30 Disember 2021, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendidikan berteraskan Islam pada hari ini menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa. Hal ini berlaku apabila pendidikan ini dilihat sebagai benteng yang kukuh untuk pembangunan sahsiah generasi masa depan. Disebabkan hal itu juga, dalam Belanjawan 2022, sebanyak RM100 juta peruntukkan disalurkan bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat (SAR).

Mendidik anak mengenali agama merupakan hal yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa supaya anak-anak membesar dalam ketaatan kepada Allah SWT. Selain itu, didiklah mereka untuk mencintai Rasulullah SAW dan keluarga baginda supaya anak-anak dapat mencontohi sunah dan pekerti Rasulullah SAW.

Dalam Riwayat at-Tabarani, Rasulullah SAW bersabda, “Didiklah anak kamu pada tiga bahagian utama. Pertama, didiklah dia supaya mencintai nabi kamu. Kedua, didiklah mereka untuk mencintai keluarga Rasulullah SAW dan ketiga, didiklah anak kamu dengan al-Quran.” Suatu ketika dahulu, sekolah agama dipandang sepi, malah tidak menjadi kepentingan untuk menghantar anak-anak ke Kelas Agama Fardu Ain (KAFA), namun tidak pada hari ini. Mata pelajaran Pendidikan Islam yang diajar dalam sesi persekolahan harian biasa dilihat tidak mencukupi bagi kebanyakan ibu bapa.

Pada 2019, satu kajian yang dijalankan Harvard University, mendapati anak-anak yang dibesarkan dalam didikan agama membesar dengan lebih sihat, bersahsiah dan mempunyai kehidupan yang baik ketika dewasa. Kajian yang dikendalikan Harvard School of Public Health ini dijalankan ke atas 5000 orang responden yang berusia antara lapan hingga 14 tahun dan hasilnya sebanyak 18 peratus daripada mereka menikmati kadar kegembiraan yang lebih tinggi berbanding dengan yang anak-anak yang tidak menerima pendidikan agama sejak kecil.

Perkukuh Iman Anak Sejak Awal Usia

Dalam Islam sendiri, didikan terhadap anak-anak bermula daripada mereka mumaiyiz apabila perkara pertama yang wajar diajari ialah akidah, taharah (bersuci) dan al-Quran. Begitu indahnya ajaran Islam. Pendidikan awal kanak-kanak dimulai dengan perkara yang mengukuhkan iman, iaitu akidah yang berteraskan asas agama terutamanya kepercayaan kepada Allah SWT kerana tanpa kepercayaan, jiwa kita tidak terisi dengan sifat yang baik.

Walau bagaimanapun, dalam menjadikan didikan itu seimbang, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan masing-masing dalam mendidik anak-anak. Didikan seimbang meliputi didikan mengikut peredaran zaman apabila pada hari ini anak-anak bukan sekadar menuju era modenisasi, malah turut melangkau dunia tanpa sempadan. Mereka tidak lagi gentar dengan arahan dan pandangan “tajam” ibu bapa seperti pada zaman 80-an dan 90-an, kerana anak-anak generasi kini dilahirkan dengan keadaan sekeliling yang penuh dengan pelbagai hiburan digital tanpa sempadan.

Mereka memerlukan sentuhan fizikal dan emosi untuk menjadikan jiwa lebih stabil seperti mana Saidina Umar al Khatab pernah menyatakan bahawa “Didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan zaman kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau.”

Di sisi agama Islam itu sendiri, Nabi Muhammad SAW juga meletakkan pendidikan Islam sebagai asas kehidupan yang perlu diterapkan sejak kecil lagi. Solat menjadi antara perkara utama yang wajib diserapkan dalam diri anak-anak seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Didiklah anak kamu supaya solat pada usia tujuh tahun dan rotanlah mereka apabila usia mereka menjangkau 10 tahun (jika masih meninggalkan solat).” (Riwayat Abu Dawud).

Begitulah pentingnya didikan agama untuk menampilkan generasi masa depan yang bukan sahaja mempunyai tahap intelektual yang tinggi, malah mempunyai sahsiah dan adab yang unggul. Sebagai ibu bapa yang membesarkan anak-anak dalam era penuh pancaroba ini, seharusnya menjadikan pendidikan berteraskan Islam perlu dijadikan sebagai satu kewajipan walaupun dari segi piagam pendidikan negara, SAR sebagai contoh merupakan pilihan ibu ayah. Hal ini dikatakan demikian kerana, sekiranya anak-anak kurang cakna terhadap amalan syariat dan agamanya itu bererti ada sesuatu yang belum cukup untuk menjadi benteng masa depannya. Tugas ibu bapa bukan sekadar menyediakan keperluan dunia semata-mata, namun tetapi sejauh mana amanah yang dipertanggungjawabkan, iaitu anak-anak yang dikurniakan Allah SWT dijaga dan dipimpin mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.