Oleh Syaza Wardina
29 April 2021, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi semua negeri kecuali Sarawak diberikan kebenaran untuk pulang ke kediaman masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri. Hal yang demikian diputuskan dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 28 April 2021, selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan. Pun begitu, para pelajar turut diberikan pilihan sama ada pulang ke rumah masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

Bagi memastikan pergerakan pelajar berlaku dalam keadaan terkawal, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan yang memerlukan pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa. Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing adalah pada 7 – 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah pada 15 – 20 Mei 2021. Dalam pada itu, pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Pelajar hanya dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dengan menggunakan tiga kaedah, iaitu dengan menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga, atau menaiki bas yang diselaraskan oleh IPT. Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my. Untuk pertanyaan lanjut, pelajar boleh menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.