28 April 2023, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
KPM menyarankan agar semua pihak, khususnya murid untuk mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan beberapa garis panduan berkaitan dengan persediaan institusi pendidikan menghadapi fenomena cuaca panas atau berjerebu.

Jelas KPM, garis panduan ini dilakukan ekoran daripada cuaca panas yang melampau sehingga menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.

Dalam kenyataan media pada pagi ini, KPM menasihati semua institusi pendidikan bawah KPM agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

Institusi pendidikan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing.”

“Selain itu, semua pihak juga perlu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.

Antara garis panduan menurut KPM adalah seperti berikut:

  1. Menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas;
  2. Memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas;
  3. Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan;
  4. Memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri;
  5. Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan;
  6. Membekalkan air minuman kepada murid asrama, sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman; dan
  7. Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.

KPM memberikan peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM agar melaksanakan langkah pencegahan seperti yang dinyatakan.

Dalam hal ini, KPM komited mengambil berat mengenai kesihatan, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah dalam menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.