Oleh Sakinah Sahwati
8 Disember 2022, 21:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketika dunia berada dalam fasa kemuncak pandemik COVID-19 pada tahun 2020, persekitaran sosioekonomi di seluruh negara memberikan kesan yang sangat hebat kepada kehidupan manusia. Rata-rata penduduk bumi terkesan dari segenap segi – emosi, mental dan rohani apatah lagi sekatan perjalanan di kebanyakan negara dikuatkuasakan sehingga mengakibatkan manusia terpaksa melalui norma baharu yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Norma baharu yang terpaksa dilalui oleh manusia ini memaksa setiap daripada kita mengubah tatacara kehidupan kita – daripada perhubungan yang terpaksa dibataskan, hubungan sesama ahli keluarga yang “disekat” dek kerana sekatan perjalanan, cara kita bekerja,  dan kebebasan yang tidak lagi bebas kerana kita diikat dengan peraturan yang ditetapkan untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan – memaksa kita berhadapan dengan sesuatu yang tidak pernah kita bayangkan.

Tanpa mengenal usia, pangkat dan keturunan – semuanya terkesan. Hal ini dikatakan demikian kerana tiada seorang pun daripada kita, pada ketika itu yang mampu meramal kesan yang terpaksa dihadapi dan paling penting pascapandemik yang harus ditangani oleh setiap orang.

Malaysia tidak terkecuali apabila ekonomi negara terjejas teruk. Banyak syarikat tempatan dan pelabur asing yang terpaksa gulung tikar, peluang pekerjaan semakin mengecil dan individu yang kehilangan pekerjaan tidak mampu mencari pekerjaan baharu. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa rakyat untuk duduk di rumah dan keadaan ini mengakibatkan kehidupan rakyat semakin terhimpit. 

Satu daripada kesan yang paling ketara akibat COVID-19 adalah apabila kes penceraian di Malaysia merekodkan peningkatan yang luar biasa sejak PKP dilaksanakan. Menurut Laporan Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2022, jumlah perceraian dalam kalangan rakyat di negara ini meningkat sebanyak 12 peratus kepada 56 975 pada tahun 2021 berbanding dengan 50 862 pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa kadar perceraian umum bagi lelaki meningkat daripada 6.5 kepada 7.2 per seribu populasi lelaki berkahwin berumur 18 tahun dan keatas, dengan kecenderungan serupa juga dilaporkan untuk wanita yang mencatatkan peningkatan daripada 7.0 kepada 7.7 per seribu populasi wanita berkahwin. Tambahnya, purata umur pengantin lelaki kekal pada 28 tahun, manakala purata umur pengantin wanita meningkat daripada 26 tahun kepada 27 tahun.

Antara faktor yang mengakibatkan peningkatan penceraian ini yang perlu diakui oleh semua pihak termasuklah masalah kewangan kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak dalam kalangan ahli keluarga, terutamanya suami yang hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja. Hal ini mengakibatkan pelbagai konflik wujud seperti suami tidak dapat menyediakan keperluan keluarga yang membawa kepada tekanan dan ketidaksefahaman yang berpanjangan yang pada akhirnya membawa kepada penceraian. Hal ini belum mengambil kira keperluan anak-anak dalam mendepani pandemik tersebut, khususnya apabila pembelajaran secara dalam talian mula diaplikasikan mengakibatkan keperluan terhadap peranti seperti komputer dan telefon pintar semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkeluarga dan mempunyai jumlah anak yang ramai. Hutang yang sedia ada dalam kalangan rakyat di negara ini, seperti rumah, kereta dan kad kredit semakin membebankan apabila hutang terus tertunggak dan tidak mampu diselesaikan meskipun moratarium ditawarkan oleh pihak bank. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan, kesannya terpaksa ditanggung dengan tiada lagi tempat bergantung apabila peniaga tidak mampu membayar sewa premis perniagaan, perniagaan pula tidak dapat dijalankan, pekerja terpaksa diberhentikan dan pada akhirnya, perniaga gulung tikar. Hal ini sudah tentu bukan sahaja menjejaskan individu yang terlibat, tetapi institusi kekeluargaan individu berkenaan. 

Walau bagaimanapun, pada tahun 2021 jumlah tersebut semakin memulih apabila jumlah kes perceraian di negara ini menurun sebanyak 7.1 peratus daripada 47 242 kes pada 2020 kepada 43 934 kes pada tahun 2021 mengikut Stastistik Perkahwinanan dan Perceraian Malaysia 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Datuk Seri Dr. Mohd Uzir menjelaskan dalam satu kenyataan baru-baru ini sebagai berkata bahawa penurunan itu mungkin disebabkan oleh penutupan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 hingga 21 November 2021, dan jumlah kes terhad yang boleh dikendalikan mahkamah berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP Pemulihan.

Beliau berkata tiga buah negeri yang mencatatkan penurunan paling tinggi bagi kes perceraian orang Islam ialah di Sarawak, diikuti Perlis dan Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, bagi orang bukan Islam, kes perceraian meningkat sebanyak 30.4 peratus daripada 9419 pada tahun 2020 kepada 12 284 pada tahun 2021 dengan Selangor, Kedah dan Kuala Lumpur merupakan tiga buah negeri yang mencatatkan kadar perceraian bukan Islam yang tertinggi.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata terdapat peningkatan sebanyak 15.4 peratus dalam jumlah perkahwinan, iaitu daripada 186 297 perkahwinan pada tahun 2020 kepada 214 943 pada tahun 2021.

“Tiga buah negeri yang mencatatkan perkahwinan yang tinggi dalam kalangan orang Islam ialah Kelantan (61.3 peratus), diikuti Labuan (56.0 peratus) dan Putrajaya (37.3 peratus), manakala perkahwinan dalam kalangan bukan Islam menurun sebanyak 4.7 peratus daripada 40 845 pada tahun 2020 kepada 38 941 pada tahun 2021,” katanya.

Tambah beliau, hampir lapan peratus jumlah perkahwinan pada tahun 2021 merupakan perkahwinan campuran, iaitu  peningkatan 11.7 peratus daripada 14 448 perkahwinan dari tahun 2020 kepada 16 142 pada tahun lalu.

Meskipun sudah dua tahun pandemik COVID-19 membadai dunia dan setiap satu daripada kita sedang berusaha melupakan peristiwa hitam yang menjejaskan keseluruhan kehidupan kita – kehilangan orang yang tersayang dan trauma yang masih berbaki dan tidak berpenghujung, kita pastinya tidak akan mampu melupakannya tetapi kita pasti mampu untuk belajar daripadanya – sehebat manapun sains dan teknologi ciptaan manusia, kita masih belum mampu meramal ujian yang akan datang. Namun begitu, setidak-tidaknya kita pernah melaluinya bersama-sama dan semua pengalaman itu pasti akan berguna untuk kita, bangsa dan negara untuk berhadapan dengan sebarang pandemik pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.