Oleh Awang Sariyan
20 Mac 2024, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bersama-samalah kita menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana menyampaikan titah diraja yang penuh hikmah untuk menjadi pedoman ahli-ahli Dewan Negara, Dewan kasih Rakyat, kerajaan, penjawat awam dan sekalian rakyat jelata demi kesejahteraan, keamanan dan kerukunan hidup kita bersama. Frasa “titah yang penuh hikmah” disebut kerana sebahagian daripada kita seolah-olah telah kehilangan hikmah sehingga terjadi pertikaian dan perseteruan. Sebahagiannya tentang isu teras dan sebahagiannya isu pinggiran, yang sewajarnya diungkapkan dan dibincangkan dengan penuh hikmah, bukan menurut emosi yang tidak terkawal atau untuk meladeni kepentingan sempit.

Keperihatinan dan rasa kasih sayang baginda kepada seluruh rakyat jelata sesungguhnya amat membekas di hati sanubari sekalian kita dengan pengungkapan kata kunci pesan baginda “sentiasa hayati denyut nadi rakyat kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela nasib mereka. Sama-samalah juga kita hayati dan kita dukung peranan luhur Yang di-Pertuan Agong sebagai wakil Raja-Raja Melayu untuk “memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara”. Institusi Raja perlu senantiasa dihormati dan dinilai tinggi sebagai bahagian penting sistem pemerintahan dan kehidupan di negara ini, sebagai kesinambungan sejarah yang penting di negara ini dan di rantau ini.  Oleh itu, tidak wajar mana-mana pihak menyuarakan pernyataan yang mempertikaikan atau mencemarkan kemurniaan institusi itu.

Penegasan baginda di bahagian awal titah tentang peri pentingnya kerja secara berpasukan dan pertanggungjawaban bersama amat perlu disusuli secara praktis oleh semua pemimpin yang diberi amanah. Demikian jua, gandingan kerjasama antara pihak kerajaan dengan pihak yang selama ini disebut “pembangkang” perlu diutamakan, mengatasi sentimen kepartian dan ideologi. Sehubungan dengan itu, penulis turut mendukung gagasan baginda ketika bertitah di Dewan Undangan Negeri Johor pada awal bulan Mac 2023 agar istilah “pembangkang” ditukar menjadi “pengimbang”, sesuai dengan peranan “semak dan imbang”. YB Dr. Wan Martina turut menyentuh perkara tersebut, namun media di negara kita tidak menonjolkan gagasan itu, sebaliknya media di negara jiran, iaitu Berita Harian Singapura keluaran 21 Mac 2023 membuat liputan dan turut mendapatkan ulasan daripada penulis. Apa-apapun, yang penting ialah semangat bahu-membahu dan berjiwa besar dalam kalangan semua pemimpin dan wakil rakyat demi keutuhan dan kemajuan negara meskipun kelainan sikap dan pandangan pasti boleh sahaja diraikan. Cuaca di sekitar kian panas kerana perubahan iklim global, tetapi usahlah ditambah kepanasan itu dengan pertikaian politik.

Terkait dengan hal itu, amat penting wujudnya keharmonian antara pemimpin dengan penjawat awam yang merupakan tulang belakang pelaksanaan segala dasar negara. Rasa saling menghormati antara kedua-dua pihak dan sikap profesional amat penting supaya program pembangunan negara dapat dilangsungkan dengan berkesan. Saya mengambil kesempatan menyarankan agar para pemimpin, penjawat awam dan bahkan masyarakat umum menghayati satu daripada warisan karya besar kita, iaitu Tajussalatin (Mahkota Raja-raja) yang memerikan ciri-ciri positif pemimpin, penjawat awam dan peranan rakyat dalam pelaksanaan pentadbiran sesebuah negara. Buku itu telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan terbaharu, dalam bentuk karya agung edisi mewah, terbitan Yayasan Karyawan Malaysia.

Perkara lain yang turut ditegaskan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda ialah kewajiban menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara, sebagai hasil persetujuan Raja-Raja Melayu. Pancang-pancang kenegaraan yang dinukilkan dalam bentuk peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan wajiblah dihormati. Selain peruntukan tentang kedudukan Raja-Raja Melayu, baginda menyentuh kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang akan terus kekal dipelihara dan pada waktu yang sama agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan dengan aman, namun tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

Pada hemat penulis, peruntukan itu tidak menimbulkan isu dan apa-apa implikasi negatif. Oleh itu, tidak wajar dipolitikkan atau ditolak oleh mana-mana pihak. Isu yang berkaitan dengan percanggahan antara bidang kuasa Parlimen dengan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri perlu diselesaikan secara hikmah dan menurut tatacara. Terutamanya dengan menilai perkara tertentu yang mungkin perlu dipinda atau dikemaskinikan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri mempunyai wewenang dalam menzahirkan enakmen syariah untuk pelaksanaan pada peringkat negeri. Dalam konteks yang lebih besar, rakyat penduduk negara ini yang mewakili lebih 65 peratus mempunyai hak untuk diadili menurut sistem yang berasaskan agama yang dianut oleh mereka. Bagi penduduk Bumiputera yang bukan Islam, mereka berhak diberi ruang agar undang-undang adat mereka turut diintegrasikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam reformasi undang-undang negara, kedua-dua hal itu wajar diberi perhatian. Undang-undang negara perlu berlandasakan falsafah dan budaya negara.

Pancang kenegaraan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang turut dibangkitkan oleh baginda ialah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang belum atau tidak dikuasai oleh sesetengah kalangan. Teguran baginda sewajarnya diberi perhatian oleh kerajaan untuk melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan dengan lebih rapi dan tegas, terutamanya dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa urusan rasmi menurut Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Ketua institusi pentadbiran wajar lebih proaktif dalam pelaksanaan ketetapan tersebut di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing. Tidak wajar adanya sikap “bagai pahat dengan penukul” sehingga perlu menunggu pemimpin tertinggi negara membuat arahan pelaksanaan ketetapan yang telah jelas sejak hampir tiga suku abad. Terkait dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan bahasa Melayu, amat penting DBP diperkasakan, terutamanya dengan mempunyai Akta baharu bagi menggantikan Akta DBP 1959 yang tidak mempunyai wewenang penguatkuasaan selain “menegur, menasihati dan membimbing.” Telah kira-kira satu dekad hasrat itu disuarakan dan draf akta baharu telah pun disiapkan; maka amat penting rang undang-undang akta baharu itu dibentangkan di Parlimen.

Demikian juga, amat penting pengutamaan bahasa Melayu dalam sektor-sektor lain, terutamanya pendidikan, tempat awam, kehakiman dan media. Penegasan tentang Dasar Bahasa Kebangsaan tidak bererti penolakan mana-mana bahasa asing kerana setiap bahasa ada peranannya. Hujah akli dan naqli berkaitan dengan peranan bahasa amat jelas. Ayat 22 surah al-Rum, misalnya dengan jelas menyebut hakikat kewujudan pelbagai bahasa bagi pelbagai bangsa dan ada keperluan manusia berinteraksi melalui penguasaan bahasa lain atau melalui terjemahan, sebagai pemenuhan seruan “lita`arafu” atau saling berkenalan antara pelbagai bangsa dan puak yang terungkap dalam surah al-Hujurat, ayat 13. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152(1) pun dengan jelas membuka ruang kebebasan belajar, mengajarkan dan menggunakan bahasa-bahasa lain (kecuali untuk maksud rasmi).

Namun begitu, untuk maslahah perpaduan, kecekapan jentera pentadbiran dan pendemokrasian pendidikan, peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama perlu dipenuhi dan amalan ini perlu berlaku di kebanyakan negara di seluruh dunia. Pengalaman penulis sewaktu ditugaskan oleh kerajaan ke Republik Rakyat China selama beberapa tahun, di Universiti Pengajian Asing (Beijing Foreign Studies University), iaitu universiti tempat penulis ditugaskan, sebanyak 120 bahasa asing diajarkan kepada mahasiswa. Namun begitu, dalam urusan kenegaraan dan sebahagian urusan antarabangsa, bahasa Mandarin tetap menjadi bahasa kebangsaan negara itu. YAB Perdana Menteri baru pulang dari Jerman, dan penulis yakin, sebagai individu yang kuat membaca, beliau pasti menemukan kisah ahli falsafah Jerman, Gottfried Leibniz yang berjaya menasihati pemimpin negara itu agar membangunkan negara menurut acuan sendiri, termasuklah mengutamakan bahasa sendiri. Hasilnya, Jerman yang pada abad ke-17 ketinggalaan berbanding dengan negara-negara lain di benua Eropah kemudian muncul menjadi kuasa ekonomi yang terbilang hingga kini. Ucapan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman menyimpulkan peri pentingnya bahasa kebangsaan, iaitu “Bahasa kebangsaan ibarat roh pada jasad” dan itulah juga maksud yang dikandung oleh ungkapan “Bahasa jiwa bangsa” (dalam konteks negara ini “bangsa Malaysia”).

Oleh itu, ruang perlu dibuka oleh kerajaan untuk satu kajian penilaian yang tuntas tentang keberkesanan pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai sektor. Yang unggul ialah pelaksanaan satu aliran kebangsaan untuk pendidikan semua anak kita, sebagaimana yang pernah dititahkan oleh Sultan Ibrahim bagi negeri Johor. Di sekolah tersebut, anak-anak dapat berada di bawah bumbung yang sama dan bahasa-bahasa selain bahasa Melayu, khasnya yang mewakili etnik, dapat diajarkan sehingga tidak timbul kehilangan warisan etnik masing-masing dan dapat juga menguasai bahasa-bahasa lain. Jalan ke arah itu masih jauh dan berliku-liku tetapi mungkin negeri Johor dapat memulakannya sebagai program rintis. Penulis ingin mencadangkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk merancang proses meluaskan peranan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan, dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar, untuk permulaan sekurang-kurangnya bagi sejumlah mata pelajaran, bukan sekadar pengajaran bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran. Usul Penyata Razak 1956 yang diperkukuh oleh Penyata Rahman Talib 1960 agar secara beransur-ansur bahasa kebangsaan dijadikan bahasa utama dalam sektor pendidikan. Kini, setelah lebih 60 tahun kedua-dua penyata pendidikan tersebut disuratkan, tetapi tampaknya usul kedua-dua penyata tersebut tidak terpenuhi.

Proses peningkatan peranan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan tidak semestinya perlu meningkat secara mendadak, namun boleh dilakukan secara berjadual. Dalam kes mata pelajaran bahasa Melayu, penulis tidak dapat menemukan rasional mengapa perlu ada buku teks yang berlainan bagi sekolah jenis kebangsaan, yang didapati lebih rendah sedikit tahapnya daripada buku teks sekolah kebangsaan. Pada hebat penulis, perkara ini merupakan satu bentuk ketidakadilan kepada generasi muda warganegara yang sepatutnya diberi peluang menguasai tahap bahasa kebangsaan yang sama.

Perpaduan kebangsaan merupakan isu lain yang dititahkan oleh baginda Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmonis. Penulis menyarankan agar buku Dasar Perpaduan Negara terbitan Kementerian Perpaduan pada tahun 2021, yang disusun oleh pakar-pakar dalam pelbagai disiplin ilmu diterjemahkan dalam program-program yang berkesan secara bersepadu. Pendekatan merentas kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan dan sektor lain amat penting untuk memastikan Kementerian Perpaduan Negara tidak bersendirian dalam pengisian amanah memupuk perpaduan kebangsaan. Sektor yang paling utama tentulah sektor pendidikan, baik pada peringkat persekolahan mahupun pendidikan tinggi dan sektor media atau komunikasi, selain Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya. Berkaitan dengan isu perpaduan, amat penting gagasan “kepemimpinan melalui teladan” diamalkan supaya perpaduan yang jernih tampak jelas pada peringkat atasan untuk menjadi teladan rakyat. Mana mungkin “air di hilir diharapkan jernih seandainya air di hulu keruh”. Jadikan politik sebagai wasilah pembinaan manusia yang baik dan wasilah pembangunan negara, bukan sebagai alat memenuhi agenda sempit sehingga berlaku percekcokan atau pertelagahan yang menghakis perpaduan. Tuntunlah generasi muda kita dan masyarakat umum melalui sahsiah mulia pada peringkat kepemimpinan.

Keadaan ekonomi negara masih terjebak oleh keadaan ekonomi global yang tidak cukup mampan, namun dengan rekayasa yang dilakukan oleh kerajaan, diharapkan pemulihan dapat dicapai beransur-ansur. Keadilan sosioekonomi menjadi teras kepada semua program pembangunan negara. Roh atau semangat Dasar Ekonomi Baharu tahun 1970 perlu terus dijadikan landasan. Matlamat serampang dua mata, iaitu “membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum” dan “menyusun semula masyarakat Malaysia” mestilah terus dijadikan matlamat abadi. “Kemiskinan bukan milik kaum tertentu”; maka itu semua golongan dalam kategori miskin mesti diberi perhatian utama dalam semua program pembangunan ekonomi negara, tanpa mengira kaum. Takdirnya, Bumiputera masih berada pada tahap ketinggalan yang ketara dalam menikmati kek ekonomi negara.

Program sosioekonomi yang terancang dan dilaksanakan dengan berkesan perlu terus diperhebat. Rumusan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 perlu diterjemahkan dalam bentuk program yang berupaya melonjakkan taraf sosioekonomi Bumiputera, khasnya yang berasaskan tiga P, iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan. Semua Bumiputera hendaklah diberi perhatian yang seadil-adilnya dalam pelaksanaan semua program. Ada orang Melayu dan ada puluhan etnik Bumiputera, iaitu Orang Asli dan etnik-etnik di Sabah (sekitar 50 etnik) dan di Sarawak (sekitar 30 etnik). Tidak harus wujud “anak tiri” dan “anak emas”; kesemuanya harus dilayan sebagai anak emas.

Pada waktu yang sama, usah pula diabaikan atau dinafikan hak sah rakan-rakan daripada kaum-kaum lain, Hal ini demikian kerana Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut ketetapan tersebut selain menegaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Orang Melayu dan Bumiputera perlu mempelajari rahsia kejayaan sosioekonomi rakan-rakan daripada kaum lain, khasnya orang Cina. Sewaktu ditugaskan di Republik Rakyat China, penulis pernah menyarankan agar diadakan kajian tentang budaya niaga dan keusahawanan di negara itu dan pelajar siswazah dan pascasiswazah perlu dihantar untuk mengikuti program ijazah  pertama, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pentadbiran perniagaan di negara itu. Di negara ini sendiri pun dapat dilakukan kajian dan sinergi dengan rakan-rakan dalam kalangan orang Cina.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.