5 Januari 2022, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kampung Baru, Kuala Lumpur; jika disebut namanya mengingatkan kita pada sebuah perkampungan terakhir yang senasib di tengah-tengah kota metropolitan Singapura, Kampong Lorong Buangkok yang diwujudkan pada tahun 1954.

Sejarah panjang Kampung Baru yang sebahagiannya menjadi latar persejarahan negara harus diletakkan dalam lingkungan pemeliharaan warisan.

Di sebalik mamahan arus pemodenan di kawasan sekitarnya, kampung tersebut turut berada dalam fasa “perjuangan” demi mengekalkan warisan sejarahnya. Kampung Baru, bukanlah berdiri atas nama dan lapangan geografi semata-mata, malah nilai lingkungan persejarahan menjadi asbab keperluan untuk mempertahankannya. Seraya lenyapnya kampung ini, maka tinggallah sisa sejarah ekologinya yang hanya tergambar pada sekeping foto.

Sejarah panjang Kampung Baru yang sebahagiannya menjadi latar persejarahan negara harus diletakkan dalam lingkungan pemeliharaan warisan (heritage preservation). Jika diteliti, sebahagian sejarah besar negara turut berkaitan rapat dengan kampung bertuah ini. Semasa era penjajahan British, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru menjadi saksi Perhimpunan Kongres Melayu pertama bagi menggagalkan penubuhan Malayan Union. Begitu juga dengan peristiwa pahit yang sarat dengan pengajaran, iaitu tragedi 13 Mei 1969 yang turut bersaksikan Kampung Baru sebagai latar tempat yang signifikan.

Realitinya, latar historikal inilah sebenarnya yang menjadikan Kampung Baru benar-benar bernilai tinggi, terutamanya dalam konteks legasi patrimoni dengan kota metropolitan Kuala Lumpur yang menjadi sebahagian daripada salasilahnya.

Tanah kurniaan Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) tersebut kini menjadi satu-satunya warisan peninggalan sejarah selepas Kampung Kerinci (kini Bangsar South) dan Kampung Abdullah Hukum (kini KL Eco City) diranapkan oleh arus pembangunan.

Konotasi literal bagi sebuah pembangunan jarang-jarang sekali membawa pemaknaan yang negatif. Walau bagaimanapun, sisi tersiratnya kurang mencerminkan sebuah untaian kondusif kepada sesebuah nilai sejarah. Arus pembangunan menyaksikan wujudnya pemadaman total terhadap identiti asal kawasan tersebut sama ada dalam kerangka warisan, budaya mahupun ekologinya. Lantas, namanya sekalipun mungkin dihapuskan melalui penjenamaan semula atas alasan bagi memenuhi nilai komersial.

Seyogia diingatkan, pembangunan dan kemodenan bukanlah satu-satunya kaedah dalam mencapai kemodenan. Jika imej Kampung Baru dikatakan sebagai memburukkan imej bandar raya Kuala Lumpur yang moden, laksanakanlah proses pemeliharaan berbanding dengan proses “mengkonkritkan” kawasan tersebut.

Konsep kampung yang begitu unik di tengah-tengah metropolitan ini lebih strategik sekiranya dikekalkan atau setidak-tidaknya melalui transisi penyegaran semula.

(Sumber foto: GPSmyCity).

Peninggalan seni bina tradisional berlatarbelakangkan menara berkembar Petronas yang tentunya menjadi latar tumpuan pelancong berbanding dengan norma klise moden seperti kompleks membeli-belah. Ditambah pula dengan persekitaran Kampung Baru yang kaya dengan gerai makanan, kurniaan ini menjadi satu pakej lengkap dalam usaha menjadikannya sebagai pusat pelancongan yang prolifik. Janaan ini memberi impak sosioekonomi kepada masyarakat setempat mahupun makroekonomi melalui kemasukan pelancong. Yang terpenting, nilai historinya kekal terpelihara.

Sedari awal, Malaysia kelihatannya kurang berminat untuk mengangkat konsep pemeliharaan warisan. Di negara-negara Barat, pemautan utuh terhadap konsep ini menjelaskan tentang pengekalan kawasan warisan seperti di Toledo, Sepanyol, ČeskýKrumlov, Republik Czech, Bruges, Belgium dan pelbagai lagi. Begitu juga di Asia Timur seperti di China, terdapatnya Kota Purba Lijiang, Yunnan, Kota Purba Pingyao di wilayah Shanxi dan di Jepun pula adanya rumah-rumah tradisional Machiya, Kyoto yang menyumbang berbilion yen pada setiap tahun.

Oleh sebab itu, peliharalah nilai warisan dan sejarah dengan sebaik-baiknya. Contohilah semangat pemuliharaan sejarah sebagaimana yang ditonjolkan oleh negara-negara barat. Dari segi undang-undangnya, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) digubal bagi memberi perlindungan komprehensif kepada tinggalan warisan negara. Akan tetapi, dari segi implementasi dan penguatkuasaannya masih boleh diperdebatkan dalam jangka waktu yang panjang.

Pada akhirnya, lenyaplah bangunan-bangunan ikonik yang kaya dengan sejarah seperti Penjara Pudu (kini tapaknya dibangunkan hotel dan pusat membeli-belah) mahupun bangunan kolonial di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown (kini dibangunkan hotel bertaraf lima bintang) yang hanya mampu diamati oleh generasi selanjutnya melalui sekeping foto digital. Persoalannya, adakah Kampung Baru bakal diletakkan bersama dalam senarai ini? Keputusannya kini di tangan pihak berwajib.


Penulis, Pensyarah di Centre for Languages and Foundation Studies (CELFOS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.