Oleh Sakinah Sahwati
31 Disember 2021, 23:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Esok kita akan menyambut tahun baharu 2022, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pada pagi 1 Januari 2022, diramalkan hujan atau ribut di beberapa buah kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah. 

Pada sebelah petang pula diramalkan hujan atau ribut petir di beberapa buah kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah. Sementara itu, hujan atau ribut petir dijangka melanda di beberapa buah kawasan di Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Labuan. 

Pada malam pula, diramalkan hujan atau ribut petir di beberapa buah kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah. Di Melaka dan Sarawak pula diramalkan hujan di beberapa buah kawasan. 

Ramalan ini dikeluarkan MetMalaysia beberapa hari sebelum tahun baharu menjelang tiba. Tujuannya tidak lain tidak adalah untuk memaklumkan kepada penduduk di kawasan yang terlibat agar bersedia dengan sebarang kemungkinan  dan berwaspada dengan ramalan yang dimaklumkan. 

Persoalannya sejauhmanakah hebahan dan pemakluman ini benar-benar diambil peduli oleh rakyat, difahami, dan kita bersedia dengan merancang tindakan  yang selanjutnya? 

Ada pihak yang mengaitkan bahawa kerosakan harta benda akibat banjir luar biasa yang melanda di beberapa buah kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu sebagai berpunca daripada tindakan tidak peka terhadap ramalan yang dibuat oleh MetMalaysia.

Ternyata kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga siber yang rata-ratanya turut mengaitkan kemusnahan harta benda dan korban nyawa akibat banjir terburuk di Selangor dan Kuala Lumpur itu berpunca daripada pelbagai faktor yang lain.  Ada juga pihak  yang lebih gemar menunding jari dan mencari “pesalah” dalam bencana ini. Walhal, tatkala kebanyakan mangsa banjir belum lagi pulih daripada trauma, gangguan emosi dan mental akibat banjir, mereka terpaksa pula membina semula kehidupan baharu pascabanjir. Maka itu, penyelesaian tidak akan ternoktah jika semua pihak masih menyalahkan antara satu dengan lain. Sewajarnya, semua pihak tanpa berkecuali perlu belajar daripada bencana yang melanda. 

Belajar yang dimaksudkan adalah meliputi – sebelum bencana melanda, ketika bencana melanda dan selepas bencana melanda. Hal ini dikatakan demikian kerana mahu atau tidak, fenomena banjir pada setiap tahun tidak akan dapat dielakkan. Maka itu, amat penting untuk kita belajar agar penduduk dan negara ini berjaya menguruskan banjir dengan sebaik-baiknya. Peningkatan jumlah penduduk, pembangunan yang berterusan dan kedegilan sesetengah pihak yang masih mencemarkan sungai, menjadikan kita sukar untuk keluar daripada bencana ini pada masa akan datang.

Maka itu, jalan yang terbaik adalah dengan memastikan negara dapat mengurangkan risiko banjir dengan sebaik-baiknya. Sekali lagi, marilah kita bersama-sama menoleh usaha yang dilakukan oleh beberapa buah negara yang menjadikan bencana banjir sebagai tarikh terpenting dalam kalendar kehidupan mereka. Meskipun ramalan banjir bukan 100 peratus tepat, tetapi mereka 100 peratus telah bersedia.

Belanda misalnya, negara yang sejak ratusan tahun dahulu diancam banjir telah mengambil serius akan aspek taburan hujan yang banyak dan peningkatan paras air dunia akibat pemanasan global. Lantaran itu,  Netherlands yang 50 peratus tanahnya berada di atas paras laut telah berusaha keras dengan mempertingkat aspek kejuruteraan pengurusan air. Negara ini turut memperkenalkan konsep “ruang aliran untuk sungai” dengan memberikan ruang yang lebih banyak untuk laluan air. Sebelum itu, Netherlands membina banyak sekatan sungai dan memperkukuh benteng di sepanjang sungai, namun tindakan itu gagal menyekat banjir daripada melanda. Kerajaan negara itu juga mengajak rakyatnya untuk hidup bersama-sama limpahan air yang sukar dijangka dan bukannya berlawan dengan bencana tersebut. 

Tidak cukup dengan itu, negara itu turut memperlahankan proses pembangunan di kawasan tanah rendah dan memantapkan sistem amaran yang lebih berkesan supaya orang awam serta pihak pengurusan banjir lebih bersedia dengan bencana yang akan datang.  Hasilnya, mereka berupaya menguruskan banjir dengan amat berkesan dan kebanyakan pakar dari negara tersebut memaklumkan bahawa kejayaan mereka menguruskan banjir adalah dengan formula, memberikan perhatian yang serius terhadap dua perkara, iaitu situasi semasa dan sistem perlindungan banjir. 

Bagi Jepun pula, pengurusan banjir di negara tersebut disifatkan sebagai antara yang terbaik di dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana Jepun telah mengaplikasikan teknologi alihan air banjir bawah tanah (MAOUDC); mengeluarkan amaran awal banjir, iaitu beberapa hari sebelum jangkaan bencana berlaku. Amaran ini diperhebat dalam semua media sosial di negara tersebut dan di radio serta televisyen. Jepun juga mengeluarkan statistik kemusnahan yang membolehkan orang awam lebih bersedia terhadap sebarang kemungkinan yang bakal berlaku; amaran menerusi telefon pintar, iaitu kerajaan menghantar sistem pesanan ringkas sebagai peringatan kepada penduduk yang terlibat; pengumuman ramalan banjir dengan menggunakan pembesar suara di kawasan pedalaman; dan pasukan penyelamat yang sentiasa bersedia di lapangan.  Semua ini membolehkan Jepun bukan sahaja dapat menguruskan banjir dengan efisien, tetapi turut  mengurangkan risko kemusnahan harta benda awam dan orang perseorangan. 

Beralih kepada Malaysia, banyak pihak di negara ini menarik nafas lega apabila sehari sebelum tahun 2021 melabuhkan tirainya, kerajaan menerusi Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, mengumumkan bahawa  sistem amaran Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di seluruh negara akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2022. 

Beliau berkata, sistem tersebut akan memberikan amaran dengan membunyikan siren seawal dua hari sebelum berlakunya banjir dan pengumuman ramalan banjir, iaitu tujuh hari sebelum bencana itu dijangka berlaku.

“Setakat ini, sistem ini digunakan di lembangan sungai di Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan sebanyak 95 peratus. Pada tahun 2022, sistem ini akan melibatkan lembangan sungai di Sungai Klang dan Sungai Langat. Pada ketika ini, di Pulau Pinang, Kedah dan negeri utara yang lain sedang dalam fasa uji kaji,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Zaini turut menjelaskan bahawa sejumlah 120 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negara yang akan memaparkan situasi masa sebenar banjir kepada umum akan turut beroperasi pada tahun 2022. CCTV tersebut menurutnya, akan diletakkan di stesen pemantauan aras air sungai yang terletak di lembangan sungai yang terlibat.

Diharapkan dengan usaha ini akan dapat terus membantu negara untuk menguruskan banjir dengan sebaik-baiknya. Banyak negara telah memanfaatkan teknologi dalam meminimumkan risiko banjir dan hasilnya telah dibuktikan oleh banyak negara maju di dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.