Diterbitkan pada 6 September 2021, 15:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labuan – “Pembukaan semula sekolah akan dijalankan mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan kajian dan penelitian yang mungkin menyaksikan Labuan menjadi negeri pertama yang terlibat dalam pembukaan sektor tersebut,” demikian menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, pada satu sidang media di Labuan hari ini.

Tambah YB Datuk Dr. Radzi, “langkah tersebut dipertimbangkan susulan peralihan Labuan ke Fasa Empat PPN yang secara umumnya hampir keseluruhan sektor ekonomi dan sosial  dibenarkan beroperasi, dengan hasrat kita kembali kepada kehidupan normal sebelum ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.”

“Kita lihat Labuan merupakan satu-satunya negeri yang telah berada dalam Fasa Empat PPN yang memperlihatkan hampir keseluruhan sektor telah dibuka, dan kita sedang melihat cara terbaik bagaimana sektor pendidikan boleh dibuka dalam keadaan selamat,” kata YB Datuk Dr. Radzi.

Menurut YB Datuk Dr. Radzi juga, “pihak KPM mempertimbangkan semua aspek tersebut dan pembukaan sekolah bakal dijalankan mengikut fasa. Insya-Allah kita akan ambil kira segala pandangan yang diberikan dalam menyusun dan merangka pembukaan sekolah nanti.”

KPM mengadakan mesyuarat di Labuan bagi membincangkan perkara berhubung dengan pembukaan semula sekolah di wilayah tersebut.

Dalam pada itu, YB Datuk Dr. Radzi juga berkata, KPM di peringkat persekutuan mengadakan mesyuarat dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Ismuni Bohari dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman bagi membincangkan cadangan pembukaan sekolah tersebut.

Jelas YB Datuk Dr. Radzi, “pertemuan itu adalah untuk menerangkan kepada mereka mengenai cadangan kami dan mendapatkan input serta pandangan daripada mereka bagi memastikan kaedah yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat sokongan semua pihak supaya anak-anak dapat kembali ke sekolah dengan selamat.”

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi