Oleh Sakinah Sahwati
18 Disember 2021, 22:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching — Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas gabungan empat parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Beliau selesai mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, di Astana Negeri kira-kira pukul 10.45 malam ini.

Yang turut hadir ialah isteri Tun Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Tan Sri Abang Johari, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang merupakan Timbalan Ketua Menteri dalam barisan Kabinet sebelum ini.

Majlis tersebut sekali gus mengesahkan Tan Sri Abang Johari, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada PRN12, dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ketujuh. Beliau kali pertama dilantik sebagai Ketua Menteri pada 13 Jan 2017, sebagai menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Beliau mengetuai GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), untuk pertama kali bertanding pada PRN menggunakan lambang sendiri.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan GPS yang diketuai oleh Tan Sri Abang Johari menang sebanyak 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan pada PRN12.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata dengan keputusan itu, GPS berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan atau majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.