Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNegeri Sembilan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini meneruskan sesi libat urus bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, guru besar dan pengetua sekolah dari seluruh Negeri Sembilan.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, menerusi sesi libat urus ini, KPM mendapatkan pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah tentang sesi persekolahan di negeri yang telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Perkara ini penting dalam membantu KPM memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah,” ujar YB Dr. Radzi menerusi hantaran di media sosial beliau.
Tambah beliau, “segala saranan dan cadangan yang dilontarkan dalam sesi libat urus ini akan kami teliti dan perhalusi. Apa-apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara.”
Dalam satu hantaran lain, YB Dr. Radzi berkata, “sebelum memulakan sesi ketiga libat urus pada hari ini, saya mengadakan mesyuarat secara maya bersama-sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).”
“Dalam mesyuarat tersebut, perkara utama yang dibincangkan adalah mengenai status pengambilan khas 18 702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara sekali beri,” tambah YB Dr. Radzi.
“Saya yakin, SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) sentiasa komited untuk membantu KPM dalam mempercepat pengisian kekosongan jawatan guru. Usaha ini akan dapat melancarkan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran,” katanya.