Oleh Mubarak Ismail
18 Oktober 2021, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

TAMPIN – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses perbincangan untuk membenarkan pelajar tingkatan lima kembali mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, pihaknya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau kadar vaksinasi dalam kalangan murid terutamanya kategori murid kelas peperiksaan.

Memandangkan kadar vaksinasi dalam kalangan murid tingkatan lima semakin meningkat, KPM sedang mempertimbangkan untuk tidak melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara penggiliran bermula dengan kategori murid kelas peperiksaan, iaitu murid yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sebaliknya, membenarkan kategori murid ini mengikuti PdP secara bersemuka.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pada hari pertama persekolahan bagi negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun, Tampin, Negeri Sembilan pada pagi ini.

YBhg. Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun, Tampin, Negeri Sembilan.

“Jika kadar vaksinasi telah berjaya mencapai tahap yang membolehkan murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran, maka KPM akan membenarkan mereka hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas secara bersemuka,” ujar YBhg. Datuk Dr. Radzi.

Tambah beliau, kadar vaksinasi dalam kalangan murid tingkatan lima mencecah 97 peratus atau 371 696 murid telah menerima dos pertama vaksin, manakala 57.9 peratus atau 142 655 murid telah lengkap divaksin.

Tambahnya lagi, sebanyak 339 951 murid telah hadir ke sekolah bagi mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka di negeri yang mencapai Fasa Empat PPN, iaitu di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Langkawi bermula semalam dan hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.