Oleh Jasni Sabri
27 Disember 2021, 11:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manusia perlu mempelajari sesuatu perkara yang ingin diketahuinya. Maka itu, kehidupan manusia tidak sunyi daripada pencarian ilmu. Ilmu yang diperoleh merupakan bekalan penting untuk meneruskan kehidupan. Menerusi ilmu, manusia mampu melakukan sesuatu yang membawa kesejahteraan hidupnya.

Menuntut ilmu mestilah dilakukan supaya kehidupan manusia membawa makna kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.

Tahap menuntut ilmu perlulah setinggi yang mungkin dan hal ini boleh menjadi kenyataan dengan adanya institusi pengajian tinggi dan organisasi pengajian lepasan sekolah. Institusi sebegini berkembang dengan pesat seiring dengan permintaan untuk menuntut ilmu pada peringkat tertinggi. Jika di sekolah, penyampai ilmu dipanggil guru, di universiti pula golongan ini disebut sebagai ahli akademik atau pensyarah.

Peranan utama ahli akademik adalah untuk mengajar pelajar universiti dengan cabaran dan keunikannya yang tersendiri. Aspek yang diajar perulah berasaskan keperluan semasa dan futuristik negara yang juga mengambil kira kepentingan, kerelevanan dan aplikasinya pada peringkat global.

Hal ini untuk memastikan ilmu yang disampaikan sentiasa mengikut perkembangan zaman dan merentas benua. Aspek ini perlu dipaparkan dalam kurikulum pengajian bidang yang diajar di semua fakulti di universiti. Paparan sebegini sudah semestinya diikuti dengan keseriusan untuk melaksanakannya. Kecenderungan ini dilihat dalam konteks kedinamikan ilmu, terutamanya pada era perolehan maklumat tanpa sempadan dan batasan secara dalam talian. Kedinamikan ilmu ini seharusnya menjurus kepada kesungguhan menikmati dan menyokong penuh pembelajaran sepanjang hayat oleh semua pihak termasuklah ibu bapa, masyarakat, guru dan ahli akademik, serta perlu dijadikan sebagai budaya kehidupan.

Ilmu yang dipelajari semasa ahli akademik menuntut pengajian kedoktoran falsafah pada suatu ketika dahulu boleh menjadi kurang terkini kerana penemuan baharu dalam ilmu dan bidang kepakaran, iaitu selari dengan sifat ilmu itu sendiri yang terus berkembang dengan fakta yang terkini. Oleh hal yang demikian, ahli akademik perlu membuat semakan literatur untuk mengesan kelompangan dalam sesuatu ilmu tentang sesuatu perkara yang membawa kepada tindakan perolehan pengetahuan dan fakta terbaharu agar ilmu dan kepakarannya sentiasa terkini.

Jurnal yang diterbitkan menjadi sumber yang sangat berfaedah sebagai bahan kompilasi penerokaan dan penemuan ilmu semasa yang melengkapkan ahli akademik dengan pengetahuan semasa. Sebagai contoh, seorang ahli akademik dalam bidang bakteriologi, jika kurang mengikuti perkembangan penyelidikan genetik molekul bidang kepakarannya akan terkejut dengan nama baharu bagi sesuatu bakteria yang diketahui melalui pelajar yang menegurnya semasa kuliah kerana beliau masih lagi menggunakan nama lama bakteria tersebut

Ilmu berkembang kerana adanya aktiviti penyelidikan yang meneroka kejadian alam dan urusan kehidupan yang memberikan nilai tambah kepada ilmu. Oleh sebab itu, ahli akademik di universiti perlu menjalankan penyelidikan kerana dapatan penyelidikan akan sentiasa menyegarkan sesuatu ilmu dengan maklumat terbaharu supaya aplikasinya terus relevan mengikut perkembangan semasa. Ilmu yang sentiasa disegarkan dengan maklumat baharu melalui mencambahkan idea, kreativiti dan penjanaan pemikiran yang aktif akan menjurus kepada penyelidikan yang berterusan kerana sifat ilmu itu yang tiada penghujungnya.

Sesiapa yang lebih pantas dalam pencarian ilmu atau seiring dengan perkembangan ilmu, sebenarnya menjaga dirinya supaya terus bernilai dan relevan dengan ilmu yang mengikut zaman yang dilalui dan keberadaannya sekarang.

Seseorang ahli akademik perlu sentiasa mendahului pelajarnya dalam ilmu yang terkini. Ledakan maklumat secara dalam talian yang sangat pantas dan tanpa batasan menyebabkan harapan ini mungkin tidak kesampaian.

Ahli akademik bukan hanya berperanan sebagai penyampai ilmu malah juga perlu menjalankan penyelidikan, memberikan perkhidmatan seperti perkhidmatan makmal diagnosis, penglibatan dalam aktiviti kesejahteraan masyarakat, menjalankan perundingan, dan tidak kurang juga yang menjalankan tugas pentadbiran.

Setiap ahli akademik, terutamanya yang senior, perlu menghayati kemajuan zaman yang sedang dilaluinya sepantas dengan pensyarah generasi muda, terutamanya ilmu yang lebih jauh ke hadapan berbanding dengan ilmu yang diperoleh pada zaman sebelumnya. Namun begitu, seseorang ahli akademik senior masih sangat penting kerana keselarian nilai pengalaman dan kemahiran dengan usianya, yang sudah tentunya boleh menjadi sumber perkongsian yang berguna kepada ahli akademik muda dan pelajar yang sedang bertunas dalam sesuatu bidang ilmu.

Ledakan dan mudahnya mendapat maklumat pada era ini, menyebabkan pelajar lebih mengetahui sesuatu maklumat berbanding dengan ahli akademik. Namun begitu, apa-apa yang diketahui oleh pelajar mungkin bukan pada peringkat penguasaan ilmu. Penerapan asas ilmu tersebut belum cukup kukuh tanpa penyampaian oleh ahli akademik. Walau bagaimanapun, ilmu yang disampaikan secara maya boleh sahaja menyebabkan keperluan penyampaian oleh ahli akademik secara bersemuka, berstruktur dan berjadual mungkin tidak lagi menjadi amalan biasa pada masa akan datang. Malah interaksi dengan ahli akademik di luar waktu kuliah, secara dalam talian, pada bila-bila masa boleh menjadi kebiasaan dalam budaya menuntut ilmu.

Apabila maklumat ilmu meledak dengan begitu pantas, pendekatan perkongsian bersama-sama ilmu antara pelajar dengan ahli akademik atau sesama pelajar dan pensyarah boleh dibudayakan. Perkongsian ilmu bolehlah diketengahkan melalui pembentangan secara sukarela dengan impak kenikmatan dan keseronokan berbuat demikian, bukan hanya oleh ahli akademik bersama-sama pelajar, malah dalam kalangan pelajar melalui ruang dan peluang yang dirancang. Inilah yang dikenali sebagai persekitaran intelektual yang perlu terus dihidupkan dan sentiasa disemarakkan di institusi pengajian tinggi.

Dalam konteks kepentingan aplikasi ilmu yang diajar, ahli akademik boleh memberikan kesedaran kepada pelajar bahawa tanpa mengetahui ilmu yang dipelajari sebelumnya, pelajar tidak mungkin dapat memahami dan menguasai disiplin ilmu lain yang mempunyai pertalian dengan pembelajaran pada hari ini. Sebagai contoh, dalam pengajian perubatan veterinar, jika pelajar memahami ilmu anatomi berkaitan dengan sistem saraf pada awal tahun pengajian, apabila mereka melakukan latihan pembedahan (surgeri) pada akhir tahun pembelajaran, kecacatan atau kematian pesakit dapat dielakkan kerana pelajar tidak memotong saraf penting, sebaliknya mereka menjalankan pembedahan mengikut prosedur kerana telah menghayati ilmu anatomi pada awal tahun pengajian mereka.

Namun begitu, bagi pelajar yang pintar kerana mendapat pendedahan terhadap kemahiran memproses maklumat dan kemampuan berfikir aras tinggi, mereka akan mencetuskan cabaran akademik yang perlu diberikan perhatian oleh ahli akademik. Hal ini membawa maksud seseorang ahli akademik tidak boleh lesu dengan pemikiran dan tindakan yang sudah ketinggalan zaman dalam penyaluran ilmu dari segi kandungan serta cara serta keberkesanan penyampaian pengajaran.

Ekoran daripada budaya berfikiran kritis yang mula diterapkan semenjak di bangku sekolah, suasana mengajar dan pembelajaran seperti pertanyaan daripada pelajar, akan menjadi lebih interaktif dan mencabar kemampuan pengetahuan dan kemahiran seseorang ahli akademik. Maka itu, keberanian dan kesungguhan untuk mencipta dan mencuba inovasi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran seperti kursus secara dalam talian padat, iaitu Massive Open Online Courses (MOOC), penyampaian kuliah yang tidak statik dengan menggunakan animasi yang menarik dan interaktif, serta penyelidikan yang membawa kepada inovasi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran perlulah dibudayakan.

Pada hari ini, penekanan kepada kemampuan berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar sekolah dicerminkan melalui kurikulum pengajian sedemikian rupa yang sudah pun bermula dengan rancaknya. Hal ini bermakna generasi universiti akan agak pastinya akan berbeza dari segi cara memberikan respons kepada kandungan serta penyampaian kuliah. Pelajar datang daripada pelbagai latar belakang – sekolah bestari, berasrama penuh, sekolah elit dan sekolah harian biasa yang sudah diterapkan dengan keperluan dan budaya berfikir serta kepentingan aplikasi dan bukan sekadar memahami ilmu yang disampaikan.

Tambahan pula, pendekatan ibu bapa yang bertanggungjawab dan berpelajaran dari segi menjana dan mengasah bakat anak berfikir dengan galakan pembacaan tambahan dan sokongan yang berterusan juga akan mempengaruhi corak kualiti interaksi pembelajaran di universiti.

Kita perlu bayangkan dari sekarang bagaimana suasana di dalam kuliah kelak yang dijangka akan dipenuhi dengan pertanyaan yang mencabar wibawa dan pengetahuan seseorang ahli akademik.

Apakah respons sedemikian akan menyebabkan ahli akademik mudah melenting atau menolak dengan bulat-bulat pertanyaan pelajar walaupun persoalan yang dibangkitkan rasional dan boleh dibawa kepada penjanaan keintelektualan yang lebih jauh dan signifikan?

Apakah ahli akademik akan bergembira dan secara positif menyambut pertanyaan sedemikian daripada pelajar mereka dan meletakkannya sebagai peluang untuk menambahkan kandungan kuliah serta kualiti penjanaan pemikiran dengan perbincangan lanjutan terhadap sesuatu topik dengan lebih berisi dan berkesan?

Apakan ahli akademik akan mula melabel pelajar berkenaan kerana berasa dicabar serta berbual buruk tentang pelajar yang terlibat?

Apakah pertanyaan ini akan disambut dengan gembira dan penuh kesabaran, serta kesarjanaan oleh ahli akademik kerana perkembangan tersebut membawa petanda kematangan berfikir pelajar walaupun mencabar kematangan dan kedalaman ilmu ahli akademik?

Ada fakulti yang mungkin sudah melalui perubahan suasana akademik di dewan kuliah dan semasa amali, terutamanya apabila komposisi pelajarnya terdiri daripada pelajar dari luar negara – interaksi melalui pertanyaan yang bertalu-talu yang sangat aktif dan menarik yang sudah menjadi kebiasaan baginya di negara asal mereka. Pertanyaan semasa pembelajaran sebegini merupakan sesuatu yang sangat biasa bagi mereka dan apabila mengikuti pengajian di Malaysia, apakah ahli akademik perlu beradaptasi dengan mereka mengikut arus perkembangan akademik yang mengambil berat tentang pemikiran aras tinggi?

Maka itu, ahli akademik perlulah menghadapi suasana ini dengan penuh beretika, profesional, sabar dan kesarjanaan dengan ilmu mendidik yang berbagai dalam satu pakej persiapan yang holistik yang mengambil kira situasi yang sedang dan akan ditempuhi dengan cabaran yang lebih meluas nanti.

Pakej yang dimaksudkan termasuklah ilmu pedagogi, kebijaksanaan emosi, pengurusan stres, persiapan menghadapi pelajar antarabangsa yang berbagai budaya dan latar belakang, ilmu bahasa badan, pengurusan konflik, asas kaunseling, ilmu karisma, penguasaan bahasa ilmu terutamanya bahasa Inggeris untuk membina kecekapan dalam penyampaian dan penulisan, persiapan ketahanan mental dan kekuatan kerohanian selain ilmu dalam bidang kepakaran masing-masing.

Pembinaan dan pengasahan bakat ini perlulah berterusan mengikut perkembangan semasa dan dijalankan dengan strategik. Bagi ahli akademik muda, kemasukan baharu khususnya kursus induksi yang dijalankan perlu mengambil kira pakej yang memberikan manfaat mengikut keperluan dan cabaran semasa dan juga yang memberikan tumpuan terhadap persiapan untuk menempuh cabaran masa hadapan yang boleh dijangkakan mengikut perubahan zaman.

Ahli akademik akan lebih disegani dan dihormati sekiranya mereka bukan hanya bertindak sebagai penyampai ilmu. Perasaan ini boleh berlaku apabila ahli akademik menjalankan kewajipannya dengan penuh karisma. Oleh itu, ahli akademik boleh dikategorikan kepada tiga kategori iaitu, mereka yang mengajar semata-mata untuk menyampaikan ilmu kerana sukatan silibus dan masa yang diperuntukkan;  ahli akademik yang berusaha untuk menerangkan ilmu yang disampaikannya; dan ahli akademik yang sentiasa memastikan ilmu yang disampaikan difahami dengan sebaik-baiknya oleh pelajar. Ada juga ahli akademik yang juga memotivasikan, menjadi mentor dan memberikan nasihat supaya pelajar bukan hanya berpengetahuan tinggi tetapi mempunyai keperibadian yang mulia dari segi tutur kata, adab berpakaian, ketepatan masa, semangat dan kesungguhan yang diselitkan semasa dan sesudah kuliah.

Dalam hal ini, ahli akademik perlu terlebih dahulu berperibadi mulia yang menjadi cerminan dan contoh kepada pelajarnya dan kepada ahli akademik yang lain. Universiti ialah tempat penjanaan kepakaran dan ilmuwan. Ilmu dan kepakaran tanpa peribadi yang baik umpama lampu yang menyala namun sinarnya tidak kesampaian.

Ahli akademik yang berilmu dan berperibadi mulia ialah pendidik anak bangsa. Maka itu, marilah kita menghayati dan mensyukuri akan hakikat ini dan menjadi ahli pendidik yang terus beretika, penuh kesarjanaan dan berperibadi mulia serta mendukung sepenuhnya Falsafah Pendidikan Negara.


Profesor Dr. Jasni Sabri, Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.