18 Jun 2021, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penularan kes COVID-19 yang terus meningkat dalam tempoh yang panjang memberikan impak terhadap ekonomi dunia dan juga kepada negara khususnya. Banyak sektor yang dilihat terkesan dan berhadapan dengan kekangan aliran tunai seperti sektor pelancongan, penerbangan, pengangkutan, pembinaan dan juga pendidikan.

Kerajaan turut mengumumkan Malaysia kehilangan kira-kira RM98 bilion punca pendapatan sepanjang bulan Mac hingga Mei 2020 rentetan penutupan banyak premis perniagaan. Sektor swasta merupakan penyumbang terbesar ekonomi negara kerana menawarkan lebih daripada 90 peratus peluang pekerjaan berbanding 10 peratus daripada sektor kerajaan. Justeru itu, ekonomi negara dilihat agak merosot kerana sepanjang pandemik, keupayaan sektor swasta dalam menyediakan pekerjaan baharu adalah terhad. Rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) turut menunjukkan sejumlah 28 774 orang pekerja telah hilang pekerjaan setakat 28 Mac 2021 dan data turut menunjukkan kumpulan golongan pekerja berusia antara 30 hingga 34 tahun ialah kumpulan yang paling dominan berhadapan dengan kehilangan pekerjaan.

Kebanyakan firma atau organisasi yang berskala kecil ataupun dikategorikan sebagai perniagaan tahap mikro berhadapan dengan kesukaran dalam mengurus aliran tunai. Bebanan dilihat seakan-akan bertambah apabila kerajaan telah menetapkan arahan kepada pihak majikan untuk terus membuat bayaran gaji penuh. Laporan Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, lebih 28.3 peratus syarikat menyatakan pendapatan bulanan yang diterima berkurangan sehingga melebihi 90 peratus. Pada masa yang sama, 70 peratus daripadanya turut memaklumkan simpanan yang ada mampu untuk bertahan bagi tempoh dua bulan sahaja. Jadi, adakah wajar bagi pihak majikan untuk terus membayar gaji penuh, walaupun syarikat tidak beroperasi?

Gaji merupakan antara komitmen terbesar sesebuah organisasi. Secara asasnya, bayaran gaji melibatkan purata yang agak tinggi iaitu antara 25 peratus hingga 35 peratus daripada kos operasi syarikat. Namun begitu, kos ini boleh menjangkau 50 peratus hingga 60 peratus bagi syarikat yang menyediakan servis perkhidmatan. Situasi sukar sebegini memerlukan penglibatan kedua-dua pihak ‒ majikan dan pekerja ‒ untuk sama-sama memastikan hak mereka terpelihara. Menurut Datuk Shamsuddin Bardan selaku Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan (MEF), situasi pandemik ini berlaku di luar jangkaan dan kawalan kedua-dua pihak. Beliau berpendapat perlulah ada formula “menang-menang” dengan cara pekerja dapat meneruskan kehidupan dan syarikat diberikan peluang untuk terus bernafas. Sebagai contoh, beliau mencadangkan majikan perlulah meneruskan membuat bayaran gaji kepada pekerja sekurang-kurangnya 12 hari gaji  kerana dalam Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara 1980) dinyatakan, dalam tempoh 4 minggu berterusan jika syarikat gagal membuat bayaran gaji sekurang-kurangnya 12 hari, bererti pekerja telah ditamatkan perkhidmatan atau laid-off. Oleh itu, bayaran gaji minimum itu perlu dilakukan bagi memastikan hubungan pekerja-majikan masih wujud. Sekurang-kurangnya syarikat tidak perlu membayar gaji penuh dan pada masa yang sama pekerja juga masih lagi mempunyai pendapatan dan pekerjaan. Dalam situasi kritikal ini, pemberhentian kerja ternyata menjadi ketakutan utama dalam kalangan pekerja yang boleh memberikan kesan besar terhadap kelangsungan hidup.

Selain itu, arahan untuk bekerja dari rumah atau BDR juga sesuatu yang perlu difikirkan kerana memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila pekerja BDR, tiada kos melibatkan perjalanan dan pengangkutan pekerja. Sementara bagi pihak majikan pula, kos utiliti seperti bil elektrik dan air serta kos penyelenggaraan dapat dikurangkan.  Situasi ini perlu dilihat semula dari sudut simpanan atau pengurangan kos yang boleh dijadikan manfaat bersama antara kedua-dua pihak. Di Jepun, syarikat Fujitsu antara contoh syarikat yang mengambil inisiatif dengan memanfaatkan simpanan yang boleh dibuat apabila pekerja diarahkan BDR. Syarikat tersebut telah mengecilkan ruang pejabat dan hasil atau pendapatan yang diperolehi digunakan untuk memberikan elaun tertentu kepada pekerja yang BDR. Ini ialah contoh keadaan “menang-menang” yang amat baik dan boleh dipraktikkan di Malaysia.

Dalam berhadapan dengan krisis kesihatan ini,  kerajaan turut memainkan peranan dengan berganding bahu membantu daripada pelbagai aspek dan dalam memastikan ekonomi negara terus dijana. Antara program yang diusahakan ialah program pengekalan pekerjaan (ERP) yang memperuntukkan bantuan sebanyak RM120 juta ‒ bantuan segera sebanyak RM600 dibayar kepada pekerja yang dicutikan oleh majikan. Kerajaan juga telah mewujudkan program subsidi upah yang merupakan penambahbaikan kepada program ERP dan bertujuan untuk membantu majikan yang terkesan kerana COVID-19 serta memastikan mereka mengekalkan pekerja dan meneruskan operasi syarikat.  Secara keseluruhannya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM15 bilion dalam program subsidi upah yang dianggarkan mampu untuk menampung dalam tempoh enam atau tujuh bulan.

Yang terkini, pada 1 Jun 2021, kerajaan turut mewujudkan program bantuan PEMERKASA Tambahan yang berjumlah RM40 bilion sebagai inisiatif terbaharu bagi meringankan beban rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantuan ini turut merangkumi pemberian moratorium kepada perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Segelintir masyarakat berpendapat bahawa kerajaan perlu mempercepat segala bentuk bantuan kerana ramai yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik melanda negara. Sebilangan mereka turut juga mempersoalkan kemampuan kerajaan untuk memberikan peruntukan yang lebih besar, apatah lagi melihat negara luar, sebagai contoh kerajaan di United Kingdom, yang memberikan sehingga 80 peratus subsidi gaji. Sementara itu, di Singapura pula, kerajaan mereka memperuntukkan 75 peratus subsidi gaji. Namun demikian, atas banyak faktor lain yang perlu diutamakan, menyebabkan peruntukan terpaksa dihadkan.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma turut menyuarakan kegusaran sekiranya kerajaan tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menampung pakej rangsangan ekonomi kepada rakyat. Beliau turut berpendapat walaupun bantuan sememangnya perlu diberikan kepada rakyat, namun bantuan kewangan hanya boleh diberikan untuk jangka masa yang pendek sahaja.

Berikutan dengan pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun Sekatan Pergerakan Penuh (Total Lockdown) di seluruh negara yang bermula pada 1 Jun lalu, ternyata hal ini turut memberikan kesan yang amat besar kepada pendapatan perniagaan. Keputusan ini bertujuan untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan diyakini mampu untuk mengurangkan jumlah daripada 15 juta pekerja menjadi 1.5 juta orang yang keluar bekerja. Menteri Kanan Keselamatan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan sebanyak  17 sektor yang dibenarkan beroperasi iaitu sektor makanan dan minuman, perkhidmatan kesihatan, serta perkhidmatan keselamatan yang merangkumi kebajikan, namun kerancakan ekonomi dan tahap keyakinan di pasaran masih lemah, termasuklah pasaran dalam dan luar negara.

Untuk mengembalikan kerancakan ekonomi bukanlah satu usaha yang mudah, apatah lagi melihatkan kewujudan varian baharu yang bermutasi dan berlaku penularan jangkitan dengan pantas, perkara ini turut merencatkan tahap keyakinan rakyat terhadap ekonomi dan pasaran. Keyakinan pengguna terhadap pasaran penting kerana mereka akan menyokong, berbelanja, dan seterusnya kerancakan ekonomi dapat terus dijana.

Dalam keadaan kritikal ini, kebenaran yang diberikan kepada syarikat untuk terus beroperasi dan tidak gulung tikar ialah keputusan yang sangat relevan dalam usaha memastikan ekonomi negara terus bergiat aktif. Majikan dan pekerja hendaklah bersama-sama mencari jalan untuk beroperasi dalam norma baharu dan kebiasaan baharu ini. Jika sebelum ini, simpanan yang ada mampu untuk bertahan sehingga tempoh dua bulan sahaja, jadi kesepakatan dan perbincangan perlulah dibuat untuk bersama-sama mencari alternatif bagaimanakah dana itu boleh dipanjangkan sehingga empat, enam atau sembilan bulan. Perkara ini sejajar dengan pernyataan Perdana Menteri Malaysia ketika mengumumkan bantuan PRIHATIN, apabila beliau turut mencadangkan perbincangan kedua-dua pihak amat digalakkan untuk mendapatkan kesepakatan yang lebih praktikal. Inilah norma baharu yang perlu difikirkan yang boleh memelihara kebajikan pekerja mahupun majikan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi