Oleh Ely Muhamad
20 Disember 2022, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bintang Argentina, Lionel Messi melengkapkan koleksi kejuaraannya pada peringkat kelab dan antarabangsa selepas membantu negaranya itu menjuarai edisi Piala Dunia 2022 di bumi Qatar.

Penyerang prolifik berusia 35 tahun itu meledak dua gol dalam aksi final yang berkesudahan dengan seri 3-3 dengan Perancis dalam tempoh 120 minit permainan sebelum La Albiceleste mengesahkan gelaran selepas menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi di Stadium Lusail.

Walaupun memenangi anugerah peribadi Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan, namun rekod cemerlang Messi sedikit tercalar apabila terlepas trofi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak yang diberikan kepada tonggak Perancis, Kylian Mbappe dengan kelebihan satu jaringan. Walau bagaimanapun, hal itu dianggap sebagai perkara remeh buat Messi kerana akhirnya pemenang enam Ballon d’Or itu berjaya juga mendakap Piala Dunia, satu-satunya trofi yang belum pernah dimenanginya dalam karier bersama-sama Argentina.

Messi membuat penampilan pertama bersama skuad senior pada 17 Ogos 2005 ketika berusia 18 tahun apabila dimasukkan sebagai pemain gantian menentang Hungary dalam satu aksi persahabatan di Stadium Ferenc Puskas. Namun begitu, debut tersebut berakhir dengan penuh malang apabila pemain yang berasal dari Rosario itu cuma sempat berada dua minit di atas padang selepas masuk pada minit ke-63 sebelum dilayangkan kad merah kerana tindakannya menyiku pemain Hungary, Vilmos Vanczak.

Sejak insiden itu, Messi tidak lagi menoleh ke belakang dengan mencipta rekod demi rekod buat Argentina termasuklah menamatkan kemarau 28 tahun untuk memenangi Copa America 2021 selepas kali terakhir gergasi benua Amerika Selatan itu menjuarainya pada tahun 1993. Messi sekali lagi mencipta fenomena dan sejarah tersendiri apabila memadam penantian selama 36 tahun untuk melihat Argentina bergelar juara dunia selepas legenda negara itu, mendiang Diego Maradona menjulang trofi keramat itu sewaktu edisi Mexico 1986.

Walau bagaimanapun, perjalanan itu tidak diraih dengan mudah apabila Messi dan rakan sepasukannya dikritik hebat gara-gara tewas mengejut 1-2 kepada Arab Saudi sewaktu aksi pembukaan Kumpulan C, di Stadium Lusail, pada 22 November lalu.

Kekalahan itu membuatkan kebanyakan penyokong mula meragui kemampuan Messi, malah turut membandingkannya dengan seteru utama, Cristiano Ronaldo yang cemerlang membantu Portugal membenam Ghana 3-2 pada aksi pertama.

Tersentak dengan situasi itu, Argentina terus memasang langkah cemerlang dalam setiap perlawanan seterusnya apabila mara ke pusingan 16 terbaik sebagai juara Kumpulan C menerusi kemenangan 2-0 ke atas Mexico dan Poland. Pada peringkat kalah mati, pasukan nombor tiga dunia itu terpaksa mengharapkan ketangkasan penjaga gawangnya dari Aston Villa, Emiliano Martinez untuk mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Australia sebelum menewaskan Belanda 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat dengan 2-2 dalam masa sebenar. Finalis Piala Dunia 2018, Croatia ternyata bukan lawan setanding buat Argentina yang merakam kemenangan mudah 3-0 untuk menempah pertemuan dengan juara bertahan, Perancis di pentas final.

Kini, nama Messi meniti di bibir seluruh peminat bola sepak dunia dengan julukan G.O.A.T (Greatest Athlete of All Time) berbanding dengan Cristiano Ronaldo yang terus kempunan trofi Piala Dunia selepas Portugal tersingkir pada peringkat suku akhir.

Kejohanan berprestij dunia di bumi Qatar itu semenangnya berada dalam kelas tersendiri kerana selain Messi, dunia turut menyaksikan magis daripada Maghribi apabila muncul negara pertama dari benua Afrika yang pertama melangkah ke separuh akhir dalam sejarah penganjuran Piala Dunia sejak edisi pertama pada tahun 1930. Biarpun gagal menaiki podium tetapi The Atlas Lions berjaya menyatukan seluruh Afrika dan negara-negara Arab berdasarkan prestasi hebat mereka menjuarai peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan dua gergasi Eropah,  iaitu Jerman dan Portugal di pusingan kalah mati.

Boleh dikatakan semua peminat dan penganalisi sukan setiap hari memperkatakan mengenai potensi Maghribi untuk muncul juara sebelum Messi mencuri semula perhatian dunia dengan memenangi Piala Dunia kali ini. Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni tanpa berselindung berharap bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak bersara daripada aksi antarabangsa dan beraksi dalam edisi Piala Dunia seterusnya yang akan diadakan di tiga buah negara, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico pada 2026.  Hal ini dikatakan demikian selepas bekas kapten Barcelona itu mendedahkan hasratnya untuk terus menyarung jersi keramat Argentina selepas ini.

“Kami perlu kekalkan Messi untuk Piala Dunia 2026. Jika dia mahu terus beraksi, dia akan sentiasa bersama kami. Dia lebih berhak untuk menentukan sendiri hala tuju masa depannya selepas apa yang telah dilakukannya buat Argentina,” kata Scaloni.

Kejayaan bergelar juara secara tidak langsung menyaksikan Argentina mendominasi senarai pemenang anugerah individu kerana selain Messi, Emiliano Martinez juga diangkat sebagai Penjaga Gol terbaik kejohanan dan Enzo Fernandez pula pemain muda terbaik kejohanan.

Aksi final tersebut juga menyaksikan satu lagi sejarah baharu tercipta apabila Kylian Mbappe menjadi pemain pertama meledak hatrik di perlawanan akhir Piala Dunia selepas legenda England, Geoff Hurst melakukannya pada tahun 1966. Hal ini tidak membawa seribu makna buat Mbappe tetapi apa yang pasti dia mempunyai masa depan yang cukup cerah memandangkan beliau masih muda dan baru berusia 23 tahun. Pada usia itu, Mbappe hanya tinggal untuk memenangi gelaran Kejohanan EURO selepas pernah memenangi Piala Dunia bersama-sama Perancis pada empat tahun lalu. Pastinya Mbappe akan memacu skuad Les Bleus dan menebus kekecewaan itu dengan menjuarai edisi Kejohanan EURO 2024 di Jerman.

Jika berjaya, hal itu akan menamatkan penantian Perancis untuk bergelar raja Eropah selepas kali terakhir memenangi Kejohanan EURO pada edisi 2000 yang dianjurkan di Belgium dan Belanda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.