3 Oktober 2021, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

DUNGUN ‒ Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin berkata, setelah meninjau pembukaan sekolah pada hari pertama di beberapa buah sekolah, secara keseluruhannya sekolah dapat beroperasi dengan baik mengikut tatacara dan garis panduan yang ditetapkan. Murid juga dilihat cukup bersemangat kembali semula ke sekolah untuk bertemu dengan rakan dan guru mereka.

Sebanyak 47 ribu orang pelajar di Kelantan, Terengganu dan Pulau Langkawi, Kedah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada hari ini berdasarkan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Beliau berkata demikian setelah melakukan lawatan kerja dan meninjau sesi pembukaan sekolah di Kuala Terengganu, Marang dan Dungun, Terengganu pada hari ini.

Tambah beliau, setelah membuat tinjauan lebih daripada 10 buah sekolah di Terengganu sejak hari Sabtu, beliau mendapati sistem pengudaraan di dalam bilik darjah dipatuhi dengan baik. Hampir kesemua kelas mencapai tahap pengudaraan yang optimum. Murid dan guru juga sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memakai pelitup muka di dalam kelas.

“Dengan kerjasama daripada semua pihak, kita sama-sama berusaha dan berdoa agar sesi persekolahan secara bersemuka ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” ujar YB Datuk Dr. Radzi.

Menurut beliau lagi, “Sistem penggiliran dipraktikkan melibatkan separuh daripada pelajar mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka dan separuh lagi secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Pendekatan ini membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan baik, boleh mengelakkan kesesakan di sekolah dan kita berharap apabila pulang nanti, proses penyuraian berlaku dengan teratur dan lancar.”

YB Datuk Dr. Radzi juga berkata, “KPM buat masa ini memutuskan untuk menetapkan sesi persekolahan tahun 2021 dilanjutkan hingga Januari dan Februari tahun hadapan. Keputusan ini dibuat berdasarkan perbincangan dan penelitian secara mendalam oleh pelbagai pihak. Perkara ini telah dibincangkan dengan pengetua, guru besar, guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pakar dan persatuan perguruan di beberapa buah negeri untuk memastikan ketetapan ini  mengambil kira pelbagai aspek dan bagi memastikan murid bersedia sebaik mungkin sebelum mereka naik ke kelas berikutnya. Pendekatan ini memberikan ruang yang cukup kepada anak-anak kita untuk diasah dan dipastikan berada pada tahap penguasaan yang terbaik sebelum beranjak ke kelas berikutnya,” ujarnya.

YB Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin beramah mesra bersama-sama murid Sekolah Menengah Sains Dungun pada hari pertama pembukaan sekolah secara bersemuka.

YB Datuk Dr. Radzi juga sempat meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) untuk golongan remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman dan berkata, “Hampir kesemua murid tingkatan lima dan tingkatan enam telah divaksin dan sekarang proses pemberian vaksin masih dilaksanakan secara berperingkat mengikut sekolah. Umumnya, pelaksanaan vaksinasi murid tingkatan satu hingga tingkatan lima berjalan dengan baik, cepat dan tersusun; dan pada masa terdekat keseluruhannya akan menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya untuk dos yang pertama.”

Menyentuh tentang lebih 2000 orang guru yang enggan divaksin, KPM masih meneliti perkara tersebut. KPM telah mengenal pasti sekolah tempat guru tersebut mengajar dan mata pelajaran yang diajar oleh mereka. Guru berkenaan tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dan mungkin ditukarkan. KPM akan memastikan tiada murid yang terjejas pembelajarannya kesan daripada pertukaran guru tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa guru seperti juga penjawat awam yang lain dan  mereka mesti akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan vaksin COVID-19 sebelum 1 November nanti.

 

YB Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin semasa meninjau sesi pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Menengah Sains Dungun.

Sekolah yang dilawati oleh YB Datuk Dr. Radzi pada hari ini ialah SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Agama Marang, SMK Tengku Intan Zaharah, SK Sura, Sekolah Menengah Sains Dungun dan SMK Sura, Dungun, Terengganu. Kunjungan beliau sudah pasti memberikan semangat dan kekuatan kepada para guru dan murid untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka setelah ditangguhkan akibat penularan COVID-19 di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.