Oleh Syaza Wardina
21 Oktober 2021, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli dalam Majlis Pelancaran Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mengandungi 36 titah baginda yang disusun dalam empat bahagian; iaitu Institusi Raja, Tadbir Urus, Agama Islam dan Masyarakat dan Kebudayaan. Titah yang terkumpul dalam koleksi ini telah dizahirkan oleh baginda antara 9 Ogos 2009 hingga 5 Oktober 2016, atas kapasiti baginda sebagai Raja Muda Perak (15 April 1987 ‒ 28 Mei 2014), Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (1 Julai 1997 – 12 Jun 2014), Pemangku Raja Perak dan mulai 29 Mei 2014 dimasyhurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Ke-35.

Beta menghargai usaha DBP menerbitkan kumpulan titah yang telah beta zahirkan. Usaha DBP ini Insya-Allah akan membolehkan pemikiran dan pandangan Beta sampai kepada khalayak yang lebih luas.

Sementara itu, menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa keberangkatan Duli Tuanku ke majlis ini dan keprihatinan Duli Tuanku terhadap perkembangan ilmu dan penerbitan menjadi manifestasi keprihatinan Duli Tuanku terhadap perkembangan ilmu dan penerbitan buku yang menjadi satu daripada teras peradaban negara. Hal ini menjadi suntikan semangat kepada warga DBP untuk melipatgandakan usaha dalam penerbitan dan pengayaan khazanah ilmu negara.

Tambah beliau lagi, “Keberangkatan Duli Tuanku pada hari ini ialah kali yang kelima sejak tahun 2005. Pada 14 Julai 2005, Duli Tuanku melancarkan buku Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia – Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas. Pada 6 Ogos 2009, Duli Tuanku melancarkan tiga buku karya Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas, iaitu Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, bersempena dengan Seminar Antarabangsa Pemikiran Syed Hussein Alatas. Pada 19 Februari 2013, Duli Tuanku berkenan berangkat ke DBP untuk menzahirkan titah di Majlis Perpaduan Ummah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir ini juga. Selanjutnya pada 5 Oktober 2016, Duli Tuanku berangkat ke DBP untuk menzahirkan Titah Diraja yang berjudul ‘Maju Bahasa Majulah Bangsa’.”

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin bersama-sama Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid; dan warga pengurusan tertinggi DBP.

Keberangkatan Duli Tuanku ke majlis pada hari ini dan empat majlis sebelum ini cukup bermakna dalam usaha DBP memperkasakan tradisi keilmuan, yang melambangkan Duli Tuanku sebagai payung tamadun dan tradisi keilmuan nusa dan bangsa.

Menurut Editor Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, YABhg. Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini, “Titah yang terkandung dalam penerbitan yang diusahakan oleh DBP ini  menghamparkan peluang untuk pembaca mengikuti dan menghargai pemikiran seorang sultan yang sedang bersemayam di singgahsana pemerintahan.”

Semoga Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan memberikan peluang kepada pembaca mengenali dan menghargai watak intelek dan jiwa ilmuwan seorang raja pemerintah yang sedang bersemayam atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sementara itu, menerusi kata pengantar nukilan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, beliau menyifatkan buku ini sebagai suatu usaha menghidupkan tradisi hubungan istana dan kesultanan Melayu dengan penulisan dan persuratan Melayu yang boleh dijadikan rujukan oleh generasi sekarang dan generasi akan datang.

Penulisan sebegini sememangnya wajar diperbanyak bagi mengangkat dan mencernakan idea dan pemikiran tokoh negara supaya dapat ditatap oleh pembaca seterusnya memberikan inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda dalam pembinaan tamadun bangsa dan negara.

Wacana Siri Titah Sultan Muizzuddin Shah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Pada majlis tersebut, turut diadakan Wacana  Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  yang menampilkan YABhg. Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini selaku moderator dan tiga orang panel yang terdiri daripada YBhg. Datuk Dr. Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim; YBhg. Dr. Rokiah Talib; dan YBhg. Dato’ Dr. Firdaus Abdullah. Sepanjang wacana berlangsung, ketiga-tiga ahli panel banyak mengupas ketinggian ilmu dan peradaban bangsa dalam setiap titah yang terkandung dalam buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang amat istimewa ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.