Oleh Sakinah Sahwati
19 Disember 2021, 00:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Rentetan daripada hujan lebat yang mengakibatkan banjir yang melanda di beberapa buah negeri, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menerusi catatan di laman Facebook miliknya mengarahkan semua kementerian yang berkaitan untuk menggerakkan aset ke kawasan yang terjejas dengan banjir. Usaha ini menurut Perdana Menteri adalah untuk memastikan rakyat dapat diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera.

Tambah Perdana Menteri, pada Jumaat lalu, beliau telah diberikan taklimat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung dengan keadaan banjir yang melanda di beberapa buah negeri ekoran hujan lebat yang berterusan.

Saya telah bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani supaya menggunakan aset tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan agensi sokongan yang lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di PPS. Saya juga telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi memudahkan komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat menerusi laman media sosial rasmi NADMA dan agensi terlibat,” ujar Perdana Menteri.

NADMA juga diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka pastinya mempunyai maklumat lengkap mengenai mangsa banjir.

“Pengumpulan maklumat ini akan dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan dan bantuan,” jelas Perdana Menteri.

Tidak lupa, Perdana Menteri turut meminta Keluarga Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas dengan banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.

Jaga keselamatan diri dan keluarga. Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan kepada Keluarga Malaysia tentang langkah dan tindakan yang dilaksanakan,” ujar Perdana Menteri lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.