Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pengambilan guru secara sekali beri (one-off) bagi memastikan masalah kekurangan guru di seluruh negara sejak sekian lama dapat diatasi dalam tempoh masa yang singkat.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, antara cabaran utama bagi pengambilan guru di Malaysia pada masa ini adalah kekurangan bekalan calon guru Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.
“KPM memerlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tetapi bekalan guru yang ada untuk mata pelajaran tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan guru untuk mata pelajaran lain yang opsyen telah penuh dan lebih ramai. Disebabkan ketidakpadanan ini, maka agak sukar untuk KPM mengambil guru-guru baharu untuk mengisi kekosongan jawatan guru yang wujud,” ujar Dr. Radzi pada hari ini menerusi sidang media yang berlangsung secara dalam talian, pada pukul 10.00 pagi.
Dr. Radzi berkata, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang mempunyai jumlah kekurangan guru yang tertinggi, diikuti oleh Selangor dan Johor, bahkan peratusan pengisian kekosongan jawatan guru di Sabah dan Sarawak amat rendah berbanding dengan negeri lain.
“Bagi kategori sekolah rendah, mata pelajaran yang mencatatkan jumlah kekurangan guru yang tinggi ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Bagi kategori sekolah menengah pula, terdapat lima mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi,” kata Dr. Radzi.
Melalui kajian yang dilakukan secara mendalam, terdapat keperluan untuk mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran. Melalui pendekatan ini, KPM akan menyusun kelayakan dan kelulusan bakal calon guru berdasarkan kluster tertentu bagi membolehkan ruang ataupun sumber bekalan guru menjadi lebih luas dan membolehkan KPM memilih calon yang berkelayakan untuk opsyen yang diperlukan. Seterusnya ialah pelaksanaan kepelbagaian kaedah pelantikan yang dibuat berdasarkan satu pendekatan yang holistik.
Dr. Radzi turut berkata, KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan bekerjasama untuk menyediakan panel penemu duga, logistik dan keurusetiaan bagi membolehkan pelaksanaan pengambilan khas guru secara sekali saja yang berjumlah 18 702 orang pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG 41 dapat disempurnakan dalam tempoh masa yang singkat bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diselesaikan dan tidak berulang semula pada masa hadapan.
“Di samping itu, pengambilan khas guru ini dapat membuka ruang dan peluang pekerjaan kepada para graduan universiti yang berminat menjadi guru dan mengajar. Iklan pengambilan khas guru secara sekali saja ini akan dikeluarkan oleh SPP pada 7 Julai 2021 dan penempatan secara berperingkat-peringkat akan dilaksanakan bermula pada Oktober 2021,” jelas Dr. Radzi.
Untuk menonton sidang media penuh, sila layari FB DBP.