Oleh Syaza Wardina
5 April 2021, 07:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penularan pandemik COVID-19 memberikan kesan yang besar terhadap pelbagai sektor, antaranya sektor pendidikan sehingga menyebabkan beberapa siri penutupan sekolah di seluruh negara ‒ yang terakhir pada Julai tahun lalu. Dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada pertengahan Februari lalu mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat, bermula dengan kehadiran pelajar prasekolah dan sekolah rendah pada 1 Mac lalu.

Sepertimana yang dijadualkan, pada hari ini, pelajar sekolah menengah menjadi kelompok pelajar terakhir yang kembali ke sekolah setelah hampir sembilan bulan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Kelompok ini meliputi pelajar dari negeri Kumpulan B, iaitu Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya, Sabah, Selangor, Sarawak dan Sabah, kecuali bagi pelajar di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau.

Tinjauan di beberapa buah sekolah di sekitar ibu negara mendapati, proses penerimaan pelajar sekolah menengah pada kali ini berjalan dengan lancar berikutan usaha sama semua pihak dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), bermula dengan penyediaan dan penandaan laluan khas pelajar, saringan suhu sebaik-baik sahaja memasuki perkarangan sekolah, penyediaan pensanitasi tangan, amalan penjarakan fizikal dan sebagainya.

Golongan pendidik antara lain yang turut berasa teruja untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran bersama-sama pelajar secara bersemuka. “Apa-apa yang penting, masing-masing perlu melazimkan diri dengan kebiasaan baharu dan norma baharu dengan cara mematuhi SOP yang ditetapkan agar segala-galanya berjalan dengan lancar,” kata Ainin Atikah Mohd. Shukri, Guru Pendidikan Agama Islam dari Sekolah Menengah Sains Seri Puteri.

Beliau turut berharap agar ibu bapa sentiasa peka terhadap tahap kesihatan anak-anak bagi mengelakkan kemungkinan pandemik ini menjangkiti anak-anak mereka seterusnya mengakibatkan berlaku penularan di sekolah.

Video: Suasana persekolahan dengan amalan kebiasaan baharu dan norma baharu di Sekolah Menegah Kebangsaan Perimbun, Selangor, sekitar jam 7.00 pagi, pada 5 April 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.