Diterbitkan pada 5 September 2021, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labuan – Berhubung dengan pembukaan sesi persekolahan yang dijadualkan bermula pada 3 Oktober ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan beberapa sesi libat urus bersama-sama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mendapatkan pandangan ibu bapa dan guru tentang persekolahan anak-anak di negeri yang telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pada pagi ini, rombongan Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin yang turut disertai oleh Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Noor Zamani Abdol Hamid mengadakan sesi libat urus di Labuan bersama-sama wakil PIBG dan guru di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Barisan kepimpinan YB Datuk Dr. Radzi dari KPM mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan ibu bapa serta guru berhubung dengan pembukaan sekolah tidak lama lagi.

Dalam sesi ini, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menerangkan cadangan KPM berhubung dengan pembukaan sekolah. YB Datuk Dr. Radzi juga mendengar cadangan, pandangan serta menjawab soalan daripada wakil PIBG dan guru. Sesi libat urus di Labuan akan diteruskan pada pagi esok sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Terdahulu, pada 3 September lalu, KPM berada di Perlis untuk sesi libat urus bersama-sama PIBG, guru, serta pengetua dan guru besar di seluruh negeri Perlis. Sesi pertama adalah bersama-sama PIBG sekolah rendah dan kemudian diteruskan dengan sesi bersama-sama PIBG sekolah menengah.

“Sesi perkongsian ini dapat membantu kami dalam memuktamadkan kerangka komprehensif pembukaan dan pengoperasian sekolah,” ujar YB Datuk Dr. Radzi menerusi hantaran di media sosial beliau.

Menurut YB Datuk Dr. Radzi, “kami amat menghargai segala pandangan yang diberikan. Sepertimana yang selalu ditegaskan oleh KPM, keselamatan dan kesihatan anak-anak akan sentiasa diberikan penekanan.”

“Berilah kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan yang terbaik demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” tambah beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi