Oleh Hamidah Zabidi
9 April 2021, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji punca kurangnya jumlah rakyat yang mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19. Hingga 5 April lalu, sebanyak kira-kira 7.9 juta rakyat telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau 32.6 peratus daripada populasi di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata: “Saya tak puas hati, jadi kita ingin tahu adakah kempen kurang dilaksanakan atau orang ramai takut atau tidak tahu bagaimana cara untuk mendaftar sebagai penerima vaksin. Ini kerana angka itu memang tidak memuaskan dan masih pada tahap yang rendah,” katanya yang memberitahu dalam program kebangsaan ini bahawa KKM menyasarkan sebanyak 70 hingga 80 peratus pengguna aplikasi MySejahtera sebagai penerima vaksin COVID-19.

Rakyat di negara ini diminta supaya segera mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) demi kesejahteraan diri dan keluarga sekali gus negara mampu mencapai imuniti kelompok.

Memetik kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin: “Apabila banyak rakyat mendapat suntikan vaksin, maka lebih selamat negara kita. Tujuan kerajaan tidak lain tidak, untuk menolong rakyat. Rakyat harus tolong diri sendiri untuk memastikan kehidupan yang selamat dan sihat.”

Sebanyak 514 036 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Manakala sebanyak 287 737 individu dalam kumpulan fasa pertama PICK sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini berjumlah 801 773.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata: “Banyak rakyat masih bersikap tunggu dan lihat. Mereka mahu tunggu dan lihat penerima vaksin awal ada kesan negatif atau tidak, sebelum mereka mendaftar.” Pada hakikatnya, tidak dinafikan memang ada yang mengalami kesan sampingan. Sebanyak 25 770 kes atau 3.5 peratus daripada 706 404 orang penerima vaksin COVID-19 hingga 31 Mac lepas, dikesan mengalami kesan sampingan ringan dan serius. Kira-kira 99.5 peratus daripada kes itu ialah kesan ringan dan selebihnya kes serius yang memerlukan rawatan serta pemerhatian lanjut pakar kesihatan.

Antara kesan ringan yang dialami penerima vaksin adalah sakit di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, muntah, loya, sakit di sendi dan sengal-sengal di badan. Bagi kesan lebih teruk seperti bengkak di sebahagian anggota badan seperti muka, sesak nafas dan tidak selesa pada bahagian dada. Kesemua mereka yang mengalami kesan serius telah dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan lanjut dan kebanyakan mereka sudah sihat dan dibenarkan untuk keluar dari hospital. Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan akibat kesan langsung daripada penerimaan vaksin COVID-19.

Kaitan Punca Kematian

Biarpun begitu, tular berita yang mengaitkan suntikan vaksin sebagai punca kematian. Yang terbaharu, kes anggota polis yang tular kononnya meninggal dunia selepas mengalami komplikasi vaksin COVID-19 akibat pengambilan dos kedua. Anggota balai polis Gerik berusia lingkungan 50-an itu, menerima dos pertama pada 13 Mac lepas dan menerima dos kedua pada pukul 9.00 pagi hari Sabtu, 3 April lalu. Bagaimanapun, anggota polis yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis itu mengadu sakit pada waktu tengah hari dan diberi rawatan awal di Hospital Gerik sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Taiping, kerana mengalami sakit jantung (Myocardial Infarct) dan keadaan pesakit kini stabil.

Pada 18 Mac lalu, seorang jururawat yang menerima suntikan vaksin COVID-19 sebelumnya lalu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Seri Astana, Sungai Petani. Bagaimanapun, kematian wanita berusia 45 tahun yang mempunyai rekod penyakit darah tinggi itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin.

Di Kangar, seorang juruteknologi makmal perubatan Klinik Kesihatan Kangar disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung dan disahkan tidak mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin COVID-19 yang diterimanya sebelum itu. Berdasarkan rekod perubatan, arwah yang berusia 42 tahun mempunyai sejarah serangan jantung dan pernah menjalani pembedahan angioplasty pada sekitar tahun 2013. Kejadian ini berlaku pada 22 Mac lalu.

Pada 17 Mac lalu pula, Jabatan Kesihatan Pahang menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial berkaitan kematian seorang pegawai bomba yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19. Hasil siasatan mendapati pegawai berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung bukan disebabkan suntikan vaksin diterimanya pada 12 Mac lalu, iaitu empat hari sebelum meninggal dunia. Berdasarkan rekod, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi serta pernah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020 dan pakar mencadangkan agar mangsa menjalani pembedahan.

Lantaran itu, KKM menyeru orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang tidak tepat dan tidak sahih. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat terhadap vaksin COVID-19. Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50 ribu atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan statistik daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 68 peratus rakyat negara ini mahu menerima suntikan vaksin COVID-19 berbanding 16 peratus yang masih tidak pasti sama ada mahu atau tidak. Oleh itu, maklumat mengenai program vaksinasi perlu diberikan dengan tepat supaya rakyat tidak berasa waswas, selain kerjasama semua pihak penting untuk menjayakan program ini.

Maklumat yang betul akan memberikan keyakinan kepada rakyat bagi menerima suntikan vaksin COVID-19. Sebagai contoh, tanda positif pelaksanaan PICK yang bermula pada 24 Februari lalu ialah kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan KKM menurun.

Mengapa Tidak Bersedia Divaksin?

Ramai yang lebih memfokuskan isu negatif berkenaan vaksin. Mari ikuti penjelasan daripada Profesor Julie Leask dari Australia. Beliau merupakan seorang saintis sosial yang mengkaji mengapa ada kelompok bersedia dan tidak bersedia untuk diberikan vaksin.

Leask menyebut, selain golongan antivaksin yang mendapat perhatian media berbanding pengaruh kecil mereka (kadar vaksinasi di Australia bertahan antara 91 peratus hingga 93 peratus sejak tahun 2003), dia melihat mereka yang tidak melakukan vaksinasi sebagai kumpulan yang lebih luas.

Pada hakikatnya, kebanyakan orang berhadapan dengan halangan logistik dari hari ke hari. Mereka mungkin ibu bapa tunggal atau keluarga yang mempunyai ramai anak lantas vaksinasi tidak tersenarai sebagai tugas yang harus dilakukan. Bukan itu sahaja, mereka mempunyai persoalan mengenai vaksinasi namun tidak mempunyai akses mudah kepada profesional kesihatan yang boleh mereka bincangkan.

Bagi Leask, jawapannya adalah dalam mengembangkan sistem yang menangani halangan ini. “Jika isu ini ditangani sebaik-baiknya, pasti ada kejayaan,” katanya. “Dengan ibu bapa yang sibuk, peringatan mudah atau lawatan ke rumah dapat menyelesaikan masalah. Bagi mereka yang mempunyai pertanyaan, profesional kesihatan yang terlatih dapat membantu menjawab persoalan yang tidak jelas dan memberikan beberapa cadangan yang bernas.”

Berdasarkan kajian Leask, dia menjangkakan majoriti rakyat Australia akan menerima vaksin COVID-19, selagi tidak ada isu keselamatan yang besar atau rintangan lain. Sebilangan orang tidak pasti kerana mereka tidak percaya vaksin baharu itu selamat. Sebilangan kecil akan menolaknya secara terang-terangan kerana beberapa sebab. Kumpulan yang lebih kecil akan menggunakan kaedah menulis di media sosial untuk berkeras menentang penggunaannya.

Bagi Leask, tidak perlu untuk membuang banyak masa memfokuskan golongan yang menolak vaksinasi. Adalah lebih bermanfaat memfokuskan usaha ke atas golongan yang disebut “ragu-ragu”. Mereka ialah kumpulan minoriti tetapi sekelompok besar orang yang tidak mengambil vaksinasi.

Apa-apa pun, sebagai individu yang waras dan bijak, anda barangkali boleh memikirkan saranan ini. Benar kerajaan telah berjanji bahawa vaksinasi COVID-19 adalah secara sukarela, tidak seperti difteria dan campak ‒ imunisasi diwajibkan. Benar, terpulang kepada anda untuk menentukan apakah anda mahukan perlindungan. Akan tetapi, adakah keputusan untuk tidak menerima vaksin adil kepada orang lain? Adakah rasa takut, keras kepala atau mementingkan diri anda akan membuat golongan yang tidak boleh menerima vaksin berisiko lebih tinggi? Selain itu, haruskah orang yang mendedahkan diri kepada risiko terkena penyakit itu dengan sengaja, ketika vaksin tersedia, diperbolehkan menggunakan subsidi dan insurans kerajaan untuk membayar ujian dan rawatan?

Pihak kerajaan mungkin boleh menimbangkannya kerana anda memilih untuk tidak mendapatkan perlindungan yang ditawarkan. Maka anda harus juga bersedia menanggung akibat daripada keputusan ‒ baik daripada aspek penyakit atau kos rawatan untuk menanganinya.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi