkuri dalam dos standard vaksin yang mengandung tiomersal (thimerosal) adalah hampir sama dengan yang terdapat dalam tin tiga auns tuna. Kenyataan daripada Projek Pengetahuan Vaksin di Universiti Oxford, United Kingdom mendedahkan, buah pear mengandungi sekitar 50 kali lebih banyak formaldehid daripada yang terdapat dalam apa-apa vaksin sekali pun.

VAKSIN TERPANTAS DIHASILKAN

Memandangkan vaksin terpantas ‒ vaksin beguk (mumps) ‒ memerlukan masa selama empat tahun untuk dihasilkan, adalah wajar jika kita berasa khuatir mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19.

Menerusi temu bual bersama-sama WIRED Health: Tech pada Oktober lalu, Dr. Tal Zaks, Ketua Pegawai Perubatan Moderna Therapeutics dan Profesor Uğur Şahin, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech menjelaskan, dengan mempunyai akses kepada dana yang lebih banyak bermakna penyelidik dapat menjalankan kajian dan penyelidikan dengan lebih pantas, tanpa perlu berasa bimbang akan kesan kehilangan modal sekiranya calon vaksin mereka tidak lulus ujian keselamatan atau keberkesanan.

Profesor Şahin menjelaskan: “Satu aspek penting yang diketengahkan bukannya dengan melangkau atau mengurangkan langkah, kami memutuskan untuk melakukan sesuatu secara seiring. Pada kebiasaannya, dalam pengembangan vaksin, kajian fasa pertama dilakukan. Mungkin enam atau 12 bulan kemudian, kajian fasa kedua dilakukan. Selepas itu barulah akan diputuskan sama ada kajian fasa ketiga perlu dilakukan atau tidak. Hal ini dilakukan bukan sahaja untuk meminimumkan risiko kos tetapi juga berdasarkan cara tradisional (di mana-mana vaksin dihasilkan). Ini bukan cara terbaik tetapi hanya kaedah yang dilakukan secara tradisional.”

Selain dana yang besar, penyelidik tidak bermula daripada kosong ketika mereka mengetahui mengenai SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19. SARS-CoV-2 ialah ahli keluarga koronavirus. Menurut Institut Alergi Nasional dan Penyakit Berjangkit AS, terdapat beratus-ratus koronavirus termasuk empat yang boleh menyebabkan selesema biasa, serta koronavirus yang mencetuskan SARS atau sindrom pernafasan akut yang teruk ‒ wabak pada tahun 2002, dan kemunculan MERS atau sindrom pernafasan Timur Tengah, pada tahun 2012.

Dr. Eric J. Yager, Profesor Mikrobiologi Bersekutu di Albany College of Pharmacy and Health Sciences di Albany, New York memberitahu bahawa para saintis telah mempelajari dan mengkaji koronavirus selama lebih daripada 50 tahun. Hal ini bermaksud para saintis mempunyai rekod data mengenai struktur, genom dan kitaran hidup virus jenis ini. Dr. Yager menjelaskan: “Kajian terhadap virus-virus ini membuktikan pentingnya protein lonjakan virus (S) dalam perlekatan, perlakuran dan kemasukan, serta mengidentifikasi protein S sebagai sasaran perkembangan terapi antibodi dan vaksin.” Tambah beliau: “Usaha awal para saintis di Universiti Oxford untuk membuat vaksin berasaskan adenovirus untuk menentang MERS memberikan pengalaman eksperimen yang diperlukan dan asas untuk mengembangkan vaksin adenovirus untuk COVID-19.”

Seterusnya, kolaborasi antara penyelidik dengan saintis sedunia memudahkan proses penghasilan vaksin COVID-19. Di tengah-tengah wabak global, para penyelidik cepat bergerak untuk berkongsikan data koronavirus yang diketahui dengan saintis lain. Dr. Yager mengatakan bahawa berkat kemajuan dalam penjujukan genom, para penyelidik berjaya menemukan urutan virus SARS-CoV-2 pada Januari 2020. Kira-kira 10 hari selepas kes pneumonia pertama kali dilaporkan di Wuhan, China, keupayaan untuk mempercepat penyelidikan dan ujian klinikal merupakan hasil langsung daripada kerjasama di seluruh dunia ini.

TEKNOLOGI MRNA

Beberapa buah negara telah mula memberikan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19. Ini ialah vaksin mRNA pertama yang digunakan pada manusia di luar ujian klinikal. Syarikat lain yang mengusahakan vaksin mRNA COVID-19 ialah Moderna, yang bekerjasama dengan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) AS. Selain perkembangan vaksin yang pantas, kedua-dua syarikat ini merupakan pelopor dalam teknologi mRNA. “Pandemik ini telah memasuki era baharu penyelidikan vaksin. Kolaborasi saintis global dan penghasilan vaksin mRNA menyamai kejayaan ‘pendaratan manusia di bulan’,” kata Dr. Yager.

Cabaran pada masa kini sebenarnya adalah untuk memastikan kelancaran penerimaan vaksin oleh masyarakat secara meluas. Apa lagi alasan anda untuk menafikan vaksin sebagai kaedah perubatan yang terbukti berkesan dan selamat? Buka minda dan lapangkan dada dengan membaca daripada sumber yang benar dan sahih. Percayalah, anda akan lebih sihat dan selamat!

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi