Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabuan – Program Media Engagement, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia bersempena dengan Kempen Kembali ke Sekolah meninjau suasana kemasukan semula murid di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru setelah beberapa bulan sesi persekolahan secara bersemuka ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
Menyambut kehadiran murid Tahap 1 (Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3) di pintu utama Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru pada hari ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad selain Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim dan para guru.
Yusuf Mohamad (kanan) menyambut kedatangan murid Tahap 1 Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Labuan.
Tinjauan media di sekolah ini mendapati rata-rata para guru dan murid telah membuat persediaan rapi dari aspek fizikal dan mental untuk kembali ke sekolah sebagaimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 KPM.
Kebanyakan murid yang dihantar oleh ibu bapa mereka untuk memulakan persekolahan pada hari pertama ini nampak tenang dan gembira kerana dapat bersekolah semula, bertemu para guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi persekolahan secara bersemuka ditangguhkan.
Murid juga dilihat tidak kekok menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu di sekolah dan mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak sekolah seperti mengimbas suhu badan dan membasuh tangan sebelum masuk ke bilik PdP.
Mohammad Farihi dalam ucapan sambutan kemasukan murid Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru mengalu-alukan kehadiran murid. Beliau turut menasihati para guru dan murid agar meneruskan kecemerlangan sekolah. Para guru diingatkan tentang visi KPM, iaitu “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”, iaitu para guru perlu sentiasa berprestasi tinggi memanfaatkan prasarana serta Teknologi, Maklumat dan Komunikasi bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.
Sementara itu, beliau menasihati murid agar sentiasa mengamalkan nilai murni seperti memberikan salam kepada para guru sebagai usaha membentuk sahsiah terpuji sejak dari awal.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim (bersongkok) menyampaikan ucapan sambutan kemasukan semula ke sekolah.
Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, YBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin setelah Labuan menjadi satu daripada Wilayah Persekutuan dan negeri yang beralih ke Fasa 4 PPN. Pembukaan sekolah dalam Fasa 4 PPN Peringkat Ketiga Sekolah Rendah di Labuan mensyaratkan semua murid hadir secara bersemuka dengan penggiliran, dan semua murid prasekolah hadir secara bersemuka.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim menjelaskan bahawa pihak sekolah sudah membuat persediaan rapi berdasarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 KPM sejak semalam dengan memastikan kawasan dan bangunan sekolah, termasuklah bilik PdP dibersihkan dan dalam keadaan selamat untuk beroperasi. Hal ini termasuklah penyediaan pelan perancangan susun atur bilik PdP yang sesuai dan berfungsi dengan baik untuk PdP dengan mengambil kira penjarakan fizikal murid dan warga sekolah. Tanda penjarakan fizikal dan pelan laluan pergerakan terarah atau sehala, poster dan bahan bercetak langkah kebersihan dan keselamatan, sabun dan tong sampah tertutup diletakkan di bilik PdP, kantin, bilik guru, dan pejabat.