2 Disember 2021, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia-Majlis Sukan Sekolah Malaysia-MILO (KPM-MSSM-MILO) 2019 terbukti berjaya melahirkan ramai atlet muda sebagai pelapis negara untuk mempersiapkan diri di persada sukan antarabangsa.

Dalam ucapan perasmian majlis yang berlangsung secara dalam talian, YB Datuk Dr. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan mengatakan bahawa pandemik COVID-19 memberikan kesan yang cukup mendalam kepada sektor pendidikan dan sektor sosial.

YB Datuk Dr. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak menjadi penghalang kepada guru untuk menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi meneruskan pembelajaran, termasuklah menggilap potensi murid dalam bidang sukan.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO merupakan acara tahunan sejak tahun 1968.

Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO yang diadakan setiap tahun adalah untuk meraikan kejayaan dan memberi pengiktirafan kepada para atlet murid, jurulatih sukan, golongan pendidik dan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa ini termasuk juga penglibatan dan kejayaan atlet dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sepanjang tahun 2019.

KPM amat menghargai usaha dan peranan yang dimainkan oleh MSSM dalam mencungkil dan membentuk bakat atlet murid sehingga ke peringkat antarabangsa. Lebih membanggakan, kecemerlangan atlet murid ini tidak hanya terbatas kepada kejayaan dalam bidang sukan, malah cemerlang dalam bidang akademik dan mempunyai kerjaya yang hebat.

Izzah Amzan, atlet gimrama.

Dalam kejohanan MSSM pada kali ini, terdapat 13 kategori dipertandingkan, termasuklah Anugerah Emas yang dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan sukan sepanjang tahun. Sebulum ini, Aifa Azman telah berjaya memenangi anugerah tertinggi ini dan kini giliran ratu gimrama negara yang sedang melonjak naik, Izzah Amzan diiktiraf sebagai penerima Anugerah Emas 2019.

Berdasarkan laporan, Izzah mencapai prestasi akademik yang cemerlang dengan purata mata nilaian kumulatifnya 3.79 dalam aliran pengurusan. Beliau juga penerima Anugerah Puteri Sukan pada tahun 2018 dan pernah merangkul pingat emas Sukan SEA 2017 dan Sukan SEA 2019.

Sehubungan dengan itu, YB Datuk Dr. Radzi mengucapkan tahniah kepada 16 penerima anugerah sukan KPM-MSSM-MILO 2019, termasuklah tiga buah negeri yang menerima Anugerah Juara MSSM 2019.

Antara pemenang Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2019.

Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat kepada atlet murid dan jurulatih untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi.

Oleh hal yang demikian, KPM berbesar hati menerima kerjasama daripada pelbagai agensi untuk merealisasikan hasrat kerajaan “Dasar 1Murid 1Sukan”. Dengan kerjasama yang erat, KPM yakin akan lebih banyak lagi pencapaian dan kejayaan yang boleh dilakar di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, di samping melahirkan pelajar yang aktif bersukan sejajar dengan anjakan 9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Anugerah Juara MSSM 2019

Senarai Penuh Pemenang Anugerah KPM-MSSM-MILO 2021

Anugerah Emas

Izzah Amzan (Gimrama)

Anugerah Putera

Khiew Hoe Yean (Renang)

Anugerah Puteri

Iman Alisha Fakhri Yassin (Gimrama)

Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan)

Muhammad Rafed Ismail

Anugerah Tunas Harapan Puteri

Loo Yie Bing (Renang)

Anugerah Tunas Harapan Putera

Wong Lee Hong (Skuasy)

Anugerah Pendidikan Khas Puteri

Siti Nor Insyirah Mohamad Ariffin (Olahraga)

Anugerah Pendidikan Khas Putera

Jonah Chang Anak Rigan (Olahraga)

Anugerah Khas Puteri

Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai)

Anugerah Khas Putera

Mohammad Rifdean Masdor (Muay Thai)

Anugerah Guru Berjasa Wanita

Chang Siang Cheng

Anugerah Guru Berjasa Lelaki

Yeshodh A/L Parameswaran

Anugerah Jurulatih Cemerlang

Mohd. Shahril Shahidan

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.