Oleh Hisyam Basabah
4 Januari 2022, 18:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kelahiran parti-parti politik dalam landskap politik negara sememangnya memberikan ruang ke arah penyuburan demokrasi di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, dengan bertambahnya parti-parti politik yang mempunyai agenda dan dasar yang berbeza antara satu sama lain, lebih memberikan ruang memilih kepada rakyat, mengikut kecenderungan, minat, keperluan dan kehendak setiap individu rakyat itu sendiri.

Populasi di Malaysia pada saat ini yang berjumlah lebih 32 Juta dengan hampir 68 peratus daripadanya ialah kaum Melayu Bumiputera.

Secara teknikalnya, populasi sebanyak 68  peratus ini jelas memberi makna bahawa landskap politik negara didominasi oleh kaum Melayu dan Bumiputera. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku secara praktikal apabila kelahiran parti-parti politik yang berorientasikan kaum Melayu dan Bumiputera terlalu banyak. Apabila wujudnya parti-parti Melayu dan Bumiputera yang begitu banyak mengakibatkan undi kaum Melayu dan Bumiputera juga berpecah, sekali gus menjadikan suara mereka dalam landskap politik negara menjadi “minoriti dalam majoriti”.

Sebagai kaum terbesar di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, kaum Melayu dan Bumiputera perlu mendominasi panggung politik negara melebihi dua pertiga sebagaimana populasi bagi melahirkan kestabilan negara. Kegagalan sesebuah kaum terbesar mendominasi politik dan ekonomi di sesuatu negara hanya akan menatijahkan ketidakstabilan dan perasaan tidak puas hati kerana menganggap suara majoriti mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Tragedi 13 Mei 1969 yang pernah berlaku di Malaysia disebabkan faktor kegagalan kaum Melayu dan Bumiputera menguasai sektor ekonomi selain politik Melayu dan Bumiputera yang mula menunjukkan bibit-bibit perpecahan kerana adanya berbagai parti yang berteraskan Melayu dan Bumiputera.

Hakikat yang sedang dialami oleh negara pada ketika ini menunjukkan begitu banyak parti-parti politik Melayu dan Bumiputera yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan dengan membawakan pelbagai agenda dan ideologi yang berbeza atas nama demokrasi. Benar, demokrasi sememangnya membenarkan percambahan pelbagai parti politik bagi memperjuangkan agenda rakyat, namun demokrasi perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya. Ibarat sebilah pisau yang mempunyai pelbagai kegunaan, namun jika silap penggunaannya pasti akan melukakan tangan.

Populasi yang berjumlah kurang lebih 68 peratus ini telah dipecahkan dengan sekurang-kurangnya enam buah parti politik yang bertunjangkan Melayu dan Bumiputera dan hal ini hanya merugikan keutuhan dan kesepaduan kaum Melayu dan Bumiputera.

Jika dibahagikan secara sama rata, setiap parti politik hanya akan mendapat sokongan hanya 11.3 peratus daripada populasi kaum Melayu dan Bumiputera sekiranya satu daripada parti-parti politik tersebut gagal mendapatkan sekurang-kurangnya 51 peratus kemenangan  dalam pilihan raya. Dengan ini, jelaslah bahawa kelahiran parti-parti baharu dalam landskap politik negara sememangnya membawa lebih kemeriahan terhadap landskap politik negara,namun pada masa yang sama mencetuskan lebih banyak perpecahan kepada dominasi kaum Melayu dan Bumiputera dalam sistem politik negara.

Oleh hal yang demikian, dengan adanya lambakan parti-parti politik yang mempertaruhkan pelbagai dasar, ideologi dan agenda masing-masing, rakyat sebagai aktor penentu kepada kestabilan politik negara perlu diberikan literasi dan sosialisasi politik yang bijak dan matang agar kestabilan politik sebagai kunci utama kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara akan terus terjamin. Kuncinya kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan bukan bersandarkan dengan sentimen semata-mata.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.