Oleh S. Idzam Jamil
4 Oktober 2021, 23:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Sasaran mempercepat pembinaan sekolah daif di negeri Sarawak menjadi fokus utama lawatan kerja Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin. Beliau berkata, walaupun terdapat kelewatan dalam pembinaan projek menaik taraf sekolah daif di Sarawak disebabkan oleh pandemik COVID-19, namun hal ini bukan alasan untuk tidak menggerakkan pembinaan sesuatu projek mengikut jadual yang telah ditetapkan, iaitu siap dalam masa 22 bulan.

YB Datuk Mohamad Haji Alamin membuat lawatan ke bangunan yang sedang dalam proses pembinaan di SK Pendam, Kota Samarahan.

Katanya, permintaan untuk menaik taraf sekolah daif kategori enam dan tujuh di seluruh negara sentiasa ada dan usaha menaik taraf akan dilaksanakan secara berperingkat. Ujarnya lagi, setakat tahun 2019 sehingga sekarang, sebanyak 186 projek sekolah daif telah diluluskan di Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM1.579 bilion. Pada tahun 2021, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mendapat kelulusan sebanyak 59 projek dengan kos berjumlah RM402.71 juta dan semua projek masih dalam peringkat prapembinaan. Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam, Kota Samarahan, Sarawak.

Mengulas mengenai pembaikan sistem pendidikan di Sarawak, YB Datuk Mohamad berkata, liputan jaringan Internet akan dipertingkatkan selain daripada tenaga pengajar diberikan fokus untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian. Terdahulu beliau turut mengadakan lawatan ke SK Kuap dan SK Sambir bagi memantau projek menaik taraf sekolah daif.

Timbalan Menteri Pendidikan II berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan oleh pihak SK Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, Kuching.

Pada hari kedua lawatan, beliau turut membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Thomas dan SK Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, Kuching. Beliau berkata, operasi pembukaan sekolah pada hari pertama di Sarawak sangat memuaskan. Dalam tinjauan di SMK St. Thomas, beliau mendapati sebanyak 86.2 peratus kehadiran murid di sekolah yang melibatkan murid tingkatan enam untuk sesi pertama persekolahan, manakala sebanyak 69 peratus kehadiran murid di SK Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, Kuching.

Beliau juga sangat berpuas hati dengan persiapan sekolah yang bersedia menerima kemasukan murid dengan mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselesaan murid dan tenaga pengajar. Beliau menyeru ibu bapa agar membenarkan anak-anak hadir ke sekolah kerana pihak sekolah sudah mengambil semua langkah yang cukup praktikal untuk keselamatan murid di sekolah.

YB Datuk Mohamad beramah mesra dengan murid pendidikan khas di SK Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, Kuching.

Mengulas lanjut mengenai penutupan dua buah sekolah di bahagian Lawas, beliau mendapat maklumat penutupan tersebut disebabkan oleh tiga orang guru didapati positif COVID-19. Jelas beliau, JPN dan KKM akan memantau dua buah sekolah ini, iaitu SMK Merapok dan SMK Tusan dengan lebih terperinci bagi memastikan langkah yang sewajarnya untuk proses pembukaan sekolah. Beliau juga melaporkan bahawa sebanyak dua juta remaja telah diberi suntikan vaksin setakat ini. Ini merupakan langkah yang sewajarnya bagi mencapai imuniti kelompok untuk kembali merancakkan pendidikan dan ekonomi di negara ini. Selain itu, beliau juga melaporkan dalam tempoh ini, KPM dalam proses pengambilan seramai 18 ribu orang guru untuk menampung kekurangan guru khususnya di Johor, Sarawak dan Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.