Oleh Mubarak Ismail
1 Oktober 2021, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 29 September 2021 berkaitan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Selangor, Melaka, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2021 telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu yang akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

Sehubungan dengan itu, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN. Hal ini melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK).

Hal ini juga melibatkan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), murid Tingkatan 6 Semester 2, International Baccalaureate Diploma (IBD) Tahun 2, Program Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).

Bermula pada 1 Oktober 2021, negeri Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 3 PPN. Justeru pengoperasian institusi pendidikan di negeri-negeri berkenaan mengikut ketetapan Fasa 3 PPN akan bermula pada 18 Oktober 2021. Hal ini melibatkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, IBD, Prauniversiti SSM serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah pula kekal pada 10 Oktober 2021 untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level). Memandangkan negeri Kedah akan beralih ke Fasa 2 pada 1 Oktober 2021, pengoperasian institusi pendidikan merangkumi Kolej Vokasional berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa 2 PPN hanya akan bermula pada 17 Oktober 2021.

Selain itu, susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa 3 berkuat kuasa 1 Oktober 2021, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi zon ini kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN. Pengoperasian institusi pendidikan di Zon Selatan negeri Sarawak berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021.

Merujuk pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Majlis Keselamatan Negara di beberapa kawasan, semua institusi pendidikan bawah KPM yang berada dalam kawasan PKPD adalah ditutup sepanjang tempoh PKPD berkuat kuasa. Semua murid di kawasan PKPD perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.