Oleh Syaza Wardina
7 Ogos 2021, 22:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Melalui kerjasama rapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), golongan guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah bawah KPM adalah antara kumpulan khas yang disenaraikan oleh CITF untuk mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu (walk-in vaccination). Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di media sosial beliau.

Kenyataan media CITF mengenai perluasan inisiatif pemberian vaksin tanpa janji temu ke seluruh negara untuk kumpulan khas.

Dalam hantaran tersebut, beliau menyeru supaya guru, AKP serta pekerja perkhidmatan sokongan yang masih belum menerima janji temu dos pertama vaksin atau belum mendaftar mengambil tindakan segera untuk mendapatkan vaksin masing-masing. Tambah beliau, “perincian mengenai pemberian vaksin tanpa janji temu bagi kumpulan khas sekolah di bawah KPM, termasuklah keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.”

Beliau turut berkata, usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin akan terus dipergiat melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF.

Mengikut rekod KPM, hingga 7 Ogos 2021, sebanyak 352 649 orang guru (85.41 peratus), 52 256 orang AKP (77.69 peratus) dan 54 930 orang pekerja perkhidmatan sokongan termasuklah operator bas atau van sekolah (46.64 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Bagi guru kelas peperiksaan pula, sebanyak 84 995 orang (94.89 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Marilah sama-sama kita menjayakan program vaksinasi negara bagi membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik COVID-19,” ujar beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.