Oleh Supiah Saad
30 Disember 2021, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Anak istimewa atau pun kanak-kanak berkeperluan khas merangkumi banyak kategori termasuk yang cacat anggota, cacat penglihatan, cacat pendengaran, Cerebral Palsy (CP), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), disleksia, autisme dan sebagainya. Sebahagian daripada mereka dilahirkan sedemikian ataupun mula dikesan menghidap permasalahan tersebut selepas melewati usia tertentu. Permasalahan tersebut berlaku pada tahap ringan, sederhana atau teruk.

Sesetengah permasalahan tanpa gejala fizikal kerap dilabelkan sebagai terlalu lasak atau tidak dikawal oleh ibu bapa, sedangkan kemungkinan mereka berdepan masalah ADHD, autisme atau simptom tingkah laku yang lain. Keadaan ini menyebabkan sesetengah ibu bapa berdepan dengan stigma dan menyorokkan anak-anak di rumah supaya tidak mengganggu atau menjadi buah mulut jiran tetangga.

Ibu bapa sebenarnya boleh mendapatkan bantuan kaunselor, ahli terapi atau guru pendidikan khas. Keluarga yang berkemampuan mempunyai pilihan untuk  menghantar anak-anak istimewa ini ke sekolah atau pusat latihan swasta selain program pendidikan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan. Pada masa yang sama, ada juga sebilangan sekolah yang dibina menggunakan sumbangan organisasi korporat untuk membantu keluarga B40 dan M40 yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Untuk mengatasi permasalahan ibu bapa dalam menguruskan anak-anak istimewa ini, guru pendidikan khas dan ahli terapi boleh menggunakan kaedah intervensi tingkah laku (behavioural intervention) termasuklah untuk mengawal reaksi di luar jangkaan seperti menonjolkan emosi atau tindak balas secara melampau, khususnya untuk kes autisme dan ADHD. Misalnya, apabila mereka berasa teruja, kanak-kanak ini kerap kali bertepuk kuat atau menjerit kerana gembira-sesuatu yang dianggap janggal dalam perhubungan anggota masyarakat. Keadaan menjadi lebih sukar jika melibatkan kes autisme tahap teruk yang tidak melibatkan komunikasi lisan, dan kebiasaannya kanak-kanak ini hanya tahu menarik tangan guru atau ibu bapa mereka ke arah sesuatu yang dingini, ataupun hanya duduk menangis di sesuatu tempat. Situasi sebegini menyukarkan ibu bapa memahami kehendak anak sehingga membawa kepada kanak-kanak itu membuat perangai (tantrum) atau menangis tanpa henti.

Tingkah laku ini boleh diubah perlahan-lahan dengan latihan ahli terapi atau guru pendidikan khas di sekolah, tetapi penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa ibu bapa mengambil alih serta meneruskan program latihan di rumah. Sebilangan kes menyaksikan kanak-kanak ini, khususnya autisme, membentuk kembali sikap lama yang sudah diatasi dan ada juga membentuk pelbagai sikap baharu yang berulang-ulang seperti membuat bunyi nyaring, menyanyi, bertepuk tangan dengan kuat dan beberapa perangai pelik lain disebabkan terlalu lama terkurung di dalam rumah.

Sepanjang tempoh PKP dan penutupan semua sekolah, para guru terpaksa mengharapkan ibu bapa menyambung latihan di rumah di samping menjalankan kelas dalam talian. Ada murid berkeperluan khas kelihatan teruja, namun ada juga yang memberontak kerana mahu kembali kepada rutin memakai uniform sekolah dan menghadiri kelas.

Kesukaran menjalankan intervensi tingkah laku di rumah terjadi kerana ibu bapa tiada latihan dan kurang kepakaran. Namun begitu, rata-ratanya berusaha keras dengan melatih anak mereka termasuklah mendapatkan maklumat serta kaedah tambahan dari pelbagai sumber. Ada juga keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak autisme.

Sebilangan kecil keluarga bukan sahaja keletihan, malah turut berdepan dengan kemurungan semasa menguruskan anak-anak ini sepanjang tempoh PKP akibat beban kemiskinan, tiada peranti untuk komunikasi dalam talian, kesukaran mencari sumber pendapatan, bahkan berdepan dengan perangai anak istimewa yang disebabkan perubahan rutin. Situasi ini menyebabkan ada ibu bapa yang kurang memberi kerjasama malah ada yang berhenti berhubung dengan guru dan pihak sekolah.

Ibu bapa perlu cuba mengekalkan kesinambungan latihan di rumah, menggunakan kaedah yang disarankan oleh guru bagi membentuk satu rutin harian. Sebagai contoh, penyediaan jadual aktiviti dan memaklumkan berkenaan sebarang perubahan rutin dengan memberi penjelasan yang lebih awal. Sebarang masalah boleh dibincangkan dengan guru untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar. Walau apa-apa juga situasi yang dihadapi, ibu bapa tidak boleh mengalah dalam usaha melatih dan mendidik anak-anak ini untuk berdikari sebaik mungkin, sehingga pada satu tahap optimum yang mampu dicapai mengikut keupayaan kanak-kanak tersebut.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.