17 Oktober 2021, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan – Buat julung kalinya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melaksanakan Program Media Engagement sebagai rakan strategik dalam menjayakan program bersempena dengan kempen “Kembali ke Sekolah”.

Selaras dengan peranan utama JAPEN, jalinan kerjasama strategik ini untuk meningkatkan produktiviti serta meluaskan pengalaman para media dalam pengurusan kewartawanan yang lebih efisien dan bertaraf profesional.

Yusuf Mohamad menyampaikan cendaramata kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah WP Labuan, Tuan Haji Rithuan Mohd. Ismail.

Tambah KPM, pelaksanaan Program Media Engagement ini juga bertujuan untuk memberikan liputan yang meluas mengenai pengoperasian sekolah secara bersemuka dan kandungan yang mempunyai daya tarikan dan pujukan bagi meredakan kebimbangan, seterusnya meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah dalam suasana menghampiri era endemik mengikut prosedur operasi standard (SOP)  yang ditetapkan.

Menariknya, hasil tinjauan ke beberapa buah sekolah di Labuan, wakil media diberikan peluang untuk melihat dengan lebih dekat detik-detik keterujaan dan kegembiraan murid untuk kembali ke sekolah setelah lama menetap di rumah rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Detik ini boleh dikira bersejarah apabila buat sekian kalinya anak-anak ini kembali semula ke sekolah setelah lama menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), terutamanya murid tahun satu yang hanya merasai pengalaman bersekolah untuk tempoh yang sangat singkat sebelum ini.

Apatah lagi, Wilayah Persekutuan Labuan merupakan negeri pertama yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melibatkan murid sekolah rendah Tahap 1 dan murid sekolah menengah Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 kembali semula ke sekolah secara penggiliran

Pada masa yang sama, Yusuf Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan turut menjelaskan bahawa majlis makan malam hari ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para media, khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah yang banyak membantu dan memberikan sokongan kepada KPM, lebih-lebih lagi pada waktu pandemik COVID-19 ini.

Menurut Yusuf, bantuan dan usaha keras daripada pelbagai pihak selama ini telah menjadikan Labuan sebagai negeri yang pertama berjaya membawa semula anak-anak kembali ke sekolah.

Mengakhiri majlis perasmian Program Media Engagement, beliau berharap agar semua pihak dapat menjalani kehidupan dalam kebiasaan baharu, di samping menjaga SOP bagi mengekang penularan wabak virus COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.