Oleh Fadhli Ali
17 Jun 2021, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar murid yang menduduki peperiksaan awam diberikan keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang dipengerusikan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan perkara tersebut  menerusi laman Facebook miliknya, dengan menjelaskan bahawa keputusan tersebut merupakan susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas.

“Bagi vaksinasi guru, hingga kini lebih daripada 90 ribu orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” ujar Dr. Radzi yang turut berkongsi video ringkas Khairy memberikan penjelasan mengenai perkara berkenaan.

“KPM komited dengan sentiasa melakukan yang terbaik” – Datuk Dr. Radzi Jidin.

Data yang diterima daripada KPM mendapati sebanyak 357 ribu orang pelajar tingkatan lima dan 47 ribu orang guru yang mengajar pelajar tingkatan lima. “Anak-anak yang menghadapi peperiksaan awam perlu kembali ke sekolah untuk persediaan menghadapi peperiksaan. Kami bekerjasama dengan KPM dengan memberi tumpuan pada tahun peperiksaan terlebih dahulu dan untuk memberikan inokulasi kepada guru, kakitangan sokongan sekolah serta pelajar tahun peperiksaan,” kata Khairy dalam forum tersebut.

Pada 16 Jun 2021,  penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kegunaan golongan berusia 12 tahun dan ke atas menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa kelulusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.