Oleh Syaza Wardina
16 Mei 2021, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, pada hari ini menyampaikan perutusan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Kali ke-50 Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, yang bermakna genap 50 tahun hari guru semenjak disambut buat pertama kalinya pada tahun 1972.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun ini masih mengekalkan tema “Berguru demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” yang bertepatan dengan usaha menjadikan cinta kepada ilmu sebagai teras pendidikan. Katanya, “guru menjadi pendukung dan pemacu kepada transformasi pendidikan negara yang membawa kepada kejayaan anak didik saban tahun.”

“Dalam situasi penularan pandemik COVID-19 di negara ini sejak lebih setahun lalu, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) konvensional telah banyak bergantung kepada pembelajaran secara dalam talian yang kini menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan di negara ini. Justeru, Digital Education Learning Initiative Malaysia atau DELIMa yang diumumkan oleh KPM pada 15 Jun tahun lalu menjadi satu daripada platform untuk guru membangunkan PdP secara digital,” jelas Perdana Menteri.

Tambah beliau, pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam Pembelajaran Abad ke-21 juga sejajar dengan anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran yang berteraskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

Dalam perutusan tersebut juga, Perdana Menteri menyampaikan ucapan tahniah kepada guru bernama Noorizan Mohamed yang telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2021. Di samping itu, beliau turut mengumumkan dua orang penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2021, iaitu Datuk Dr. Amin Senin dan Dr. Habibah Abdul Rahim. Beliau berkata, “semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada semua warga pendidik untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan pendidikan negara dan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.