Oleh SN Fathirah
23 Julai 2021, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia meletakkan sasaran untuk memenangi tiga pingat dengan satu daripadanya ialah kilauan emas pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, yang akan membuka tirainya secara rasmi pada 23 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini menjelaskan, sandaran utama diletakkan kepada atlet daripada tiga jenis sukan, iaitu badminton, berbasikal trek dan akuatik terjun dalam usaha mencapai sasaran itu.

Sasaran itu dianggap realistik selepas mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan banyak pihak antaranya barisan atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan agensi seperti Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara.

Sasaran ini ada logiknya memandangkan atlet negara tidak mendapat banyak pendedahan antarabangsa berkompetitif tinggi beraksi sepanjang dua tahun belakangan ini disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Difahamkan, atlet negara hanya dapat menyertai 32 daripada 89 pendedahan pertandingan yang telah diluluskan pada tahun 2020 dan 27 kejohanan sahaja yang sempat mereka ambil bahagian pada tahun ini sehingga tarikh kelayakan Olimpik Tokyo 2020 ditutup pada hujung bulan lepas.

Jika dibandingkan dengan edisi terdahulu di Rio de Janeiro, Brazil, pada tahun 2016, kontinjen negara yang pada ketika itu diwakili oleh 32 orang atlet daripada 10 jenis sukan langsung tidak diletakkan sebarang sasaran tetapi masih mampu membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa.

Empat pingat perak dimenangi oleh legenda perseorangan badminton lelaki dunia, Datuk Lee Chong Wei; beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong; beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying; dan pasangan terjun sensasi negara, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter (m) platform seirama.

Satu gangsa Malaysia pula pada ketika itu diraih oleh jaguh acara berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang yang baru sahaja dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu yang membawa gelaran “Datuk”.

Pengiktirafan tertinggi itu semestinya membakar semangat Azizulhasni untuk menempa kejayaan memandangkan beliau adalah antara atlet harapan negara untuk bergelar juara dalam dua acara yang disertai olehnya, keirin dan pecut di Izu Velodrome, Tokyo.

Selain Azizulhasni, sandaran negara untuk meraih pingat emas pertama Olimpik Tokyo 2020 juga tertumpu kepada Pandelela yang mula memenangi gangsa sewaktu edisi London 2012 sebelum menukar kepada warna perak di Rio, lima tahun lalu.

Turut menggalas tanggungjawab besar itu ialah skuad badminton negara terutama gandingan Peng Soon-Liu Ying, selain mempertaruhkan kemampuan anak jati Alor Setar, Kedah, yang merupakan juara perseorangan lelaki Terbuka All England 2021, iaitu Lee Zii Jia.

Menariknya, pengumuman satu emas itu merupakan satu langkah berani yang diambil oleh Malaysia berbanding dengan tuan rumah, Jepun, yang dikhabarkan tidak menetapkan sebarang pingat, sama seperti Australia yang memansuhkan penetapan sasaran pada kali ini.

Bukan itu sahaja, negara jiran, Vietnam, yang meraih satu pingat emas dan satu pingat perak menerusi penembak, Hoang Xuan Vinh di Rio 2016, juga tidak meletakkan sebarang sasaran.

Situasi yang sama dilakukan oleh Singapura yang tidak mahu meletakkan tekanan tinggi kepada barisan atletnya walaupun mempunyai pemegang rekod Olimpik dalam acara 100 m kuak kupu-kupu lelaki, Joseph Schooling. Schooling melakar sejarah itu menerusi catatan 50.39 saat (s) selepas meraih pingat emas Rio 2016 untuk memadam rekod lama Olimpik milik Michael Phelps yang terpaksa akur di tempat kedua pada peringkat akhir acara berkenaan.

Walaupun berhadapan dengan kesukaran dan kekangan untuk melakukan persediaan yang terbaik, namun hal yang demikian bukan tugas mustahil buat 30 atlet terpilih negara untuk merealisasikan impian 32 juta rakyat Malaysia.

Cabaran negara pada hari pertama pembukaan Olimpik Tokyo 2020 akan dimulakan oleh dua orang pemanah negara, Khairul Anuar Mohamed dan Syaqiera Mashayikh. Mereka berdua akan mengharungi peringkat kelayakan untuk menentukan ranking individu masing-masing di Yumenoshima Park, pada 23 Julai.

Selepas itu, giliran skuad badminton negara memulakan saingan peringkat kumpulan yang diketuai oleh Peng Soon-Liu Ying; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; serta beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pada 24 Julai, diikuti oleh Lee Zii Jia (25 Julai) dan seterusnya perseorangan wanita, Soniia Cheah Su Ya (27 Julai).

Sebagai rekod, skuad pelayaran yang diwakili oleh Khairulnizam Afendy, Nur Shazrin Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali merupakan kumpulan pertama atlet Malaysia yang tiba di Tokyo pada 8 Julai lalu.

Nur Suryani Taibi (menembak); Pandelela, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee (terjun); Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik artistik); Welson Sim, Phee Jinq En (renang); dan lapan orang pemain badminton menjadi kumpulan terbesar negara ke Tokyo pada 17 Julai lalu.

Dua orang pemain golf negara, Gavin Green dan Kelly Tan pula berlepas ke Tokyo pada 22 Julai.

Kumpulan terakhir berangkat ke Olimpik Tokyo 2020 pada 25 Julai ini ialah dua orang atlet olahraga, Lee Hup Wei dan Azreen Nabila Alias; Azizuhalhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek); dan Cheong Jun Hoong (terjun).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.