Oleh Syaza Wardina
10 Jun 2021, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keputusan Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding dengan GPN 4.86 pada tahun 2019, sekali gus menjadikan keputusan SPM pada kali ini sebagai yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat sebanyak 1.96 peratus, iaitu sebanyak 88.68 peratus (338 659 calon) berbanding 86.72 peratus (337 773 calon) pada tahun 2019.

Tambah beliau, sebanyak 1435 orang calon berkeperluan khas (CBK) telah menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2020. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68.22 peratus CBK layak dianugerahkan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini berbanding dengan 61.34 peratus pada tahun 2019 ‒ peningkatan sebanyak 6.88 peratus.

“Pencapaian calon di bandar dan luar bandar turut mencatatkan peningkatan. Namun begitu, pencapaian calon di luar bandar menunjukkan peningkatan lebih tinggi berbanding dengan calon di bandar. Hal ini menyebabkan jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar mengecil kepada 0.38 pada tahun 2020 berbanding 0.44 pada tahun 2019,” kata beliau pada Sidang Media Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2020.

Pada tahun 2020, sebanyak 381 894 orang calon telah menduduki peperiksaan SPM. Daripada jumlah itu, sebanyak 9411 orang calon (2.46 peratus) memperoleh semua A, 78 731 orang calon (20.62 peratus) mendapat sekurang-kurangnya kepujian, 146 447 orang calon sekurang-kurangnya lulus (38.35 peratus) manakala 121 496 orang calon (31.81 peratus) memperoleh sekurang-kurangnya gagal dalam satu mata pelajaran.

Semakan keputusan SPM 2020 boleh dibuat mulai 10 Jun 2021 (Khamis) tepat jam 10.00 pagi di laman sesawang berikut: https://myresult1.moe.gov.my atau https://myresult2.moe.gov.my.

Sementara itu, slip keputusan rasmi SPM 2020 yang memaparkan Jata Negara dan kod QR boleh diperoleh bermula pada 14 Jun 2021 melalui pautan: https://myresult3.moe.gov.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.