Oleh Syaza Wardina
28 April 2021, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin, pada hari ini mengumumkan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

Keputusan pemansuhan UPSR dilaksanakan setelah memperoleh pendapat, pandangan dan input melalui pelbagai proses libat urus dalam pelbagai sesi yang disertai oleh lebih daripada 1700 orang peserta daripada kalangan guru, ibu bapa, murid, serta persatuan di seluruh negara.

“Berikutan pemansuhan UPSR, pihak KPM akan memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di samping Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya,” jelas Radzi. Tambah beliau, sejajar dengan pemansuhan UPSR, Pertaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) juga dimansuhkan.

Radzi berkata, berkenaan dengan pembatalan PT3 pula, keputusan tersebut dibuat dengan mempertimbangkan masalah kekangan masa bagi para pelajar untuk membuat persiapan, khususnya pembelajaran bersemuka bersama guru di sekolah. Jelas beliau, disebabkan situasi penularan COVID-19 masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya, maka penilaian bagi pelajar tingkatan tiga pada tahun ini akan dilaksanakan melalui PKSK dan PBD.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.