19 September 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia merupakan antara negara yang sudah lama menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka. Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang medianya pada 12 September yang lalu telah mengumumkan pembukaan semula sekolah yang akan dilakukan secara berperingkat mulai 3 Oktober 2021. Pengumuman tentang pembukaan semula sekolah dan pembelajaran secara bersemuka telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa terutamanya soal keselamatan anak-anak.

Perihal pengoperasian semula sekolah ini telah dijelaskan secara terperinci oleh Pengarah Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Encik Zainal Abas melalui program temu bual Agenda AWANI yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI pada 18 September 2021 pada jam 8.30 malam. Mengulas perkara ini, beliau menjelaskan bahawa sekarang merupakan masa terbaik untuk pembukaan kembali sesi persekolahan secara bersemuka.

 

Pelbagai kajian dilakukan di seluruh dunia tentang learning-lost kepada para pelajar dan KPM memahami akan implikasi jika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ini diteruskan dengan begitu lama. Jadi ini ialah peluang untuk kita memulakan semula sesi persekolahan apabila kita melihat kadar vaksinasi di seluruh negara telah meningkat.

Memperincikan pembukaan sekolah mengikut fasa dan kategori pelajar, beliau menjelaskan bahawa di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), semua murid di peringkat sekolah rendah dan menengah akan meneruskan pembelajaran secara PdPR.

Bagi negeri di Fasa Dua pula, Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) akan hadir secara bersemuka dan tanpa penggiliran. Hal ini dikatakan demikian kerana bilangan mereka tidak terlalu ramai berbanding dengan murid di dalam kelas biasa. Pembukaan bagi sekolah menengah tanpa penggiliran juga melibatkan para MBK di Sekolah Menengah Pendidikan Khas dan Sekolah Pendidikan Khas Vokasional. Selain itu, kehadiran murid secara bersemuka tanpa penggiliran juga akan melibatkan para pelajar tingkatan enam semester dua, pelajar International Baccalaureate Diploma tahun dua serta para pelajar di Sekolah Sukan Malaysia.

Selain itu, beliau juga menjelaskan tentang takwim akademik tahun 2021 bagi sekolah di Malaysia yang bakal dilanjutkan hingga awal tahun depan.

KPM juga telah menggariskan bahawa takwim 2021 akan dilanjutkan hingga tahun 2022. Pada Januari dan Februari, para pelajar akan kekal di dalam kelas dan tingkatan masing-masing dan meneruskan pembelajaran 2021 pada dua bulan pertama tahun 2022 nanti. Kalendar akademik yang baharu akan bermula pada Mac 2022.

KPM sangat komited untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat untuk murid-murid. Beberapa pendekatan telah dijalankan, antaranya ialah vaksinasi guru. Selain itu, penggunaan kit ujian kendiri amat digalakkan kepada para pelajar sebagai satu daripada langkah pencegahan penularan COVID-19. Kelompok pertama pelajar, iaitu pelajar berasrama yang dihantar oleh ibu bapa, pelajar yang menaiki bas untuk ke asrama, serta pelajar dari Sabah dan Sarawak mesti membuat ujian kendiri untuk memastikan mereka bebas daripada virus. Beliau juga menjelaskan bahawa selepas enam hari pertama, satu ujian akan dijalankan. Selepas 14 hari pula, satu lagi ujian akhir akan dilaksanakan. Perkara ini adalah berdasarkan perbincangan yang dilakukan oleh KPM dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Murid-murid akan melaksanakan ujian sebelum dibenarkan masuk ke dalam asrama. Jika keputusannya negatif, pelajar akan dibenarkan masuk ke dalam asrama. Di setiap sekolah akan disediakan ruangan untuk murid turun dan mendapatkan ujian yang mana keputusannya akan diketahui dalam masa lima belas minit. Keputusan ini akan menentukan sama ada pelajar dibenarkan masuk ke sekolah ataupun tidak. Jika didapati positif, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan dihubungi dan ibu bapa perlu membawa anak mereka untuk mengambil ujian saringan COVID-19.

Bagi pelajar lain di sekolah harian pula, ujian akan dijalankan kepada murid-murid yang bergejala. Jika keputusannya didapati positif, pelajar akan dibawa ke PKD untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, penetapan prosedur operasi standard (SOP) lain ialah murid diwajibkan memakai dua lapis pelitup muka bagi mereka yang masih belum mendapat suntikan vaksin. Langsir tingkap tidak digalakkan digantung untuk memberikan pengudaraan yang lebih baik kepada bilik darjah. Tingkap dan pintu pula perlu sentiasa dibuka. Operasi penyuraian murid akan diteruskan dan penyuraian akan dilakukan secara berperingkat untuk memastikan tidak terlalu ramai murid, ibu bapa atau penjaga berada di pintu pagar sekolah pada satu-satu masa.

Menurut Encik Zainal Abas, “pembukaan sekolah ialah penggemblengan tenaga antara pihak KPM, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar dan pemimpin masyarakat serta para pelajar di sekolah. Keseluruhan lapisan masyarakat perlu faham perkara yang dilakukan oleh KPM. Usaha memastikan penyediaan persekitaran yang selamat untuk murid-murid seharusnya melibatkan usaha yang tidak berbelah bahagi antara pelbagai pihak.

KPM melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan. Semasa pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) misalnya, Menteri Kanan Pendidikan sendiri bersama-sama pegawai di KPM menjelajah seluruh negara dan berjumpa dengan semua pemegang taruh termasuklah murid-murid yang menduduki UPSR itu sendiri untuk mendapatkan pandangan sebelum ketetapan tersebut dibuat. Begitu juga dengan pembukaan sekolah ini, Yang Berhormat Menteri sendiri bersama-sama pengurusan tertinggi KPM, Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia telah pun menjelajah ke negeri Fasa Tiga dan Fasa Empat PPN yang dijangkakan bakal dibuka lebih awal untuk mendengar pandangan mereka termasuklah daripada pengetua, guru dan pihak PIBG.

Encik Zainal juga menjelaskan bahawa sekolah akan menjadi pelindung bagi anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik ini. Pengesanan yang dilakukan menunjukkan terdapat lebih kurang 4000 orang murid telah kehilangan satu atau kedua-dua ibu bapa akibat pandemik ini. Pelbagai perancangan telah dilakukan termasuklah kerjasama dengan pihak PIBG, penyelarasan bantuan daripada PERKESO, penempatan murid-murid terjejas ke asrama sekolah, dan program kaunseling bersama-sama para kaunselor sekolah untuk membantu menstabilkan emosi dan mental yang terkesan akibat pandemik ini. Kebajikan guru dan warga sekolah lain yang terjejas akibat COVID-19 juga tidak dilupakan.

Beliau merumuskan bahawa KPM telah melaksanakan pengoperasian yang dirancang dengan baik dan pelbagai SOP baharu telah ditetapkan untuk membolehkan sekolah beroperasi sebagai satu kawasan yang selamat untuk murid hadir secara bersemuka. Beliau menyuarakan harapan daripada pihak kementerian agar ibu bapa bekerjasama untuk menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian untuk kesinambungan pendidikan murid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.