Oleh Asriezam Uda
20 Januari 2022, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena banjir bukanlah hal yang asing di negara ini. Fenomena monsun atau musim tengkujuh pada setiap hujung tahun menyaksikan curahan hujan yang luar biasa membasahi bumi Malaysia. Keadaan yang di luar jangkaan ini sering menggugat kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai. Segala-galanya hilang sekelip mata, yakni rumah kediaman, wang ringgit, kenderaan, bahkan meragut nyawa sekalian hidupan.

Jika diimbas kembali, sejarah telah menceritakan hal-hal berkaitan dengan fenomena banjir di negara ini. Musibah banjir ini telah pun berlaku sejak tahun 1886, 1923, 1926, 1971, 2014 dan kini tahun 2021. Dalam tahun yang dinyatakan ini, hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia telah merasai pengalaman mendepani ujian alam ini. Misalnya banjir yang berlaku pada tahun 2014, menelan “mangsa” yang lebih ramai, melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu. Penangan alam meranapkan kesemua negeri ini dengan sepantas kilat.

Lorong SMART berjaya melencongkan hampir lima juta liter air hujan di sekitar Lembah Klang.

Usai menelaah sejarah yang kelihatannya berulang-ulang, apakah tindakan yang sewajarnya? Di Malaysia, kelihatannya persediaan teknologi mengurangkan dampak banjir masih lagi kurang jika dibandingkan dengan negara maju. Satu-satunya teknologi banjir yang wajar diberikan pujian ialah terowong Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) bernilai RM1.87 juta yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2003. Hasilnya, baru-baru ini projek yang diletakkan di bawah Dasar Pembangunan Nasional ini berjaya melencongkan hampir lima juta liter air hujan di sekitar Lembah Klang.

Bayangkan tanpa adanya teknologi ini, tentunya banjir di Lembah Klang pada tahun 2021 ini berlipat ganda kesannya. Bayangkan berapakah banyak nyawa dan harta benda yang bakal terkorban? Maka itu, aspek inilah yang perlu diutamakan oleh kerajaan dalam mengurangkan dampak amukan alam, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Berdasarkan situasi yang berlaku kini, ternyata terowong SMART sahaja tidaklah mencukupi untuk menyelesaikan isu banjir di Lembah Klang ini. Pemerkasaan dalam menambah lagi pembinaan teknologi banjir ini perlu menjadi agenda utama negara menjelang tahun 2030.

Pembinaan teknologi banjir perlu menjadi agenda utama negara menjelang tahun 2030.

Mengambil contoh Singapura, meskipun berada pada saiz yang kecil, negara tersebut mempunyai lebih daripada satu teknologi pencegah banjir, iaitu Syed Alwi Detention Tank (Siap tahun 2025), Stamford Detention Tank (beroperasi sejak tahun 2018), dan Opera State Pumping Station (Beroperasi sejak tahun 2001). Sejak tahun 2012 lagi, kerajaan Singapura telah membelanjakan kira-kira $SGD1.2 bilion untuk teknologi banjir dan turut memberi peruntukan tambahan sebanyak $SGD500 juta atas tujuan itu. Hal ini menunjukkan Singapura benar-benar serius dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang sebaiknya turut perlu dilaksanakan oleh Malaysia.

Berbanding Malaysia, misalnya kawasan di sekitar Lembah Klang, kelihatannya kawasan seluas ini perlu dibangunkan lagi beberapa buah teknologi pembasmi banjir tambahan sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura ataupun boleh mengadaptasi sistem pembasmi banjir tersohor Jepun, iaitu Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel. Dengan teknologi pembasmi banjir tambahan yang berkuasa tinggi, setidak-tidaknya risiko banjir di kawasan yang terdedah dapat diminimumkan secara keseluruhannya.

Begitu juga bagi peringkat negeri, agenda pembinaan teknologi banjir ini mestilah menjadi keutamaan. Perak merupakan antara negeri yang telah menampakan tindakannya dalam mendepani hal ini. Pada ketika ini, terowong bawah tanah banjir sedang dibina di bandar Ipoh yang membolehkan kesemua air pembentungan dipam keluar melalui terowong bawah tanah dan dilepaskan di sebuah loji yang terletak di kawasan Papan. Teknologi yang seakan-akan menyerupai model teknologi banjir Jepun ini berpotensi tinggi mengelakkan Ipoh ditenggelami banjir. Tindakan proaktif sebeginilah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan yang tidak lain tidak bukan demi melindungi kesejahteraan masyarakat.


Penulis, Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubahan Sosial dan Impak, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.