Oleh Normasiska Noor
24 Januari 2022, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kebebasan berpolitik menjadi impian banyak pihak. Hal itu tidak lain tidak sebagai mendukung prinsip demokrasi dalam sesebuah negara yang mengamalkannya. Begitulah juga di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, demokrasi bermaksud pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihan raya.

Pada 22 Januari 2022, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, membawa khabar gembira buat penjawat awam, khususnya guru di seluruh negara dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), bahawa mereka dibenarkan untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu diputuskan oleh Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik. Maka itu,  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta untuk mengeluarkan surat pekeliling supaya guru tidak lagi diberikan tekanan berhubung dengan perkara terbabit.

“Sebelum ini, ada notis pekeliling untuk menyekat guru daripada berpolitik dan ramai dalam kalangan mereka diberikan amaran untuk diambil tindakan. Saya sudah pun membawa perkara ini ke dalam Kabinet, dan Kabinet memutuskan untuk memberikan kebenaran (berpolitik) bagi menghormati prinsip demokrasi,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama-sama pemimpin Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata sebelum ini, kakitangan KEMAS dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun  ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Justeru saya ingin umumkan bahawa petugas KEMAS juga bebas dan dibenarkan berpolitik. Namun begitu, hal itu tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing. Sebagai contoh jika seseorang guru itu berpolitik sehingga meninggalkan tugasnya, dia boleh diambil tindakan,” katanya.

Pengumuman Perdana Menteri itu sudah tentu menjadi khabar gembira kepada mereka yang terlibat. Walau bagaimanapun, ada pihak yang mahu kebebasan yang diberikan perlu dihormati dengan terus mengutamakan tugas dalam mendidik anak bangsa. Tugas guru pada hari ini tidak lagi boleh “ditimbang” seperti tiga atau empat dekad yang lalu. Pada hari ini, tugas guru amat menyeluruh dan mencabar – pendidik, pengajar, pembentuk adab, penyampai ilmu, mentor, agen perubahan, pakar rujuk, agen sosialisasi dan sebagainya. Dalam erti kata yang menyeluruh, guru ialah tunjang kepada sistem pendidikan negara dalam mencorakkan masa hadapan anak bangsa yang bakal memacu hala tuju negara.

Oleh itu, apa-apa yang diharapkan adalah dengan kebebasan berpolitik yang diberikan, guru tidak akan lupa dan lalai dengan  tanggungjawab utama mereka. Dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa tetap diletakkan pada kedudukan yang paling utama. Banyak pihak juga meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa kebebasan berpolitik yang diberikan pastinya akan didasari dengan syarat yang akan diperincikan kelak oleh KPM sebagai panduan kepada guru yang ingin menceburkan diri dalam dunia politik.

Sebelum ini, umum mengetahui bahawa wujud larangan berpolitik dalam kalangan penjawat awam. Pada 6 April 2009, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) pernah mengeluarkan arahan kepada semua ketua setiausaha kementerian menerusi surat yang bertajuk Larangan Pelibatan dalam Politik ke Atas Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Perincian surat tersebut menjelaskan di bawah Peraturan 21 (1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Secara khususnya, pegawai dalam kategori tersebut tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada secara lisan atau bertulis, yang memberikan suatu pandangan yang berat sebelah atas apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti politik; menerbitkan atau mengedar buku, makalah atau risalah yang mengemukakan pandangannya yang berat sebelah atau pandangan orang lain, tentang apa-apa perkara berkaitan dengan mana-mana parti politik; terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon pada suatu pilihan raya kecil, atau apa-apa pilihan raya untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik; bertindak sebagai agen pilihan raya atau agen tempat mengundi; masuk bertanding untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik; atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.

“Sehubungan dengan peraturan yang dinyatakan di atas, kerajaan memandang serius pelibatan pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam aktiviti politik adalah bertentangan dengan prinsip “neutrality” dan “impartiality” yang diamalkan dalam perkhidmatan awam. Keadaan ini juga boleh membawa suasana yang tidak harmoni di tempat kerja. Oleh itu, semua ketua setiausaha kementerian hendaklah memantau perkara ini dan seterusnya mengingatkan semua pegawai dalam kategori berkenaan agar tidak terlibat dalam aktiviti politik sebagaimana yang dinyatakan. Sekiranya terdapat mana-mana pegawai yang mengingkari arahan ini, tindakan tatatertib hendaklah dikenakan ke atas mereka berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993.

Kenyataan dan peringatan yang berkaitan tidak pernah terhenti di situ. Meskipun Ketua Pengarah JPA silih berganti, peringatan yang sama masih dilontarkan bagi memastikan penjawat awam tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 November 2019, kerajaan memutuskan bagi menghormati hak asasi manusia, penjawat awam boleh terlibat dalam parti politik tetapi bagi menjamin mereka kekal neutral, penjawat awam tidak dibenarkan memegang jawatan atau bertanding dalam sebarang jawatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat, bagi mengulas kebenaran berpolitik yang diberikan kepada guru dan petugas KEMAS, beliau menyarankan agar kerajaan segera mengeluarkan pekeliling atau garis panduan yang jelas mengenai kebenaran tersebut. Ujarnya, garis panduan itu penting bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang seperti salah guna kuasa, selain mengelak daripada orang awam membuat tuduhan tidak berasas.

Beliau juga berpandangan bahawa kebenaran berpolitik yang diberikan pada dasarnya adalah munasabah kerana ketika ini remaja seawal usia 18 tahun pun bakal diberikan hak untuk terlibat dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan agar semua penjawat awam perlu memberikan keutamaan terhadap tugas hakiki masing-masing terutamanya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Ternyata, kebebasan berpolitik yang diumumkan oleh Perdana Menteri  kepada guru dan petugas KEMAS sewajarnya diraikan, namun keterbatasannya juga perlu ada dengan tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab utama mereka demi anak bangsa dan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.