14 Disember 2021, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ledakan pemikiran berteraskan era Revolusi Perindustrian 4.0 menghasilkan impak terhadap keseluruhan aliran dalam pendidikan dan tidak terkecuali bagi mata pelajaran pendidikan Islam. Kekangan paradigma, pemikiran, penterjemahan idea, pembentukan kefahaman dan penginterpretasian amalan merupakan konflik pertembungan yang didasarkan asas pendidikan yang dibina ilmuwan terdahulu dengan penghasilan metodologi pendidikan yang dipelbagaikan. Maka, hal ini menuntut perhatian dan keupayaan pengadaptasian dalam kalangan pemegang taruh dalam sektor pendidikan seperti guru, pelajar, ibu bapa, komuniti setempat dan kementerian.

Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bidang pendidikan secara keseluruhannya dan kesan kepada sistem pendidikan negara?

Asas kesan boleh diperincikan berteraskan cabaran teknologi maklumat dan media massa. Teknologi bukanlah sesuatu yang asing dalam pengajaran dan sejarah Islam kerana hal tersebut merupakan suatu proses yang berterusan dan berkembang bersama-sama dengan kepandaian manusia untuk memudahkan urusan kehidupan. Oleh itu, revolusi teknologi maklumat merupakan suatu perkara yang akan terus berkembang pesat dengan ledakan ilmu. Masyarakat akan berorientasikan maklumat kerana maklumat boleh didapati dengan mudahnya kerana teknologi semakin berkembang, di samping arus semasa yang mengupayakan seseorang itu memahami teknologi maklumat dengan lebih mendalam.

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, struktur pendidikan menjadi lebih tercabar kerana terpaksa mengubah untuk menilai dan menstrukturkan semula secara keseluruhan langkah sekolah beroperasi, pendekatan yang digunakan dalam pengajaran serta cara pembelajaran. Perkara ini haruslah dilakukan secara berhati-hati agar nilai-nilai agama tidak terjejas walaupun kita inginkan kemajuan yang setara dengan negara-negara luar yang sudah pun maju terlebih dahulu berbanding dengan Malaysia, namun runtuh dari segi akhlak dan moralnya. Malahan terdapat pelbagai kesan negatif yang berlaku akibat daripada perkembangan teknologi maklumat serta media massa.

Antara impak yang sering menjadi perbualan umum ialah kelekaan dalam mengerjakan ibadah, hubungan kekeluargaan yang kurang intim kerana kesibukan melayan rancangan televisyen, kemerosotan dalam pembelajaran serta tidak fokus dalam kelas kerana waktu senggang banyak ditumpukan untuk melakukan kerja-kerja yang kurang berfaedah sehingga ke larut malam.

Untuk itu, antara saranan yang dikemukakan untuk menghadapi cabaran ini ialah segala perubahan yang dilakukan sama ada dalam kurikulum mahupun selain daripada itu hendaklah mendapatkan khidmat nasihat daripada ahli agama terlebih dahulu sebelum memutuskan hal tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana kerjasama yang secara telus ini akan membuahkan hasil yang dihajati kerana terdapat kesepakatan antara para fuqaha serta ahli pakar yang lain seperti penggubal kurikulum.

Seterusnya, segala rancangan yang tidak mempunyai nilai-nilai yang positif hendaklah dikurangkan penayangannya di kaca televisyen sebagai langkah awal untuk mengurangkan pengaruh media massa ke atas kecemerlangan diri pelajar. Sebaliknya, rancangan yang berbentuk pendidikan serta akademik hendaklah ditayangkan tidak terhad pada waktu siang sahaja malahan pada waktu perdana, iaitu sekitar pukul 7.00 hingga 10.00 malam.

Selain itu, cabaran persepsi masyarakat berkaitan dengan didikan agama hanya terletak pada ahli agama. Menerusi aliran pendidikan moden, kurikulum itu tidak lagi terbatas pada perkara yang diberikan dalam lingkungan sekolah sahaja, bahkan juga meliputi hal-hal yang bersangkutan dengan aspek kehidupan di luar sekolah. Sehubungan dengan itu, pendidikan misalnya bukan hanya berlaku di sekolah sahaja, malahan turut berlaku di luar sekolah seperti di rumah dan kawasan kejiranan.

Ibu bapa merupakan golongan yang menjadi tunjang dalam proses pendidikan anak-anak. Pendidikan anak-anak tersebut berlaku sebelum proses kelahiran berlaku lagi, iaitu kedua-dua orang tuanya sentiasa melakukan amal soleh dan mengamalkan amalan doa menerusi matlamat untuk menjadikan anak-anak sebagai generasi yang diredai Allah SWT.

Impak daripada itu, yang dihadapi oleh generasi pada masa ini ialah hilangnya konsep ta’dib dalam pendidikan. Pendidikan itu hanya berbentuk pembelajaran untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, tetapi kurang memberikan penekanan terhadap proses mendidik, pengajaran adab serta pembentukan akhlak. Bagi menangani dilema ini, proses mendidik dan membentuk seseorang pelajar itu hendaklah membawanya ke arah pembentukan peribadi, sikap, watak serta sahsiah yang selaras dengan yang diredai Allah SWT.

Peranan guru hanya terhad sewaktu masa persekolahan sahaja. Sekiranya amanah ini dilakukan secara satu pihak sahaja, tidak mungkin hasil yang kita inginkan itu dapat dinikmati sepenuhnya. Meskipun guru mempunyai tugasan serta bebanan kerja yang banyak, perkara ini tidaklah menjadi permasalahan besar kerana terdapat pembahagian tugas telah pun dilakukan oleh pihak pentadbiran sekolah. Pendidikan tidak berkesan jika sekolah sahaja yang memberi pendidikan sedangkan keluarga dan masyarakat tidak turut serta membantu atau sebaliknya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kandungan pendidikan.

Secara tuntasnya, tugasan mendidik anak bangsa terutamanya yang bergelar Muslim hendaklah dilakukan secara kolektif, iaitu secara kerjasama antara guru, ibu bapa serta masyarakat setempat. Cadangan serta gagasan untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam pendidikan. Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyebutkan dalam bukunya berkaitan dengan sistem pendidikan yang seharusnya diikuti oleh orang Islam, iaitu sistem yang berpaksikan ajaran Islam dengan menjadikan Rasulullah SAW itu sebagai ikutan yang terbaik.

Pendidikan yang terlalu mengikut model Barat hendaklah dikesampingkan kerana Islam juga mempunyai banyak tokoh-tokoh yang berketerampilan dalam bidang pendidikan seperti Ibn Khaldun, Imam Ghazali, Al-Qabisi dan sebagainya yang terkenal dengan pelbagai teori. Guru berperanan untuk membentuk manusia dari segi perwatakan serta penampilannya. Oleh sebab itu, seseorang guru haruslah memiliki kualiti sebagai guru yang ideal.

Guru ideal yang dimaksudkan ialah mampan dan utuh akidahnya serta kepercayaannya kepada Allah SWT dalam semua aspek. Beliau mampu menonjolkan peribadi dan perlakuan yang diredai oleh Allah SWT dalam setiap tindak-tanduknya . Malah guru yang ideal selalu memohon pertolongan dan bimbingan daripada Allah SWT dalam menjalankan tugasannya sebagai pendidik anak bangsa. Kurikulum pendidikan yang patut diberikan kepada generasi pelajar bagi mencapai matlamat untuk melahirkan insan soleh dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek yang dapat memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pendidikan membawa pengertian yang cukup luas kerana meliputi hampir kesemua aktiviti manusia daripada yang paling kecil seperti menjala ikan untuk dijadikan lauk sehinggalah kepada aktiviti yang lebih kompleks seperti berfikir dalam bentuk individu secara kolektif dan mampan.

Tujuan pendidikan:

1. Mempersiapkan seseorang dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama  melalui al-Quran dan al-Sunnah. Menerusi jalan itu potensi iman dapat  dipertingkatkan.

2. Melengkapkan akhlak manusia.

3. Melengkapkan sosial manusia.

4. Melengkapkan manusia dengan asas latihan kemahiran atau pekerjaan.

5. Mempertingkatkan daya pemikiran kerana dengan pemikiran individu itu dapat membuat berbagai pekerjaan dan pertukangan atau kemahiran tertentu.

6. Membekalkan individu dengan kemahiran kesenian, termasuklah muzik, syair, khat, seni bina dan lain-lain.

– Menurut Ibnu Khaldun

 

Profesor Hasan Langgulung pula menyatakan terdapat tiga tujuan utama pendidikan, iaitu pertama, untuk menentukan haluan bagi proses pendidikan, iaitu ke arah manakah tujuan pembentukan generasi muda atau corak individu yang dihasilkan melalui pendidikan. Kedua, untuk merangsang dan mendorong individu bekerja bersungguh-sungguh bagi mencapai nilai-nilai murni dalam kehidupan. Ketiga, untuk menjadi kriteria dalam menilai proses pendidikan, iaitu menilai pencapaian pendidikan itu sama ada berjaya atau tidak.

Dalam konteks Malaysia, permulaan berkisar kepada pembentukan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan diteruskan dengan KSSR dan KSSM. Menerusi kurikulum ini, pendidikan Islam dan Moral amat dititikberatkan dan menjadi teras kepada mata pelajaran lain untuk memastikan matlamat pendidikan negara yang digariskan melalui Falsafah Pendidikan Negara dapat dicapai.

Keseluruhan daripada perbincangan ini menyatakan asas kurikulum memainkan peranan penting untuk dimasukkan dalam pendidikan agar generasi yang dibentuk itu meliputi individu yang soleh melalui penerapan nilai-nilai intelek, rohani, jasmani dan emosi yang seimbang agar berkeupayaan memikul tanggungjawab yang dituntut dalam ajaran Islam. Kurikulum dan tujuan pendidikan tidak boleh dipisahkan dan saling mempunyai wasilah antara satu sama lain. Kurikulum pendidikan perlu dibentuk berdasarkan tujuan pendidikan itu sendiri. Dalam erti kata lain, kurikulum pendidikan digubal berdasarkan tujuan-tujuan tersebut. Akhir daripada keseluruhan proses ini mampu merencanakan penghasilan asas kerangka pendidikan yang dapat memperkembangkan nilai amalan dan penghayatan sebagai inti pati utama dalam setiap diri pelajar khasnya dan masyarakat amnya.


Dr. Mohd Syaubari Othman, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.