Oleh Sakinah Sahwati
25 Julai 2021, 19:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

ESOK, ahli parlimen akan menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat selepas persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun ini berikutan pandemik COVID-19. Persidangan ini sesungguhnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi apabila melihat peningkatan kes yang semakin melonjak sejak belakangan ini.

Sebagai rekod, pada hari ini Malaysia mencatatkan sebanyak 17 045 kes COVID-19, iaitu jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan. Daripada jumlah tersebut, Selangor mendahului jumlah kes dengan 8500 kes, diikuti Kuala Lumpur (2045) dan Kedah (1216). Maka itu, Sidang Khas Dewan Rakyat diharapkan dapat mencari kaedah yang terbaik untuk Malaysia memutuskan rantaian COVID-19 dan memastikan imuniti kelompok mampu dicapai selaras dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Esok juga akan menyaksikan buat pertama kalinya untuk tahun ini, ahli parlimen akan berkumpul di bawah satu bumbung bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan dengan Proklamasi Darurat dan langkah kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19.

Persidangan selama lima hari ini akan dilaksanakan secara bersemuka dengan kehadiran semua ahli parlimen di dalam dewan. Begitu pun, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, iaitu penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dua lapis dan menjalani ujian saringan COVID-19 yang diwajibkan kepada semua ahli parlimen, petugas parlimen dan media yang hadir membuat liputan.

Umum mengetahui bahawa persidangan Parlimen pada tahun ini tidak dapat diadakan berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara yang bermula pada 12 Januari lalu dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos ini. Pada ketika itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberikan perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau hingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara. Sekiranya pandemik COVID-19 tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, Yang di-Pertuan Agong percaya keadaan tersebut akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara. Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal dalam menghadapi pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama-sama.

Walau bagaimanapun pada 16 Jun lalu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dapat dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat. Ternyata Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya yang berkaitan dengan penularan wabak COVID-19. Ahli Dewan Rakyat juga diseru untuk berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan memfokuskan usaha memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Maka itu, pada 5 Julai lalu, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Sidang Khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari, iaitu pada 26 hingga 29 Julai 2021 serta 2 Ogos 2021, manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos 2021. Sidang Khas Parlimen merupakan mesyuarat yang diadakan semasa majlis dalam tangguhan dan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3) urusan mesyuarat itu hendaklah ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan urusan itu perlu dihantar kepada ahli parlimen tidak lewat dari masa hendak diadakan mesyuarat itu.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu juga berbeza daripada mesyuarat penggal biasa antaranya tanpa istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, perbahasan rang undang-undang (RUU) dan sesi soal jawab lisan. Sebaliknya, urusan mesyuarat khas itu adalah bagi membentangkan Proklamasi Darurat serta Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat itu mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dijadualkan adalah pembentangan Proklamasi Darurat mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah, serta penerangan daripada menteri berhubung dengan PPN, program vaksinasi, pelaksanaan darurat dan pakej bantuan ekonomi.

Sebagai rekod, Sidang Khas Parlimen sebelum ini pernah diadakan ketika kerajaan berhadapan dengan isu Gaza pada 12 Januari 2009; MH17, pada 23 Julai 2014; dan Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 hingga 27 Januari 2016.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.